Ledakan teknologi telefon pintar pada penghujung abad ke-20 sedikit sebanyak telah mempengaruhi tingkah laku manusia dan ketamadunannya. Mereka telah mengambil manfaat dari segi mudahnya memperoleh maklumat dan melalui aplikasi real-time, dua dimensi dapat berinteraksi dengan hampir sempurna. Tanpa ketinggian akhlak dan sikap berhati-hati, teknologi umpama pedang ini boleh membunuh manusia, menggalakkan salah laku siber, bahkan boleh mengancam kesejahteraan negara. Nampaknya perkembangan arus teknologi juga hadir dengan kesan sampingan walaupun manfaat terhadap manusia sejagat cukup banyak.
Sikap tidak sabar, populis dan serkap jarang jika hadir bersama kecanggihan teknologi akan menampakkan sisi runtuhnya akhlak manusia. Di mana sahaja terpaculnya aksi-aksi yang dijangka boleh-sensasi, lensa kamera telefon pintar cepat sahaja merakam saat-saat tersebut. Dalam ruangan maya yang tiada batas had, dengan sekelip mata, keaiban manusia menjalar ke seluruh dunia dan pelbagai persepsi hadir mengikut takrifan nafsu dan sifat terburu-buru masing-masing. Hinanya perbuatan ini sehingga boleh timbul fitnah selain secara automatiknya telah tenggelam dalam budaya negatif iaitu mengumpat.
Mungkin kerana nafsu amarahnya, si pelaku telah lupa firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12.
“Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Apakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah menjadi bangkai, tentulah kamu sekelian benci memakannya.”
Sektor kesihatan Malaysia yang lumayan dari segi bilangan pesakitnya juga tidak terlepas daripada bencana budaya serkap jarang beberapa individu bernafsu, tidak puas hati dan lupa meletakkan neraca akhlak, yang kononnya ingin mendapatkan keadilan segera tanpa memikirkan keaiban yang diterima oleh pemberi khidmat kesihatan. Walaupun doktor sekali-sekala tidak terlepas daripada lensa serkap jarang ini, namun mungkin disebabkan rasa hormat yang lebih tinggi kepada mereka, jururawat lebih mudah diperangkap dan ini telah sedikit-sebanyak telah menjejaskan kehormatan dan maruah profesyen mulia ini.
Memang tidak dinafikan terdapat segelintir jururawat yang culas semasa melaksanakan tugas. Saya berani mengatakan kerana saya sendiri yang melihatnya. Contohnya tertidur atau bermain ‘Angry Bird’ semasa kawan menyerahkan nota-nota tugas. Namun bilangan yang culas tersebut sangat sangatlah sedikit untuk dijadikan isu berbanding ratus ribu jururawat lain yang sentiasa komited dan berdedikasi melaksanakan amanah. Namun sikap manusia yang suka memilih keaiban, untuk tujuan populariti dan cara mudah untuk menebus rasa tidak puas hati lebih disukai. Mungkin kita renungi bersama-sama bingkisan Imam al-Ghazali untuk kita memahami psikologi mereka:
Imam al-Ghazali ada menyebut enam perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat:
- Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam;
- Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;
- Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;
- Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;
- Bergurau dan suka melawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain;
- Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.
Sehubungan itu, Imam al-Ghazali menyarankan lima perkara untuk menghentikan sikap suka mengumpat, antaranya ialah;
- Harus sedar dan insaf mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain itu berdosa besar;
- Sedar dan membetulkan kesalahan sendiri daripada menyalahkan orang;
- Hendaklah berasa malu apabila memperli kecacatan orang lain. Ini kerana mencela kecacatan fizikal seolah-olah mencerca Tuhan yang menciptakan.
Pelanggan juga harus faham, jururawat bukanlah ‘vendor machine’ yang anda boleh bayar, pilih dan anda akan dapat seperti yang anda inginkan. Saya yakin setiap jururawat telah memurnikan fikiran daripada memikirkan masalah kehidupan, rumah tangga, karenah majikan, gaji tak cukup, anak-anak yang sakit, dan pelbagai lagi masalah untuk merawat anda dengan senyuman. Fahamilah yang jururawat juga manusia yang mempunyai kehidupan tinggi-rendah seperti anda.
Walaupun terpaksa berhadapan dengan karenah pelanggan yang licik dan suka mengambil kesempatan, jururawat sendiri harus mengekalkan professionalisme apabila bekerja. Mungkin saya boleh kongsikan beberapa tip yang mungkin berguna yang boleh anda praktikan. Sekiranya sudah, tahniah dan alhamdulillah.
- Menggunakan kalkulator sebenar, bukannya telefon bimbit semasa mengira dos ubat atau yang berkaitan dengannya.
- Menyimpan katalog produk (Tupperware, Avon, Nutrimetics dan lain-lain) di tempat rehat dan bukan di kaunter tempat anda melaksanakan tugasan anda.
- Mengekalkan budaya komunikasi yang jelas dan bersabar dengan aduan dan cercaan pelanggan.
- Sentiasa menjadikan kod etika kerja dipatuhi untuk menghasilkan mutu kerja yang konsisten dan perawatan yang berkualiti.
- Tidak memuat naik gambar pesakit dan prosedur ke ruangan media sosial.
Akhirnya, dunia perawatan sedang berhadapan dengan kelompok manusia yang mengalami kejutan kecanggihan teknologi. Oleh sebab itulah lahirnya doktor ‘Google’ yang boleh membuat komentar terhadap justifikasi anda dan juga lahirnya wartawan sensasi yang suatu hari nanti anda mungkin menjadi mangsanya. Namun, harus disedari, segala komplikasi ini tercetus dari permasalahan akhlak manusia yang tidak dibimbing sebaiknya dengan neraca wahyu dan iman. Sekiranya elok imannya, maka eloklah moral dan tingkah lakunya.
Mohammed Rasheedan b Ellin
Jururawat U41
Pengajar Klinikal UNIMAS
Editor, Unit Jururawat I-Medik.