Baru-baru ini, hangat kembali diperkatakan tentang amalan sunat pada perempuan di Malaysia. Dr Farouk Musa, seorang pakar kardiotorasik dari Islamic Renaissance Front (IRF) mendakwa bahawa tiada sandaran dalam hadis tentang perlaksanaannya dan dikhuatiri amalan ini membawa mudarat pada kesihatan wanita. Suka saya membincangkan tentang isu ini supaya masyarakat mendapat penjelasan sepenuhnya dan beramal tanpa was-was dari sudut hukum dan kesihatan.
“Female genital mutilation” FGM vs “female genital circumsicion”
Media barat selalu memperkatakan tentang isu mutilasi genital wanita (FGM) sebagai sesuatu yang menindas kaum wanita. Ini berdasarkan amalan yang dilakukan di sesetengah negara seperti di Afrika dan Asia Barat dan di mana sebahagian alat kelamin wanita dipotong. Mengikut data yang dikeluarkan oleh UNICEF pada 2013, FGM dilakukan di 23 negara di Afrika. FGM boleh dibahagikan kepada beberapa tahap seperti tertera di dalam gambarajah di bawah.
Gambarajah anatomi bahagian alat kelamin wanita yang normal
Gambarajah menunjukkan tahap FGM
Tahap 1: Hanya klitoris di potong sedikit.
Tahap 2: Klitoris dan labia minora dipotong.
Tahap 3: Klitoris, labia minora dan labia majora dipotong.
Tahap 4: Keselurahan alat kelamin dijahit dan ditutup lubang faraj.
Malaysia mengamalkan khatan wanita atau “female circumcision”
Dalam satu kajian yang dilakukan di Malaysia pada tahun 2012 oleh Universiti Malaya, didapati hampir 93% wanita rakyat Malaysia telah melakukan amalan bersunat wanita dan semakin ramai melakukannya di klinik oleh pegawai perubatan. Didapati juga hampir kesemuanya adalah Type 1 iaitu samada sedikit tisu klitoris dipotong atau sedikit tusukan “needle prick” dilakukan pada bahagian klitoris. Sementara satu kajian lain yang dilakukan di bilik bersalin ke atas wanita yang datang untuk bersalin, didapati majoriti telah melakukan sunat. Kajian ini juga menunjukkan wanita-wanita ini tidak mengalami sebarang kemudaratan pada organ genitalia disebabkan oleh prosedur sunat yang dilakukan dan mereka dapat melahirkan zuriat tanpa sebarang masalah.
Justeru itu, amalan bersunat yang dilakukan oleh masyarakat melayu di Malaysia bukanlah sama seperti FGM yang dilakukan di Negara Afrika dan Asia Barat. Amalan “female circumcision” yang dilakukan di sini adalah selamat dan tidak mendatangkan risiko jangka pendek dan panjang. Sepanjang karier saya dalam bidang perbidanan selama lebih 20 tahun saya tidak pernah berhadapan dengan mana-mana wanita di Malaysia yang berhadapan dengan kesukaran samada untuk hamil ataupun bersalin disebabkan kecederaan dari amalan bersunat ini.
Walaubagaimanpun praktis FGM yang dilakukan seperti tahap 2, 3, dan 4 memang mengundang bahaya dan menganiayai wanita serta patut dihalang.
FGM; adat atau ibadat?
Berkhitan atau bersunat merupakan perkara yang disyari’atkan di dalam Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.;
الْفِطْرَةُ خَمْسٌ -أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ- الْخِتَانُ، وَالاسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَنَتْفُ الإِبِطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
“Lima perkara yang merupakan fitrah; berkhitan (bersunat), mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misai”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Khatan untuk lelaki adalah wajib manakala bagi wanita pula, ulama berbeza pandangan tentang hukumnya. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2009, telah membincangkan tentang Hukum FGM. Muzakarah telah memutuskan bahawa amalan berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam namun diberi kelonggaran seandainya mendatangkan kemudaratan. Muzakarah bersetuju memutuskan hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib.
Pada pandangan saya walaupun di sana ada perbezaan pendapat dari segi hukum, perkara paling baik adalah menghormati keputusan yang telah dipersetujui oleh institusi agama di negara kita. Tambahan pula, praktis yang dilakukan di negara kita tidaklah seperti yang dilakukan di negara lain yang boleh membawa kemudaratan pada wanita. Tidak perlulah Dr Farouk Musa membangkitkan tentang perkara ini melainkan di sana ada tanda-tanda praktis yang berbeza daripada kebiasaan yang telah dibumikan dalam masyarakat kita. Menaikkan isu ini, hanya akan menambahkan kecelaruan dalam masyarakat.
Dr. Murizah Mohd Zain
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi & Pakar Perubatan Reproduktif,
Aktivis I-Medik Kedah.