#KitaJagaKita

Reformasi kesihatan jadikan negara berdaya tahan, kalis masa depan

354460199_571565818466242_5114923346698676657_n

Kertas Putih Kesihatan bertajuk ‘Demi Masa Depan Kita’ disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) dibentangkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-15 semalam. Dokumen setebal 57 halaman itu dengan fokus kepada pelbagai langkah reformasi sektor kesihatan dalam tiga fasa secara berperingkat selama 15 tahun itu, turut menjadi fokus Minda Pengarang BH pada hari sama.

Kertas Putih Kesihatan itu adalah cadangan KKM komprehensif untuk keperluan melaksanakan reformasi secara sistemik dan struktural terhadap sistem kesihatan negara bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Reformasi kesihatan di sini bermaksud perubahan dan pembaharuan terhadap sistem sedia ada, menuju kepada keadaan lebih baik serta mampan untuk masyarakat dan negara amnya.

Ia juga menjadi benteng dan persediaan negara menangani pelbagai cabaran, sekali gus memastikan sistem kesihatan lebih saksama, dinamik kepada perubahan semasa dan berdaya tahan.

Tidak dinafikan sistem penjagaan kesihatan di negara ini sejak kemerdekaan mencapai pelbagai proses perubahan dalam pelbagai sektor seperti boleh dilihat beberapa peningkatan prestasinya berbanding banyak negara berpendapatan sederhana lain.

Jangka hayat rakyat Malaysia

Ini termasuk jangka hayat rakyat Malaysia ketika lahir semakin meningkat dan peningkatan jangka hayat ketika lahir. Secara purata, bayi lelaki dan perempuan dilahirkan pada 1970-an masing-masing hidup hingga 61.6 dan 65.6 tahun.

Bagaimanapun, bayi lelaki dan perempuan baru lahir pada 2020 masing-masing dijangka hidup hingga 72.5 dan 77.2 tahun secara purata.

Kadar kematian kanak-kanak dan ibu bersalin pula didapati mengalami penurunan. Bilangan kematian bayi berumur kurang 28 hari atau kadar kematian neonatal, mencapai 3.9 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada 2020 berbanding 16 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1970.

Kadar kematian ibu bersalin juga menurun, daripada 140.8 kematian setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1970 kepada 24.9 kematian setiap 100,000 kelahiran hidup pada 2020.

Namun, statistik penyakit tidak berjangkit (NCD) juga dikenali penyakit kronik di negara ini menjadi penyebab kematian dan beban penyakit utama.

Trend sejak sedekad lalu, penyebab kematian adalah berkaitan NCD seperti penyakit kardiovaskular (penyakit jantung dan strok), penyakit saluran pernafasan kronik, kanser dan kencing manis. Malaysia tidak terkecuali sama seperti negara lain, kes NCD semakin meningkat.

Sesi libat urus babit pihak berkepentingan

Berbalik kepada dokumen penyediaan Kertas Putih Kesihatan, KKM membuat penilaian daripada beberapa kajian sistemik serta sesi libat urus membabitkan pihak berkepentingan.

Hasil inisiatif ini, beberapa aspirasi digaris dan ditekankan termasuk konsep negara sihat, sistem kesihatan saksama dan berpaksikan rakyat, berdaya tahan, ekosistem kesihatan terbuka dan inovatif serta dihargai dan dibanggakan semua.

Berdasarkan aspirasi ini, jelas setiap pihak mahukan sistem penyediaan dan penjagaan kesihatan menyeluruh dalam setiap sudut kehidupan, akhirnya melahirkan rakyat sihat dari segi mental, fizikal dan spiritual.

Ekosistem penjagaan kesihatan kondusif untuk generasi muda, dewasa dan tua atau warga emas juga menjadi fokus reformasi kesihatan perlu diambil kira sebaiknya. Aspirasi lain perlu diberi fokus ialah penekanan kepada perkhidmatan preventif dan promotif untuk semua peringkat umur kerana statistik semasa NCD membimbangkan semua pihak.

Reformasi kesihatan ini akan memberi fokus amalan gaya hidup sihat adalah tanggungjawab secara kolektif dan perlu lebih banyak perubahan persekitaran turut membantu.

Berdasarkan aspirasi dan maklum balas dikenal pasti, dokumen Kertas Putih Kesihatan mencadangkan empat tonggak dalam reformasi sistem kesihatan. Tonggak pertama, mentransformasikan penyampaian sistem kesihatan.

Ini termasuk tumpuan kepada reformasi perkhidmatan penjagaan kesihatan primer dengan memperuntukkan lebih banyak sumber untuk kesihatan seperti pembiayaan, sumber manusia, fasiliti serta kelengkapan peralatan.

Tonggak kedua, mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit dengan memberi fokus kepada peralihan merawat pesakit kepada paradigma pencegahan baharu dan lebih inovatif termasuk penggunaan teknologi kesihatan digital, pengumpulan data, analisis serta kaedah pemantauan penyakit lebih maju.

Tonggak ketiga, memastikan pembiayaan kesihatan mampan dan saksama dan reformasi berkaitan tonggak ini termasuk peranan kerajaan dalam memastikan liputan kesihatan sejagat terpelihara dan menjamin risiko kewangan individu apabila jatuh sakit.

Peruntukan secukupnya perlu dipastikan supaya reformasi pembiayaan kesihatan memanfaatkan semua rakyat, manakala tonggak keempat adalah memperkukuh landasan dan tadbir sistem kesihatan termasuk reformasi akan dilakukan melalui penstrukturan semula, menambah baik sistem tadbir urus dan pengawasan sistem kesihatan secara keseluruhan.

Dalam melaksanakan reformasi kesihatan ini, pelbagai cabaran akan dihadapi terutama mengubah kaedah bekerja, prosedur, polisi semasa, tindakan susulan serta cara berfikir untuk melaksanakan paradigma berkenaan.

Budaya kerja dan amalan harian baharu sangat ditekankan supaya reformasi kesihatan akan menuju kepada setiap tonggak pencapaian serta dapat dinilai lebih objektif. Justeru, dokumen Kertas Putih Kesihatan ini menggariskan tiga fasa secara berperingkat selama 15 tahun dengan setiap fasa dikenal pasti anggaran garis masa pencapaian.

Fasa pertama akan menekankan reformasi sistem kesihatan ke atas pembinaan kerangka asas dalam tempoh beberapa tahun berikutnya. Dengan kata lain, fasa pertama ini sangat kritikal untuk memastikan perubahan dan pencapaian pada tonggak berkenaan dapat dicapai sebaiknya.

Secara keseluruhan, dokumen Kertas Putih Kesihatan mencerminkan usaha kolektif setiap pihak daripada pelbagai latar belakang sama ada individu atau berkumpulan dan mereka memberi maklum balas dan mencadangkan kepada pihak berwajib beberapa aspirasi dari pelbagai sudut dan sektor kesihatan.

Pembentangan Kertas Putih Kesihatan di Parlimen untuk pembahasan ahli Parlimen adalah proses penambahbaikan dan ingin melihat kepada ruang masih belum diperbaiki berdasarkan sistem kesihatan sedia ada.

Hasil reformasi sistem penjagaan kesihatan ini seharusnya memberi manfaat kepada rakyat yang akan semakin sihat apabila mengamalkan reformasi sistem penjagaan kesihatan itu nanti.

Pelbagai tema dan penanda aras boleh disediakan dalam mana-mana dokumen kertas putih, tetapi reformasi hanya akan berlaku apabila semua pihak mengambil langkah proaktif dan terbabit secara langsung mengambil tanggungjawab sebaiknya. Semua pihak wajar memperkasakan kesihatan rakyat dan memastikan kesihatan negara berdaya tahan dan kalis masa depan.