#KitaJagaKita

Pelajar tahfiz ‘berhak’ didedah pendidikan seksualiti

WhatsApp Image 2023-07-11 at 3.57.57 PM

Isu seksualiti bukan sahaja perlu diberikan penekanan dalam konteks pendidikan kebangsaan, bahkan ia sebenarnya mesti dibuat secara meluas termasuk dalam pendidikan bukan formal seperti institusi tahfiz.

Kepentingan pendidikan seksualiti itu dapat dikesan melalui kerjasama (I-Medik) dengan institusi tahfiz dalam usaha memahami suasana dan sistem, sekali gus mengkaji faktor boleh menyumbang kepada permasalahan serta mengenal pasti penyelesaiannya.

Diakui, kewujudan banyak institusi tahfiz perlu dipuji kerana pelbagai pihak berlumba-lumba melahirkan penghafaz al-Quran, sama ada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta malah individu persendirian.

Namun, berlaku keciciran dalam pemantauan rapi oleh pihak berkuasa. Berbanding sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang mempunyai kaunselor terlatih, institusi tahfiz terutama bergerak atas kapasiti persendirian bukan sahaja diusahakan sesama ahli keluarga malah beroperasi secara tertutup.

Ini merisikokan pelajar kerana sukar membuat aduan atau mendapatkan nasihat. Lebih memburukkan apabila wujud budaya berasakan guru boleh melakukan apa-apa sahaja kepada pelajar.

Apatah lagi, pelajar tidak memiliki pengetahuan atau kemahiran menghadapi gangguan seksual. Ada yang masih tidak tahu sentuhan selamat dan tidak selamat serta tidak tahu mempunyai hak untuk tidak dilihat, disentuh atau dipaksa menyentuh anggota tubuh orang lain.

Ini memerlukan pendidikan sesuai mengikut kesesuaian usia dan kematangan kognitif kanak-kanak serta remaja, sekali gus perlu didik secara berterusan.

Kekurangan dana mengakibatkan berlaku pengabaian dari segi keselamatan pelajar seperti ketiadaan guru yang cukup untuk memantau, tiada sistem berkesan dan cepat untuk pelajar melaporkan sebarang masalah serta kekurangan aktiviti luar asrama lebih meningkatkan kebarangkalian masalah seksualiti membimbangkan.

Keempat, tinjauan I-Medik mendapati masih ramai guru secara amnya termasuk di institusi tahfiz masih kurang kesedaran, pengetahuan dan kemahiran dalam isu seksualiti hingga berasakan ia boleh dipelajari sendiri oleh kanak-kanak dan remaja.

Tidak kurang penting juga pembabitan ibu bapa bersama institusi tahfiz dengan mereka bukan sekadar membayar yuran dan mengambil anak semasa cuti sahaja tanpa bertanyakan permasalahan anak, emosi atau gangguan berlaku di asrama.

Dalam artikel Guru Tahfiz Murabbi: Mendepani Kecenderungan Masyarakat Terhadap Pendidikan Tahfiz tulisan Ketua Pusat Penyelidikan Al-Quran Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff, terdapat ibu bapa menjadikan tahfiz sebagai tempat pemulihan akhlak anak mereka.

Bagaimanapun, mereka tidak berusaha bersama ke arah itu, sebaliknya menyerahkan seratus peratus kepada institusi tahfiz untuk melakukannya. Ini boleh mencetuskan budaya negatif kerana kurang bimbingan malah boleh mengancam keseluruhan pelajar lain.

Hakikatnya, memperkasa dan memartabatkan semula institusi tahfiz di mata masyarakat turut memerlukan usaha menangani isu seksualiti. NGO pula perlu mengambil inisiatif turun padang memberi pendidikan kepada masyarakat terutama pendidik dan pelajar tahfiz sendiri sebagai tanggungjawab sosial dan perubahan ke arah budaya seksualiti sihat dan menepati syariah.

Ketua Sektor Pendidikan Kesihatan dan Seksualiti Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

– Sumber dari Berita Harian Online