#KitaJagaKita

Prihatin, celik undang-undang kesan awal penderaan seksual

93b6cb34-3108-4274-a948-7c44a663a32d

GERAM dan sebak apabila mendengar kisah seorang bayi perempuan berusia 18 bulan yang koma akibat kerakusan nafsu syaitan bertopengkan manusia.

Bayi berkenaan didapati mengalami leban-lebam seluruh badan ketika dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedar.

Apabila diperiksa, bayi itu bukan saja mengalami penderaan fizikal, malah ada kesan koyakan teruk di kemaluannya.

Kisah bayi malang itu didedahkan oleh Pensyarah Perubatan dan Pakar Pediatrik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nor Azyati Yusoff dalam Forum Antun Seksual dan Dera: Selamatkah Anak Kita? anjuran Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), baru-baru ini.

Nor Azyati berkata, kes penderaan seksual lain yang dirujuk kepadanya membabitkan seorang budak lelaki berusia sembilan tahun.

“Mangsa yang belajar di sebuah sekolah di Selangor, dikesan berubah sikap menjadi pendiam dan murung setiap kali balik bercuti di rumah.

“Apabila ditanya, dia mengaku mengalami peristiwa ‘pelik’ yang dilakukan oleh warden di pusat tahfiz berkenaan. Apabila disiasat, terbongkar perbuatan warden berkenaan yang meliwatnya,” katanya.

Yang hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dan peguambela, Fatihah Jamhari.

Pastikan mangsa dilindungi
Nor Azyati berkata, apabila menerima kes penderaan seksual membabitkan kanak-kanak, matlamat utama pasukan perubatan adalah untuk memastikan mangsa selamat dan dilindungi.

Mangsa akan ditempatkan di pusat sehenti krisis, di unit kecemasan yang lazim ada di semua hospital.

Langkah itu bertujuan mengurangkan mangsa daripada terdedah kepada orang ramai.

“Mangsa akan dibawa ke wad untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan biasanya memakan masa lebih daripada sehari termasuk tahap emosi.

“Pemeriksaan dijalankan oleh kumpulan perubatan yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang seperti obstetrik dan ginekologi (O&G), psikologi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Pihaknya turut mencadangkan kepada keluarga atau guru supaya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dijalankan.

Jangan cepat menghukum mangsa
Pengantunan kanak-kanak membabitkan komunikasi dengan tujuan untuk melakukan kesalahan seksual.

Ia termaktub dalam Akta Kanun Keseksaan termasuk rogol, cabul dan sebagainya yang dikatakan pengantunan kanak-kanak.

Siti Kamsiah berkata, peruntukan undang-undang bagi antun adalah untuk kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun.

Walaupun kanak-kanak secara sukarela melakukan sebarang perbuatan berunsur seksual, pelaku boleh didakwa di bawah kes pengantunan kanak-kanak.

“Masyarakat kena celik undang-undang, jangan cepat menghukum mangsa dengan menyalahkan mereka. Mungkin pada mulanya mereka layan pelaku tetapi akhirnya tidak selesa apabila berlaku sentuhan dan sebagainya, “ katanya.

Beliau turut menyarankan orang ramai tampil membuat laporan jika berlaku kes pengantunan kanak-kanak.

Sebagai contoh, mesej yang memujuk mangsa menjadi teman wanita atau meminta mereka menghantar gambar tanpa berpakaian.

“Kadang-kadang ibu bapa takut untuk membuat laporan hingga ada yang memadam gambar dihantar sedangkan ia adalah bukti berlaku pengantunan.

“Satu lagi isu yang sering menjadi bualan ramai adalah berkaitan tangkapan kerana ada kes yang tiada tangkapan. Kalau ia tidak memudaratkan atau tidak perlu, hanya keterangan diambil dan tiada tangkapan dibuat oleh pihak polis,” katanya.

Manakala tindakan reman bergantung kepada keperluan keterangan.
Apabila siasatan selesai baru kes akan dirujuk kepada Peguam Negara sama ada mahu dituduh atau tidak berdasarkan bukti yang ada.

Dalam pada itu, katanya, mangsa serangan dan penderaan seksual biasanya tidak pandai bercerita mengenai jenayah yang berlaku ke atas mereka.

“Rakaman percakapan secara lisan atau video akan dibuat ketika menjalankan siasatan. Mangsa tidak perlu hadir ke mahkamah.

“Mangsa tidak faham perbuatan yang dilakukan kepadanya kerana belum matang. Mereka akan tunjuk ekspresi muka seperti monyok dan sedih apabila nama penjenayah disebut,” katanya.

Kata Siti Kamsiah, sekiranya mangsa tidak stabil, pihaknya akan menggunakan khidmat pakar psikologi untuk menstabilkan mangsa sebelum temubual diteruskan. -UTUSAN