#KitaJagaKita

SESI KUNJUNGAN HORMAT KE JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (JAWI) KUALA LUMPUR

373534996_285597924107546_1337111958295262806_n

KUALA LUMPUR, 30 OGOS 2023 – Kunjung hormat antara wakil daripada I-Medik Kuala Lumpur (KL) bersama dengan Unit Pembangunan Murid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi memperkenalkan Modul ReproAlert! kepada sekolah- sekolah yang berada di bawah seliaan JAWI.

Perbincangan tertumpu kepada pelatihan modul ini kepada para guru, kaunselor dan pentadbir sekolah.
Encik Arif Aizuddin b. Abdullah selalu Ketua Unit Pembangunan Murid menzahirkan kepentingan modul pendidikan kesihatan dan seksualiti dalam berhadapan dengan realiti dan cabaran semasa kanak-kanak dalam mendepani arus kemodenan. Beliau berharap modul ini dapat dikembangkan kepada tenaga pengajar dan pelajar dan pada masa yang sama menjadi titik tolak kerjasama erat antara warga pendidik dan pengamal perubatan pada jangka sama panjang.

Turut sama hadir dalam pertemuan tersebut En Syed Fahmi Akmal b. Syed Isa, Penolong Pengarah Bahagian Pelajaran Unit Kokurikulum, Pn Syuhaida bt Mat Saud, Penolong Pegawai Bahagian Pelajaran Unit Pembangunan Murid, En Muhamad Razif b. Yunus, Penolong Pegawai Bahagian Pelajaran Unit Pengurusan Kokurikulum selaku wakil daripada pihak JAWI.

Manakala I-Medik Kuala Lumpur pula di diwakili oleh Dr Mohammad Faezuddin b. Shamsualharis, Pengerusi I-Medik KL, Dr Mohd Faizul b. Amer, Naib Pengerusi I-Medik KL, Dr Nur Najwa Hanim binti Abd Latiff, Timbalan Pengerusi I-Medik KL dan Dr Aeishah binti Mohd Khidir, Ahli Jawatankuasa I-Medik Care KL.

Kunjungan hormat ini juga memberikan peluang untuk pihak I-Medik KL memperkenalkan I-Medik yang mempunyai cawangan di seluruh Malaysia, aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan dan komitmen di pihak I-Medik dalam memartabatkan tamadun perubatan Islam di Malaysia.

Pertemuan yang diadakan di Dewan Syura Wawasan, Menara Pusat Islam Wilayah Persekutuan ini telah berlangsung selama hampir dua jam. Kedua-dua pihak menzahirkan komitmen untuk berkerjasama dalam menyebarluas modul pendidikan seksualiti berasaskan kekeluargaan ini kepada para guru dan pelajar yang berada di bawah seliaan pihak JAWI.

Disediakan oleh,
AJK Media I-Medik KL