28 Ogos 2023 | Sepilok, sandakan – seramai 12 orang ahli I-Medik Sabah telah menghadiri program ‘retreat’ yang telah diadakan di Sepilok Jungle Resort Sandakan.
Turut bersama dalam program tersebut adalah Prof Dr Azizi bin Ayob serta Prof Dr Rafidah Hanim binti Mokhtar mewakili Jawatankuasa Pusat I-Medik.
Program telah berlangsung selama dua hari satu malam untuk membincangkan program-program yang telah dijalankan oleh I-Medik Sabah sepanjang tahun 2022 sehingga 2023 serta halatuju I-Medik Sabah di masa akan datang.
Program dimulakan dengan sesi suakenal sesama ahli untuk mengeratkan lagi kerjasama bagi membangunkan I-Medik Sabah.
Di dalam program tersebut, Prof Dr Azizi bin Ayob selaku Presiden I-Medik membawa semua ahli mengimbau kembali sejarah penubuhan I-Medik dan pencapaian I-Medik selama hampir 10 tahun penubuhan I-Medik.
Majlis kemudian dihangatkan pula dengan pembentangan Prof Dr Rafidah Hanim tentang cabaran-cabaran yang dilalui I-Medik di masa kini serta sejarah penggubalan modul ReproAlert dan kepentingan modul ini dalam menghadapi cabaran arus masa kini.
Turut dimanfaatkan dalam program kali ini, peluang untuk menikmati keindahan hutan Sepilok dan melihat sendiri pusat rehabilitasi Orang utan yang menjadi tumpuan pelancong di Sepilok.
Program diakhiri dengan pembentangan gerak kerja baru I-Medik Sabah dan hala tuju untuk masa akan datang.
Besar harapan I-Medik Sabah untuk berkerjasama dengan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO), majlis agama islam serta mana-mana pertubuhan yang lain untuk bersama-sama I-Medik Sabah dalam menjalankan program-program yang akan memberi manfaat buat masyarakat di masa akan datang.