BERKURANGNYA kematian dan kes positif COVID-19 dapat dilihat sebagai petanda Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menunjukkan hasil memberangsangkan dalam melindungi komuniti.
Susulan itu, hampir semua sektor kembali pulih apatah lagi selepas kebenaran merentas negeri diberikan. Paling meriah tentu sahaja bidang pelancongan. Tidak perlu bukti jauh, anda hanya perlu buka laman Facebook dan lihat di mana rakan anda berada.
Ketika kita berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diminta untuk berada di rumah sebagai langkah pencegahan COVID-19, pekerja sektor kesihatan adalah kumpulan yang terus bekerja keras. Tiada istilah bekerja dari rumah atau kekal di rumah, sebaliknya mereka cekal berdiri di barisan hadapan. Panggilan tugas berterusan, cabaran menangani pengurusan pesakit, malah risiko jangkitan terhadap diri sendiri dan keluarga antara sebahagian kegetiran yang perlu dilalui.
Justeru, dengan keadaan pandemik yang kian beransur baik, adalah wajar kumpulan kakitangan sektor kesihatan ini diberikan peluang berehat mencukupi. Hal ini, bukanlah sesuatu yang baharu. Ibaratnya pasukan tentera yang balik berperang atau selesai menunaikan misi, pasti sahaja mereka perlu ruang untuk berehat.
Bagaimanapun, adakah sistem kesihatan kita bersedia memberikan kelulusan bercuti kepada mereka apatah lagi hal itu sudah tertangguh sekian lama?
Jika bukan cuti yang lama, mungkinkah boleh dipertimbangkan jadual tugas dengan syif lebih pendek? Mungkinkah juga boleh diberikan cuti rehat melebihi kadar biasa seperti diamalkan kini, iaitu sehari atau dua dalam tempoh seminggu?
Bagaimana pula sistem sedia ada mengenal pasti individu memerlukan? Sekiranya mereka ini diberikan peluang rehat itu, adakah pentadbiran sedia menggajikan tenaga luar bekerja secara fleksibel bagi menampung kekurangan itu?
Jururawat dan pekerja kesihatan adalah aset negara. Mereka sudah melalui fasa kritikal ketika pandemik yang merakam kepayahan dan kegetiran. Justeru, amat wajar jika kumpulan ini diberikan ruang berehat sepenuhnya. Ia tentu sahaja penting dalam memastikan kesejahteraan minda, psikologi dan emosi.
Sebagai manusia, pengalaman adalah guru kita yang terbaik. Jika perkara sama berulang di masa hadapan, apakah mungkin yang akan berlaku?
Mohammed Rasheedan Ellin
Ketua Sektor Kejururawatan I-Medik