Kerisauan mengenai kesihatan adalah sesuatu yang normal selain berperanan untuk memastikan kita sentiasa berjaga-jaga.
Namun dalam sesetengah kes, ia boleh berlaku secara berlebihan sehingga menimbulkan gangguan kepada kehidupan.
Pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia menyebabkan segelintir masyarakat yang mengalami kerisauan yang berlebihan terhadap kesihatan.
Keadaan ini menyebabkan ada dalam kalangan individu yang masih enggan keluar daripada rumah kerana dikhuatiri dijangkiti virus itu sehingga mengganggu pekerjaan dan sebagainya.
Pakar psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria berkata dalam psikologi, ada keadaan yang kita rujuk sebagai ‘health anxiety’ atau kerisauan melampau dalam hal berkait dengan kesihatan.
“Individu yang mengalaminya menunjukkan kerisauan yang berlebihan terhadap isu kesihatan seperti kemungkinan akan mendapat penyakit tertentu yang dibimbangi akan membawa mudarat besar kepada dirinya atau orang di sekeliling,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurutnya, individu itu akan bertindak berlebihan dalam mencari maklumat berkaitan penyakit dan mengambil tindakan pencegahan yang ekstrem.
“Antaranya, dengan mengelak melakukan aktiviti tertentu yang dikhuatiri membawa risiko dan sentiasa memerlukan orang lain memberi jaminan kepadanya mengenai kesihatan.
“Sebahagian akan berulang-alik mendapatkan perkhidmatan doktor untuk pemeriksaan sekali pun sudah diyakinkan mengenai tahap kesihatan mereka dalam keadaan baik,” katanya.
Jelasnya, keadaan ini boleh berlaku, terutama pada fasa Covid-19 yang banyak menimbulkan keresahan akibat penularan penyakit ini yang meluas dan kesan kepada kesihatan serius.
“Maka individu yang terkesan mungkin akan enggan keluar rumah kerana terlalu memikirkan gejala yang dialami sehingga mengganggu fikiran dan kehidupan seharian,” katanya.
Mengulas lanjut, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada kerisauan melampau terhadap kesihatan ini.
“Ia berkait rapat dengan individu yang mempunyai personaliti yang berisiko seperti terlalu obses, mementingkan kesempurnaan dan mudah risau.
“Selain itu berkemungkinan, individu terbabit pernah mempunyai sejarah trauma lampau termasuk menjadi pesakit Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, individu yang mempunyai gangguan mental seperti kemurungan cenderung mengalami masalah ini.
“Bagi individu yang mudah terpengaruh dengan berita palsu atau informasi yang tidak sahih boleh menyebabkan mereka mengalami uan melampau,” katanya.