Sumber: http://blog.ismamesir.net/2016/08/14/pemakaian-pendakap-gigi-atau-braces/
Sudah menjadi trend remaja masa kini untuk memakai pendakap gigi atau dikenali sebagai braces. Pemakaian braces pada hakikatnya bertujuan bagi memperbetul kedudukan gigi kembali kepada kedudukan yang ideal. Namun, braces kini lebih dijadikan sebagai fesyen dan trend masyarakat terutama golongan remaja.
Adakah pemakaian braces ini mematuhi syariat Islam? Adakah dengan pemakaian braces seolah-olah mengubah ciptaan Allah s.w.t? Untuk tujuan kecantikan semata-mata? Artikel ini akan merungkai secara terperinci tentang braces. Penerangan tentang kaedah rawatan ortodontik dan braces serta hukum hakam berkaitan dengannya.
Pendakap gigi atau dikenali sebagai braces merupakan alat yang digunakan bagi memperbetul kedudukan gigi individu untuk menghalang sebarang bentuk komplikasi yang lebih teruk. Pemakaian braces juga digunakan bagi membetulkan maloklusi; gigitan, crossbite, gigitan terbuka, gigitan mendalam, dan juga komplikasi rahang. Segala komplikasi ini juga memberi kesan kepada proses pengunyahan makanan, pertuturan dan sebagainya.
Secara umumnya, braces terdapat beberapa jenis. Antaranya Metal braces, Clear ceramic braces, Self ligating bracket, Damon braces dan Clear Path Braces. Metal braces atau pendakap gigi logam ini antara yang popular dan menjadi pilihan golongan remaja. Penggunaan bracket braces atau pendakap kurungan ini disertakan sekali bersama elastic berwarna (gelang getah) . Ini yang menjadi daya tarikan remaja untuk memakai braces jenis ini.
Keunikan gelang getah berwarna-warni menjadi daya tarikan pesakit untuk memilih braces jenis ini.
Rawatan ortodontik diberikan kepada beberapa permasalahan seperti merawat maloklusi. Terdapat beberapa jenis maloklusi seperti gigi jongang dan gigi jarang. Gigi jongang berlaku apabila gigi atas dalam kedudukan terkehadapan berbanding gigi bawah. Dalam hal ini, pesakit mengalami kesukaran untuk bercakap, mengunyah mahupun untuk menutup mulut. Sudah pasti juga menjadi satu aib dan bahan ejekan kepada individu yang mengalami gigi jongang. Lebih-lebih lagi kedudukan yang dalam keadaan kritikal.
Pesakit ini selalunya mengalami kesukaran untuk menyebut perkataan ‘S’ dan ‘T’ pada awal perkataan dan menyebabkan pertuturan tidak jelas. Keadaan gigi jongang ini juga memberi kesan mental kepada pesakit kerana keterampilan yang tidak menarik. Kanak-kanak juga antara golongan yang menjadi mangsa dalam bahan ejekan dan buli kerana kejelekan rupa kanak-kanak yang mempunyai gigi jongang. Tidak dinafikan bagi golongan dewasa turut menjadi bahan lawak jenaka kerana masalah gigi jongang.
Kedudukan gigi jongang yang boleh menyebabkan mudarat kepada pesakit.
Rupa dan kecantikan merupakan sesuatu yang subjektif untuk diukur. Maloklusi mempunyai beberapa tahap, ada yang serius dan ada yang minimum sahaja. Rawatan ortodontik tidak menjadi keperluan pada maloklusi yang minimun bahkan jika dilakukan, akan memberi lebih keburukan berbanding kebaikan. Sangat disarankan untuk pesakit mendapatkan nasihat dan pertimbangan dengan lebih teliti daripada pakar ortodontik. Pemeriksaan yang lebih teliti daripada pakar akan memberi kesan rawatan yang baik dan memuaskan.
Kedudukan gigi sangat penting dalam memastikan fungsinya sempurna. Dengan kedudukan gigi yang baik akan membantu untuk memudah proses pengunyahan makanan yang boleh mempengaruhi fungsi penghadaman. Antara lain, dapat memudahkan proses memberus gigi. Jika gigi yang berlapis boleh menyebabkan ketidaksempurnaan ketika memberus gigi. Hal ini akan menyebabkan makanan akan terlekat di celah-celah gigi dan akan memberi kesan yang lain seperti karies gigi.
Apa hukum pemakaian braces mengikut syarak ?
Secara umum, Islam melarang manusia untuk mengubah ciptaan Allah s.w.t tanpa ada keperluan mahupun darurat. Allah s.w.t melaknat mereka yang menipiskan gigi sebagaimana dalam hadis berikut,
َTelah menceritakan kepadaku Muhammad bin Muqatil telah mengabarkan kepada kami Abdullah telah mengabarkan kepada kami Sufyan dari Manshur dari Ibrahim dari ‘Alqamah dari Ibnu Mas’ud radliallahu ‘anhu dia berkata; “Allah melaknat orang yang mentato dan yang minta ditato dan mencukur habis alis mata serta merenggangkan gigi (dengan kawat dll) untuk kecantikan dengan merubah ciptaan Allah, kenapa saya tidak melaknat orang yang dilaknat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sementara telah tertulis dalam kitabullah.”
(Hadis no: 5487, Shahih Bukhari)
Namun pemakaian braces diharuskan dengan sebab-sebab tertentu sepeti kemalangan mahupun cacat semulajadi. Dalam kitab Al-Halal wal Haram Fil-Islam, Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata:
Seandainya orang tersebut mempunyai kecacatan yang menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, tidaklah berdosa untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Ini kerana Allah tidak menjadikan agama untuk kita dengan penuh kesukaran.
Dalam satu artikel online dalam bahasa arab, Dr Rafa’at Fawzi Abdul Muttalib, beliau merupakan Profesor di Universiti Dar al-Ulum berkata ;
بالنسبة للأسنان المعوجة التي تسبب حرجا للسائلة لا بأس به
Bermaksud: braces yang membetulkan kerosakan gigi adalah dibenarkan.
Justeru, pemakaian braces dibenarkan untuk merawat kedudukan gigi yang bermasalah bagi mengurangkan kemudaratan kepada pesakit. Namun, pemakaian braces untuk tujuan kecantikan di haramkan seperti mana dalam hadis Bukhari tadi.
Bagaimana pula dengan ‘Fake Braces’ atau pendakap gigi tiruan?
Menjadi permasalahan baru kepada remaja yang menjadikan braces sebagai satu fesyen dan trend sedangkan gigi mereka dalam keadaan baik. Sedangkan penggunaan fake braces ini memberi impak negatif kepada individu yang mempunyai gigi yang sedia ada sihat. Bahkan gigi juga akan mereput. Antara kesan lain pemakaian fake braces adalah gigi bergerak tidak terkawal, goyang dan menyebabkan malfuntion, tidak berfungsi dan terpaksa dicabut.
Penggunaan fake braces hanya akan memberi kesan yang lebih teruk. Braces akan menolak kedudukan gigi yang stabil kepada satu kedudukan yang lain. Dalam sebuah artikel online Harian Metro, Datuk Seri S Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia berkata, trend memakai dan membeli pendakap gigi palsu dari pasaran gelap untuk digunakan pada gigi mereka akan mengundang risiko kesihatan. Penggunakan fake braces boleh memberi kesan kepada saraf dan saluran darah pada gigi mati dan mengalihkan gigi.
Yang lebih membimbangkan, terdapat laporan kematian yang berkaitan dengan penggunaan bahan yang berbahaya. Sebagai contoh, plumbum dalam fake braces yang akan memberi kesan kepada masalah gusi, ulser mulut, jangkitan mulut, gigi berkalih, kehilangan gigi dan lain lagi.
Kebanyakan individu yang memakai braces tiruan hanya sekadar untuk kecantikan dan fesyen. Bahkan fake braces hanya memberi impak buruk kepada pesakit bahkan mendatangkan lebih keburukan berbanding kebaikan. Justeru haram bagi seseorang untuk memakai braces berdasarkan hadis Baginda s.a.w berkaitan dengan mengubah ciptaan Allah s.w.t.
ِ“Allah melaknat orang yang mentato dan yang minta ditato dan mencukur habis alis mata serta merenggangkan gigi (dengan kawat dll) untuk kecantikan dengan merubah ciptaan Allah, kenapa saya tidak melaknat orang yang dilaknat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sementara telah tertulis dalam kitabullah.”
Konklusi daripada perbincangan ini, terdapat dua hukum daripada pemakaian braces. Pertama, HARAM bagi sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa masalah pada gigi dan memakainya hanya tujuan kecantikan dan trend. Nas yang menyokong kuat hukum ini melalui hadis Baginda Muhammad s.a.w berkaitan dengan mengubah ciptaan Allah. Dan menjadi satu kebimbangan kepada golongan remaja yang gemar memakai fake braces, di mana hanya akan mendatangkan lebih kemudaratan berbanding kebaikan.
Namun, jika terdapat sebab tertentu seperti cacat sejak lahir atau mengalami kecederaan akibat kemalangan, kedudukan gigi yang tidak stabil dan memudaratkan, maka diHARUSkan untuk mendapatkan rawatan ortodontik dan braces.
Ditulis oleh :
Abdul Rauf Bin Badrul Hisham
Pelajar Pergigian, Universiti Tanta, Mesir.
Aktivis I-Medik Mesir.
Rujukan :
1. Buku Al-Halal wal Haram Fil-Islam, Dr. Yusuf al-Qaradawi
2. Shahih Bukhari
3. Buku Tanyalah Pakar Tentang Fiqh Dental
4. http://www.hmetro.com.my/node/34596 5. http://archieve.islamonline.net/?p=152