#KitaJagaKita

KESIHATAN MENTAL- APAKAH KITA SEKADAR MENUNGGU KISAH SADIS SETERUSNYA?

mental 2

“Cucu Penggal Kepala Nenek Berusia 76 Tahun”

Tidak kira tragis manapun berita seumpama ini, apa yang pasti ia akan tenggelam dari perhatian dalam masa yang begitu singkat. Apatah lagi apabila dalam celahan berita itu akan tertulis baris-baris ayat yang mengatakan bahawa ‘suspek dipercayai mengalami gangguan mental’. Ramai yang akan terus beranggapan episod cerita itu akan berakhir di situ sahaja. Tiada iktibar untuk mereka yang tidak terlibat dengannya. Tidak kurang juga yang terkhilaf dengan membuat kesimpulan prejudis daripada satu kisah ini. Akibatnya orang lain yang mengalami dugaan yang sama, diuji dengan penyakit mental, juga turut terpalit dengan cemuhan yang tidak sepatutnya.

Hakikat yang pahit untuk kita adalah kisah malang 9 Ogos itu bukan yang pertama dan pastinya bukan yang terakhir. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah sikap, pandangan dan mentaliti masyarakat umum terhadap kesihatan mental masih di takuk lama. Kalaupun ada perubahan, ia masih terlalu kecil dibandingkan dengan usaha yang telah dilakukan untuk menyebarkan kesedaran kepada masyarakat. Stigma terhadap pesakit mental dan bidang ini secara umumnya masih menjadi bongkah besar yang menghalang perkhidmatan ini sampai kepada golongan sasar.

Kita masih mendengar rintihan pesakit menerima diskriminasi akibat status ‘penyakit mental’ yang dialaminya. Masih ada yang menolak apabila dirujuk untuk mendapatkan penilaian. Masih ada yang menyembunyikan ahli keluarga yang tidak sihat daripada orang luar. Masih ada yang bersembunyi dari ahli keluarga, bahkan pasangan sendiri mengenai status kesihatan mereka. Tidak kurang yang enggan mendapat  rawatan yang diberikan. Bukan kerana mereka malu atau terlalu menjaga status peribadi. Tetapi itu yang terpaksa dilakukan kerana tidak mampu menanggung pandangan dan cemuhan sesetengah orang tentang status kesihatan mereka. Sudahlah pedih dugaan gangguan emosi, perasaan dan fikiran penyakit itu sudah berat. Ditambah pula dengan konotasi negatif dari orang lain.

“Saya ni kategori gila ke doktor?”

Bukan sekali dua kami diaju dengan soalan ini. tidak kiralah pesakit yang mengalami kemurungan, gangguan bipolar, obsessive compulsive disorder (OCD), panic disorder, schizophrenia atau apa sahaja diagnosis, pasti dicelah-celah pertemuan itu ada pertanyaan seumpamanya. Kenapa mereka bertanya? Kerana mereka telah penat meyakinkan diri mereka bahawa mereka bukan gila. Tetapi mereka berasa-rasa seolah-olah perlu melawan satu dunia yang mengatakan sebaliknya. Semuanya sebab salah faham masyarakat terhadap penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit mental. Siapa sahaja yang keluar dari wad atau klinik psikiatri, anggapan sesetengah orang – “Gila lah tu!”

mental 1

Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): “Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila”. (Al-Hijr: 6)

Rupanya tohmahan yang terlipat dalam sejarah 1400 tahun dahulu masih berlegar dalam versi dan plot yang berbeza hari ini.

Apa yang kita harapkan hari ini, biarlah istilah itu telan dilarut peredaran zaman. Apa pun konotasi istilah itu dari bayangan cerita-cerita dan kisah-kisah dongeng atau jenaka, biarkanlah ia berakhir. Masyarakat harus bermula dengan memahami kepentingan kesihatan mental serta gejala-gelaja yang boleh berlaku apabila mental seseorang tidak sihat. Gantikan stigma itu dengan kefahaman dan terjemahkan kepada sokongan untuk semua – tidak kira pesakit, mahupun keluarga mereka.

Polisi Kesihatan Mental Nasional (2000) mendefinasikan kesihatan mental sebagai kemampuan seseorang individu, kumpulan atau persekitaran untuk berinteraksi antara satu sama lain bagi menjana perasaan yang sejahtera dan fungsi yang optima serta penggunaan kebolehan intelek, emosi dan perhubungan sosial dalam mencapai matlamat individu dan kumpulan. Secara ringkasnya individu yang sihat mentalnya bermakna dia menjalankan fungsi mereka sebagai seorang individu dengan kapasiti akal, emosi dan sosialnya. Jika cacat mana-mana aspek, maka terganggulah kesihatan mentalnya.

Al-quran sendiri telah menggariskan kepentingan menjaga kesihatan mental dengan istilah-istilah “insyirah al sadr” yang merujuk kepada psikologi yang sihat.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus:57)

Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; (Taaha:25)

Begitu juga banyak ayat-ayat lain yang menggariskan tentang ketidakstabilan psikologi atau “dhaiq al sadr” atau sempit dada seperti di dalam ayat dalam surah Al-Hijr ayat 97 dan Asy-syuaara’ ayat 13.

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. (Al-Ma’arij:19-20)

Maka tidak ada apa yang perlu dipandang negatif apabila seseorang mengalami gangguan dari sudat kesihatan mentalnya. Seperti mana bahagian tubuh yang lain, yang tidak kebal dari penyakit, begitu juga dengan jiwa, emosi, akal dan fikiran manusia. Kemurungan misalnya, bukan sekadar ‘bersedih sebab masalah hidup’, schizophrenia bukan sekadar ‘bercakap seorang diri’, OCD bukan sekadar ‘penyakit was-was’, panic disorder bukan juga sekadar ‘buat-buat macam nak mati’. Ianya lebih rumit dari itu untuk difahami.

mental 3

Kalau pun kita tidak berminat mengetahui patofisiologi penyakit tersebut, cukuplah dengan kita cuba memahami individu yang menghadapinya. Terjemahkan kefahaman anda dengan memberi sokongan. Sebagaimana anda akan memberi sokongan apabila ada individu yang diuji dengan penyakit kanser, kemalangan, keguguran, jangkitan kuman dan sebagainya.

Kita memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang ini, tidak kira doktor, jururawat, jurupulih cara kerja, pembantu perubatan, pegawai psikologi, pekerja sosial dan pelbagai lagi aspek kerjaya yang mampu memberi sumbangan kepada mereka. 20 peratus kanak-kanak Malaysia yang menghidap gangguan mental seperti disahkan di dalam tinjauan National Health Morbidity Survey 2011 adalah umpama bom jangka yang akan meletup jika kita tidak berbuat sesuatu. Inilah masa terbaik untuk kita mula melihat keperluan kesihatan mental secara lebih terbuka. Sekiranya bukan kita, siapa lagi. Andai bukan sekarang, bila lagi?

Dr Rozanizam Zakaria,
Registrar, Jabatan Psikiatri Hospital USM
Pensyarah pelatih Jabatan Psikiatri UIAM

Aktivis I-Medik Kelantan

 

Rujukan
Al-Quran Al Karim
Haque, A. (2005). Mental health concepts and program development in Malaysia. Journal of Mental Health, 14(2), 183-195.
National Health and Morbidity Survey, NHMS (2011), Kementerian Kesihatan Malaysia