Demam merupakan salah satu sebab utama kanak-kanak dibawa ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan. Ramai ibu bapa memberi jawapan yang subjektif mengenai demam anak dengan hanya ‘rasa panas di dahi’.
Menyukat suhu badan anak menggunakan termometer atau jangka suhu adalah penting dan lebih objektif berbanding merasa demam dengan tangan. Tahap panas dan ‘pattern’ demam adalah maklumat bermanfaat dalam membantu doktor mengenal pasti punca demam dan memberikan rawatan yang terbaik. Terdapat banyak punca demam seperti bengkak tonsil, jangkitan virus atau sesuatu lebih bahaya seperti denggi.
Ibu bapa oleh membantu doktor yang merawat dengan menyukat suhu dan merekodnya di dalam buku kecil. Sukat sekurangnya 6 jam sekali sebelum memberi anak ubat mengurangkan demam. Demam adalah suhu melebihi 37.5°C.
Pelbagai termometer boleh didapati di kedai dan farmasi. Untuk pengetahuan ibu bapa, penggunaan termometer yang sesuai mengikt umur sangat penting untuk kanak-kanak 0-5 tahun untuk mendapatkan bacaan yang tepat.
Termometer raksa
Elakkan menggunakan termometer menyukat suhu di dalam mulut atau di punggung bayi. Menurut garis panduan National Institute for Health and Care Excellence, bayi usia bawah 4 minggu, gunakan termometer digital dan sukat di axilla (ketiak) bayi.
Kanak-kanak berusia 4 mingu sehingga 5 tahun pula, sebaiknya sukat di bahagian ketiak menggunakan termometer digital, termometer raksa atau boleh juga menggunakan infrared di telinga.
Alat jangka suhu di dahi tidak sepatutnya digunakan untuk usia 0-4 tahun memandangkan risiko bacaan tidak tepat.
Ubah gaya hidup kita kepada lebih ambil tahu akan tahap kesihatan anak-anak dan bersama membantu mencegah seterusnya merawat anak-anak yang diamanahkan.