#KitaJagaKita

Kalam Presiden I-Medik Sempena AGM Pertama

prof-azmi1

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Saya mengatur setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita sama-sama dapat menghadirkan diri ke Konvensyen Perubatan dan Sains Kesihatan, KPSK 2014 dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertama anjuran Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia, I-Medik.

Selawat dan salam ke atas junjungan yang mulia Rasulullah saw, menjadi contoh ikutan terbaik untuk semua manusia di sepanjang zaman.

Saya dengan rasa penuh rendah hati ingin mengalu-alukan kedatangan semua peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai latar-belakang dan profesian ke konvensyen kita pada tahun ini.

Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima-kasih kepada Yang Berbahagia Saudara Abdul Rahman Md Dali, Naib Presiden II Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kerana sudi meluangkan masa bagi merasmikan KPSK 2014.

Perbezaan latar-belakang dan profesion sama ada di bidang perubatan, pergigian, kejururawatan dan sains bersekutu, tidaklah menjadi sebab untuk kita duduk bersama-sama, mencurahkan buah fikiran dan tenaga dalam mendokong visi dan misi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim, I-Medik walau di mana sahaja kita berada.

Tidak kira sama ada kita seorang pekerja atau seorang pelajar; sama ada seorang doktor atau seorang jururawat; sama ada kita ahli farmasi atau ahli sains bersekutu; sama ada seorang ketua di sesuatu jabatan atau sebaliknya; kita semua boleh menyumbang buah fikiran dan tenaga kita kepada I-Medik.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka/cinta kepada mereka yang berjuang dijalanNya dalam satu barisan laksana satu bangunan yang tersusun kukuh.” As-Soff:3

KPSK adalah program tahunan anjuran I-Medik Pusat bertujuan memberikan pendidikan dan pengetahuan mengenai amalan perubatan dan kesihatan dari pandangan Islam dan amalan  terkini serta hubung-kaitnya dengan seorang pengamal perubatan dan kesihatan Muslim.

KPSK menyentuh secara langsung praktis harian para doktor perubatan dan pergigian, jururawat, farmasi dan ahli sains bersekutu di hospital-hospital dan klinik-klinik, memberikan panduan dalam pengamalan mereka supaya menepati tuntutan syarak dan memberikan perwatan yang terbaik.

I-Medik dengan gagasan visi “Menjadi Organisasi Teras bagi membangunkan Tamadun Perubatan Islam di Malaysia” menyusun dan mengorak langkah melalui visinya “Mempelopori agenda perubatan Islam berasaskan pembinaan jatidiri, pendidikan, penyelidikkan dan aktiviti kemanusiaan”.

Gagasan Visi dan Misi yang besar ini, mencabar dan menguji setiap daripada kita semua yang faham untuk berusaha-bersungguh dalam merealisasikannya

Untuk menjadi Organisasi Teras bagi membangunkan Tamadun Perubatan Islam di Malaysia, ianya memerlukan kepada sokongan dan pengembelinggan tenaga semua pehak dan setiap orang daripada kita secara bersungguh-sungguh dan konsistent.

Pembinaan jatidiri setiap individu dalam I-Medik menjadi prasyarat dan teras kepada kejayaan ini. Kita perlukan individu-individu yang komited, yang faham dan yakin akan visi dan misi perjuangan I-Medik.

Perubatan Islam cemerlang, bermula di masa Rasulullah saw hingga kepada khilafah-khilafah Islam selepasnya.

Sebelum kejatuhan Khilafah Islam, Perubatan Barat telah mula berkembang hingga sampai ke kemuncak ketamadunannya pada masa ini.

Satu hakikat yang sering dilupakan oleh kebanyakkan Pengamal perubatan dan Kesihatan ialah tentang konsep dan gambaran sebenar mengenai Perubatan Islam dan Para Pengamalnya.

Sesungguhnya Perubatan Islam tertegak di atas petunjuk Islam yang tunduk sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Esa.

Sedar atau tidak, para pengamal perubatan dan kesihatan Muslim di masa ini sedang dan sering berhadapan dan bertembung dengan permasaalahan bioetika di bidang perubatan dan kesihatan yang ditimbulkan dan dihasilkan oleh Perubatan Barat.

Kita perlu sedar bahawa Perubatan Barat tertegak di atas materialism yang menolak Allah sebagai pencipta manusia dan alam ini.

Permasaalah Bioetika yang ditimbulkan oleh Barat, perlu dirungkai dan dihadapi dengan berani oleh para Pengamal Perubatan Muslim.

Semoga KPSK 2014 dapat memberikan ilmu, panduan dan kesedaran kepada semua, demi melaksanakan amanah dan tanggung-jawab sebagai pengamal perubatan dan kesihatan Muslim yang bertanggung-jawab dihadapan Allah.

Akhirnya, saya ingin mengungkapkan kata-kata Dr Tawfik Yusuf al-Wa’ie sebagai satu dorongan yang kuat untuk kita semua ahli I-Medik bekerja, ke arah membangunkan kembali Kecemerlangan Tamadun Perubatan Islam di Malaysia di bawah naugan ketinggian Islam. Beliau berkata: “Jangan ada yang menyangka kegimilangan mampu dijulang tanpa penat lelah….Kemulian dimiliki tanpa perjuangan…Kemenangan dapat diraih tanpa ada identiti, matlamat, objektif yang ingin dicapai dan usaha kearah merealisasikannya. Semua ini memerlukan jihad yang panjang dan usaha yang berterusan.”

Semoga KPSK 2014 dan AGM I-Medik bagi kali pertama pada tahun ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Wassalam

Prof Dr Azmi Md Nor
Presiden I-Medik 2014-2015