KUALA LUMPUR,12 April 2014 -“Pengamal perubatan dan kesihatan di seru untuk mencontohi Al-Zahrawi dalam profesion masing-masing” begitulah seruan Dr Zulkifli Yusof, Pakar Perunding ENT di Hospital Sultanah Bahiyah pada Konvensyen Sains Perubatan dan Kesihatan (KPSK) dan AGM sulong pada 12 April baru-baru ini di Pusat Sains Negara.
Konvensyen telah dihadiri oleh lebih 240 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli I-Medik seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dan juga pelajar-pelajar IPT seluruh Malaysia yang merangkumi ahli-ahli kelab I-Medik.
Al-Zahrawi merupakan Bapa Ilmu Bedah Moden. Beliau merupakan keturunan Arab Ansar yang menetap di Sepanyol. Nama penuhnya Abu al-Qasim Khalaf ibn al-Abbas Al-Zahrawi juga dikenali di dunia Barat sebagai Abulcasis. Dilahirkan di kota al Zahra berdekatan Cordoba, Sepanyol pada 936 M.
Beliau telah menemui dan memperkenalkan lebih daripada 200 peralatan bedah antaranya catgut, curette, forceps, ligature, scalpel, curette, retractor, gips dan lain-lain lagi.
Antara warisan yang paling berharga yang ditinggalkannya ialah kitab Al-Tasrif li man ajaz an-il-talil, iaitu sebuah ensiklopedia perubatan sebanyak 30 jilid yang dilengkapi illustrasi. Kitab ini telah menjadi rujukan dan buku rasmi fakulti kedoktoran di Eropah selama lima abad iaitu hingga munculnya zaman Renaissance.
Dr Zulkifli menyeru para pengamal perubatan dan kesihatan agar mengambil perhatian pesanan-pesanan Al-Zahrawi.
Antara pesanan-pesanan berharga Al-Zahrawi ialah:
1. Wujudkan perhubungan yang baik antara doktor dan pesakit
2. Layani semua pesakit sama rata tanpa mengambil kira kedudukan dan pangkatnya
3. Para doktor perlu membuat ‘close observation’ ke atas semua pesakit secara individu untuk merumuskan diagnosa yang tepat dan memberi rawatan terbaik.
4. Jangan gunakan jawatan kedoktoran untuk mencapai keuntungan material sebaliknya perlu ikhlaskan hati agar mendapat kepuasan hati dan kemuliaaan daripada Allah
Di samping itu, Dr Zulkifli mengingatkan peserta agar sentiasa memerhatikan ikrar pengamal perubatan Muslim.
Banyak lagi maklumat-maklumat dan pesanan lain yang telah disampaikan oleh pakar-pakar perubatan yang berpengalaman.
Moga semua peserta mendapat manafaat ilmu yang disampaikan dan dapat diterapkan dalam pekerjaan seharian agar menjadi ibadah yang diterima Allah.
Oleh,
Dr Nozila Baharin
I-Medik Pahang