Tahukah anda bahawa menurut kajian kesihatan kebangsaan 1996, 73% daripada rakyat negeri Kelantan adalah bukan perokok?
Hakikatnya golongan majoriti ini terpaksa secara sukarela menjadi perokok pasif kerana tabiat merokok yang sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat. Perokok hari ini sudah hilang sensitiviti dan rasa malu terhadap golongan bukan perokok yang juga mempunyai hak untuk menghirup udara segar bebas daripada pencemaran asap rokok. Pendedahan kepada asap rokok secara berlebihan sudah terbukti boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan seperti kanser dan kesukaran pernafasan terutamanya kepada kanak -kanak.
Menyedari permasalahan ini, kerajaan negeri Kelantan dengan kerjasama Persatuan Perubatan Keluarga USM (FAMOUS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui MySihat telah merancang untuk melancarkan Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok atau lebih mudah dikenali sebagai IKBAR. Program ini bertujuan mewujudkan zon larangan merokok di sekitar negeri Kelantan dengan penguatkuasaan yang lebih mantap.
Walaupun negeri-negeri lain telah terdahulu dalam melaksanakan inisiatif ini, uniknya Kelantan adalah negeri pertama di Malaysia yang meluaskan zon bebas rokok di semua daerah daripada Jeli hinggalah ke Gua Musang. Zon larangan merokok yang akan diwartakan nanti tidak terhad kepada bangunan kerajaan dan hospital sahaja bahkan meliputi masjid, kedai makan dan di atas jalan raya. Hal ini sejajar dengan prinsip Kota Bharu Bandaraya Islam 2005 yang menjadikannya aspek kebersihan sebagai komponen utamanya.
Antara usaha yang giat dijalankan adalah kursus trainning of trainners (TOT) kepada pihak berkuasa tempatan dan promosi kesihatan secara berkala. IKBAR juga telah merekrut SAHABAT IKBAR yang terdiri daripada golongan remaja bagi menyampaikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya menghidu asap rokok dan keperluan untuk mengadakan zon bebas asap rokok. Kini IKBAR sedang mengatur langkah untuk mengadakan Hari Pengistiharaan IKBAR peringkat daerah di semua daerah dalam masa terdekat. Seterusnya apabila zon larangan merokok baru telah diwartakan, perokok boleh dikenakan kompaun jika didapati merokok di kawasan yang telah diistiharkan bebas asap rokok.
Matlamat IKBAR bukanlah untuk mengenakan denda kepada perokok semata-mata. IKBAR mengajak masyarakat untuk memahami bahaya menjadi perokok pasif atau secondhand smoker dan menyedari hak mereka yang tidak merokok. Perokok juga perlu sedar bahawa asap rokok bukan sahaja memudaratkan kesihatan mereka tetapi boleh memberi kesan buruk kepada orang di sekeliling mereka. Oleh itu, penguatkuasaan secara pendidikan atau educational enforcement akan dijalankan terlebih dahulu sebelum mengenakan tindakan undang-undang.
I-Medik Kelantan sebagai sebuah NGO kesihatan menyambut baik usaha murni ini dan komited memberikan kerjasama sepenuhnya untuk merealisasikan impian Kelantan bebas asap rokok. I-Medik Kelantan mengajak masyarakat untuk memainkan peranan sebagai agen perubahan bagi menjadikan budaya merokok kembali asing dan seterusnya memberi motivasi dan perspektif baru kepada perokok untuk tekad berhenti merokok.
Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan IKBAR, sila Like Facebook page Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok atau berhubung terus dengan Majlis Daerah di kawasan masing-masing.
Disediakan oleh,
Dr. Khairil Afif bin Mahmud
Klinik Kesihatan Manik Urai
Advokator IKBAR
Aktivis I-Medik Kelantan