#KitaJagaKita

Program “SAY NO TO VAPE” Sedarkan Warga SMASKP

photo_2015-11-24_15-49-45

Kuala Pilah, 19 Nov – PEMBINA Kuala Pilah komited dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat khususnya remaja agar menjauhkan diri daripada vape kerana vape membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

Menerusi satu program ceramah yang disampaikan kepada warga Sekolah Menengah Sains Agama Kuala Pilah (SMASKP) baru-baru ini, hukum penggunaan vape adalah haram dan perkara ini dikukuhkan lagi bersama Irsyad Fatwa ke-63 Mufti Wilayah Persekutuan.

Antara faktor yang menyebabkan vape difatwakan haram adalah kerana vape diqiaskan kepada rokok, memudaratkan kesihatan, meniru budaya bukan Islam dan juga sebagai menutup jalan menuju kerosakan (Sod al-Zari’ah).

Ceramah yang telah disampaikan oleh saudara Mohd Nizam Md. Saad selaku Pengerusi PEMBINA Kuala Pilah juga menyatakan bahawa Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) setuju bahawa vape memberi impak negatif kerana kandungan nikotin di dalam vape yang tidak terkawal boleh menyebabkan ketagihan.

Tambah beliau lagi, penggunaan vape juga merosakkan masyarakat kerana kanak-kanak dan wanita juga turut terlibat dalam kancah yang tidak sihat ini disamping mengancam keselamatan seseorang kerana terdapat beberapa laporan yang menyatakan bahawa mod vape meletup secara tiba-tiba.

Program ini diadakan di surau SMASKP dengan kerjasama pihak sekolah, i-Guru Kuala Pilah, Klinik Kesihatan Johol dan juga PEMBINA Kuala Pilah.