Merujuk kepada artikel yang dikeluarkan oleh Utusan pada 17 Januari 2018 bertajuk ‘Tidak Akan Kembalikan Pek Kiddie’, Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslimin Malaysia (I-Medik) menyatakan sokongan mutlak kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tegas mempertahankan pengharaman penjualan rokok dalam bungkusan kecil atau lebih dikenali sebagai kiddie pack iaitu bungkusan rokok kurang daripada 20 batang rokok. Tekanan daripada industri tembakau memperkenalkan kiddie pack untuk membanteras penyeludupan rokok haram serta penggunaan rokok tidak sah bukanlah langkah penyelesaian menangani gejala rokok di negara ini.
Kajian yang dijalankan oleh Global Adult Tobacco Survey (GATS) menunjukkan pertambahan purata batang rokok sehari dari 14 batang sehari pada tahun 2011 kepada 18.3 batang sehari pada tahun 2015. Walau pun harga rokok di Malaysia telah meningkat ke paras yang tinggi iaitu RM 17 jika dibandingkan dengan negara ASEAN yang lain, ini secara tidak langsung menunjukkan rakyat Malaysia masih mampu membeli rokok walaupun pada harga yang mahal.
Lebih merisaukan, penggunaan rokok di kalangan remaja (10-18 tahun) di Malaysia adalah seramai 524,232 orang dengan kadar prevalen 14.2% menurut kajian oleh Tobacco & E-Cigaratte Survey Among Malaysia Adolescents (TECMA) 2016. Majoriti mereka merokok kurang daripada 10 batang rokok sehari dengan kos yang dibelanjakan adalah di bawah RM 9 untuk sekotak rokok. Ini menjelaskan kemampuan remaja untuk membeli rokok pada harga di bawah RM 9. Golongan inilah yang akan menjadi sasaran pihak industri tembakau untuk menurunkan bilangan kotak rokok dari 20 ke 10 batang sekotak.
Malaysia pada tahun 2010 telah menguatkuasakan larangan pembungkusan kiddie pack sejajar dengan Artikel 16 WHO FCTC sebagai langkah untuk membendung masalah merokok di kalangan remaja. Kerjasama daripada pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan dan swasta mahu pun pertubuhan bukan kerajaan amat diperlukan untuk terus mempertahankan penguatkuasaan tersebut. Laungan serta tindakan senada mampu untuk menekan desakan industri tembakau.
Dr Ahmad Farid Nazmi Bin Abdul Halim
Ketua Unit Kawalan Rokok & Vape I-Medik