#KitaJagaKita

“Tolong Jangan Potong Kaki Saya, Tuan Doktor!”

Pijak benda tajam - diabetis

“Tolong jangan potong kaki saya, Tuan Doktor. Beri saya masa lagi untuk berfikir,“

Seringkali situasi sebegini dilihat di hospital. Kerap kali doktor terpaksa untuk memotong kaki pesakit untuk menyelamatkan nyawa pesakit kerana jangkitan kuman yang asalnya dari kaki boleh merebak hingga ke jantung, buah pinggang, otak dan jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada kematian. Ada yang dipotong di jari, buku lali, bawah lutut dan ada juga dipotong sehingga paras atas lutut.

Terdapat banyak sebab yang menyebabkan keadaan ini terjadi. Antara sebab yang utama adalah akibat komplikasi daripada penyakit Diabetis Melitus. Penghidap sakit Diabetis Melitus berisiko untuk mendapat luka yang teruk di bahagian kaki. Ini merupakan salah satu komplikasi di mana kaki akan mengalami kekurangan deria sentuhan (diabetic neuropathy) dan juga kerana salur darah di kaki menjadi sempit (peripheral vascular disease).

Orang yang menghidap Diabetis Melitus boleh mengakibatkan urat saraf mengalami kerosakan dan menyebabkan ia tidak boleh berfungsi dengan sempurna. Antara tanda-tandanya adalah kaki dan tangan akan berasa kebas-kebas pada paras pergelangan kaki dan juga tangan. Ini menyebabkan pesakit berisiko tinggi untuk tidak perasan sekiranya terdapat luka di kaki. Luka yang kecil akan menjadi besar jika tidak dirawat dengan kadar segera.

Diabetis Melitus juga boleh menyebabkan salur darah menjadi sempit terutamanya salur-salur darah yang besar. Ini mengakibatkan kurangnya darah sampai ke kaki dan sekiranya ada luka di kaki, ia menyebabkan luka tersebut lambat sembuh kerana darah tidak dapat membekalkan nutrien yang secukupnya untuk membantu penyembuhan luka tersebut.

 

Bagaimana untuk mengelakkan luka di kaki bagi pesakit Diabetis Melitus?

1. Pesakit hendaklah selalu memeriksa kaki sendiri atau meminta tolong orang memeriksa kaki pesakit.

  • memeriksa dengan teliti terutamanya di celah-celah jari,
  • mendapatkan rawatan awal sekiranya terdapat luka di kaki,
  • menggunakan krim pelembab yang bersesuaian sekiranya kaki terlalu kering sehingga menyebabkan rekahan,
  • memotong kuku dengan berhati-hati mengikut bentuk jari,
  • membasuh kaki dan memastikan kaki dilap sehingga kering,
  • sentiasa memakai kasut dan stokin,
  • memakai kasut yang tidak ketat.

2. Memastikan bacaan gula sentiasa terkawal dengan mematuhi arahan ubatan, pemakanan dan juga gaya hidup yang sihat.

Akhir sekali, penyakit kencing manis adalah penyakit yang tidak berjangkit dan ia boleh dikawal sekiranya pesakit memakan ubat dengan betul dan menjaga pemakanan. Ini akan mengurangkan risiko untuk pesakit mendapat komplikasi-komplikasi Diabetis seperti luka yang lambat sembuh, seterusnya boleh menyelamatkan KAKI ANDA DARI DIPOTONG!

Dr Ammar bin Abdol Hamid
I-Medik Melaka