Malaysia, obesiti paling tinggi di Asia!
Melihat sahaja pada poster tersebut pasti ramai yang berasa kecewa dan bimbang dengan fakta yang mengejutkan kita sebagai rakyat Malaysia. Namun begitu, ada juga di kalangan rakyat Malaysia yang tergolong dalam mereka yang mempunyai masalah tersebut tetapi enggan memilih untuk berdepan dengannya.
Tahukah anda, masalah obesiti di Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang membimbangkan pada setiap tahun dan ini menunjukkan bagaimana sikap dan budaya masyarakat tempatan dalam menjaga kesihatan dan juga memandang enteng akan permasalahan ini. Selain itu, pada masa yang sama ia juga dapat memberikan gambaran kepada kita bagaimana anggaran peningkatan penyakit kronik dalam kalangan masyarakat tempatan.
Obesiti? Adakah anda salah seorang daripadanya?
Obesiti adalah suatu penyakit di mana lemak berlebihan berkumpul di dalam badan seseorang. Ia bukan sahaja akan menyebabkan aktiviti fizikal dan sosial seseorang menjadi terhad, malah akan menyebabkan jangka hayat seseorang menjadi pendek. Obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ di dalam badan kita seterusnya dapat menyebabkan masalah kesihatan yang serius.
Seseorang itu dianggap menghidapi masalah obesiti apabila berat badannya adalah 45kg melebihi berat badan ideal seseorang itu. Berat ideal seseorang itu dapat dikira melalui indeks jisim badan (BMI), di mana BMI yang melebihi 35 atau 40 dikatakan mengalami obesiti. Cara pengiraan BMI adalah seperti berikut:
*Pengiraan BMI tidak boleh digunakan bagi mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun atau melebihi usia 64 tahun, mengandung, menyusu badan dan ahli sukan yang aktif.
Akar permasalahan obesiti di Malaysia
Punca utama kepada permasalahan ini adalah disebabkan oleh tekanan dan cara pengurusannya di kalangan rakyat Malaysia. Tekanan yang dihadapi oleh masyarakat bandar terutamanya dari segi kekangan masa dan waktu rehat yang cukup menyebabkan rakyat Malaysia memilih untuk mengurangkan tekanan dengan cara berhibur dan juga mengamalkan pemakanan yang tidak sihat.
Kesibukkan para pekerja terutama di kawasan bandar menyebabkan mereka tidak menjaga jadual pemakanan dengan baik, malah menggantikannya pula dengan merokok. Ada sebahagian pekerja yang tidak makan di siang hari kerana sibuk dengan kerja dan mengisi perut yang kosong tadi dengan makan malam yang lewat, kurang dari dua jam sebelum waktu tidur.
Selain itu, terdapat juga di kalangan masyarakat yang suka melepak di warung atau restoran pada lewat malam. Hal ini, bukan sahaja menyebabkan seseorang itu tidak menjaga pemakanan dengan baik, malah menyebabkan seseorang itu tidak mempunyai tidur yang cukup yang juga menjadi faktor penyumbang kepada masalah obesiti ini.
Di samping itu, masyarakat Malaysia kini lebih gemar untuk makan di restoran makanan segera kerana lebih mudah dan menjimatkan masa dengan wujudnya khidmat penghantaran makanan. Tambahan lagi, rakyat Malaysia juga dipandang sebagai masyarakat yang tidak menggemari sayur-sayuran dan buah-buahan, malah masakan Malaysia juga banyak yang berminyak dan bersantan.
Selain itu, masyakat Malaysia juga amat mudah terpengaruh dengan produk-produk yang belum tentu keberkesanannya. Sebagai contoh, banyak iklan-iklan produk yang menjanjikan suatu hasil yang besar dengan usaha yang kecil, seperti memakan pil-pil atau jamu-jamu yang dapat menguruskan badan dalam masa yang singkat tanpa perlu bersenam.
Keadaan fizikal yang letih dan lesu menyebabkan masyarakat lebih memilih gaya hidup yang tidak aktif seperti berhibur untuk mengurangkan tekanan. Antara hiburan yang menjadi pilihan masyarakat kini adalah seperti menonton filem di panggung atau di rumah, menghabiskan masa dengan permainan video di televisyen, komputer mahu pun pada aplikasi telefon pintar.
Ingat! Masalahnya bukan sekadar obes
Kesan utama masalah obesiti adalah seperti penyakit tiga serangkai yang terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia seperti kecing manis, darah tinggi dan juga sakit jantung. Selain itu, keadaan fizikal yang besar juga akan memberi tekanan kepada salur pernafasan ketika dalam keadaan baring dan akan menyebabkan masalah sesak nafas ketika tidur atau juga dikenali sebagai “Sleep Apnea”.
Obesiti juga akan mengakibatkan masalah kelamin seseorang terjejas. Seseorang yang obes akan menjadi kurang aktif dalam melakukan hubungan seksual bersama pasangannya. Hal ini kerana, seseorang lelaki yang obes berkemungkinan untuk menghadapi masalah ereksi dan jangkitan kuman pada alat kelamin. Manakala wanita obes pula akan terdedah kepada masalah kandungan yang tidak terancang.
Selain itu, psikologi seseorang juga akan terganggu terutama bagi mereka yang telah mengalami masalah obesiti ini dari usia yang lebih muda. Kanak-kanak yang obes, lebih mudah didiskriminasi dan diejek oleh rakan-rakan sebaya di sekolah. Hal ini menyebabkan kanak-kanak obes itu hilang atau kurang keyakinan diri dan apabila masalah ini dibawa sehingga dewasa, tahap kepuasan hidup mereka juga akan terjejas.
Mencegah lebih baik daripada mengubati
PERTAMA: Makan. Kuncinya adalah pemakanan yang seimbang, “suku, suku, separuh!”. Amalkan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam setiap hidangan makanan. Separuh pinggan hidangan adalah dengan sayur-sayuran dan buah-buahan, manakala nasi dan daging/ayam/ikan adalah suku hidangan setiap satu. Ketika menghadiri kenduri yang banyak dalam satu hari, kita dinasihatkan agar mengurangkan pengambilan karbohidrat dan lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Makan sedikit tetapi kerap adalah salah satu cara yang baik untuk meningkatkan tahap metabolisme badan. Elakkan kelaparan ketika makan, kerana ketika lapar kita akan lebih cenderung untuk makan dengan kuantiti yang banyak dalam satu masa dan akan menyebabkan seseorang itu menjadi mengah dan lesu
Ingatlah petua Rasulullah SAW; “makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang” sebagai cara untuk kita menentukan waktu makan dan kekerapannya. Selain itu, baginda juga berpesan “1/3 daripada perut diisi makanan, 1/3 lagi dengan air dan 1/3 lagi dengan udara” sebagai cara untuk kita menentukan jumlah hidangan yang patut diambil.
KEDUA: Bersenam, Kuncinya adalah bersenam selalu, “dua puluh minit setiap sesi, dalam seminggu hanya tiga kali”. Mulakan aktiviti bersenam dengan ringkas tetapi mudah untuk dilakukan berterusan. Jangan memilih senaman yang berat kerana ia akan menyebabkan kita rasa berat dan tidak bersemangat untuk bersenam pada sesi yang berikutnya.
Ingat! Langkah yang pertama itu sukar tetapi permulaan yang kecil adalah sangat bermakna daripada tidak melakukan apa-apa. Rasulullah SAW juga ada bersabda “… Amalan yang paling Allah sukai adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Al-Bukhari dan Muslim). Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa, dalam melakukan perubahan perlunya disiplin diri yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara.

Dr Muhammad Zakwan Bin Ilias
Pegawai perubatan
Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang
Ahli I-Medik Wilayah Persekutuan & Selangor