“Saya telah berjumpa dengan 5 orang bomoh sebelum ini, dan doktor adalah ‘bomoh’ saya yang keenam”, kata seorang pesakit barah lidah tahap 4. Keseluruhan lidahnya telah diliputi barah dan kelenjar limpatik dilehernya telah membalut salur darah utama ke otak.
“Suami saya beritahu, tak perlu saya berjumpa doktor untuk rawatan penyakit saya”, ujar seorang wanita sekitar 40-an, dimana kelenjar limpatik di lehernya sudah sangat besar dan hampir pecah.
“Sebelum ini sudah tiga kali kami berjumpa doktor, tetapi tiada apa-apa yang dilakukan oleh doktor kepada ibu saya”, kata anak kepada seorang ibu pesakit barah lidah yang ‘advanced’ sehingga keluar dari mulut dan menyebabkan beliau sukar untuk makan.
Ini adalah antara luahan-luahan yang biasa diterima di Klinik Barah Kepala dan Leher (Head and Neck Cancer) Jabatan Hidung, Telinga dan Tekak. Rata-rata pesakit tersebut bertemu dengan doktor ketika barah mereka sangat ‘advanced’ (lewat) dan kemungkinan untuk rawatan penyembuhan adalah tipis. Bahkan mereka adalah sebahagian kecil pesakit yang datang pada tahap 4 sehingga tiada rawatan penyembuhan yang boleh ditawarkan.
Audit yang telah dijalankan terhadap pesakit barah kepala dan leher di Jabatan ORL, Hospital Alor Setar pada tahun 2003 kepada hampir 100 pesakit mendapati bahawa 95% pesakit barah kepala dan leher kami berada pada tahap ke 4 (paling akhir). Audit yang hampir sama pada tahun 2008 juga mendapati 90% dari pesakit berada pada tahap ke 4. Pada tahun 2015, terdapat sedikit peningkatan peratus pesakit barah datang pada peringkat barah yang lebih awal, namun majoriti masih datang pada tahap yang lewat.
Senario seperti ini memerlukan kita mengenal pasti apakah faktor2 yang menyebabkan perkara seperti ini berlaku serta merangka langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mengatasinya. Secara umumnya, kelewatan kedatangan pesakit barah boleh dibahagikan kepada dua faktor. Peratama, kelewatan disebabkan faktor perawat (professional delay) atau keduanya, kelewatan disebabkan faktor pesakit (patient delay).
- Kelewatan disebabkan faktor perawat (professional delay)
Doktor-doktor di peringkat rawatan primer perlu mempunyai pengetahuan asas terhadap gejala-gejala awal barah kepala dan leher. Namun begitu, para doktor muda di negara kita hanya mendapat pendedahan yang singkat terhadap penyakit hidung, telinga dan tekak (ENT) semasa di Fakulti Perubatan dan kebanyakannya tidak mendapat pendedahan semasa menjalani latihan doktor siswazah. Ini menyebabkan mereka kurang mempunyai pengetahuan asas terhadap gejala awal barah kepala dan leher. Tambahan pula barah kepala dan leher berlaku di saluran hidung, mulut dan tekak yang sukar untuk dilihat melainkan dengan menggunakan peralatan khas. Peralatan seperti ini hanya didapati di klinik Pakar ENT.Kegalan pengesanan awal oleh doktor-doktor di rawatan primari menyebabkan rujukan yang dilakukan ketika barah telah membesar dan berada ditahap yang kritikal. Kami kerap mendengar keluhan pesakit barah tahap 4 yang mengatakan mereka berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan/hospital daerah ketika barah masih di tahap awal. Akan tetapi pihak doktor gagal mengesannya dan mereka merujuk kepada pakar ketika ia telah berada ditahap ‘advanced’. Ada juga rujukan dibuat kepada bidang kepakaran yang tidak merawat secara lansung terhadap pesakit barah kepala dan leher. Ini menyebabakan tempoh pesakit datang semakin lewat dan barah semakin membesar.
- Kelewatan disebabkan faktor pesakit (patient delay) Kelewatan rawatan barah berlaku jika pesakit gagal megenali gejala-gejala awal barah kepala dan leher. Jenis barah kepala dan leher yang kerap berlaku di negara kita adalah kanser pangkal hidung (nasopharyngeal carcinoma), kanser mulut (oral cancer) dan kanser peti suara (laryngeal cancer). Jika seseorang mengalami air liur yang mengandungi darah (blood stained saliva) dan kurang pendengaran jenis konduktif, ia mungkin petanda awal kepada barah pangkal hidung. Ulcer atau isi yang tumbuh di lidah atau bahagian lain mulut lebih dari 2-3 minggu berkemungkinan merupakan gejala awal barah mulut. Manakala suara yang parau (hoarseness) selama lebih dari 2-3 minggu perlu dibawa berjumpa doktor kerana ia kemungkinan gejala awal barah peti suara.
Satu lagi masalah yang dikenalpasti adalah kesukaran pesakit mendapat rawatan dari pakar. Ini berlaku terutamanya bagi pesakit yang tinggal di kawasan pendalaman. Walaupun kos rawatan di premis kerajaan di negara kita adalah amat murah, mereka sukar bertemu dengan pakar perubatan melainkan dirujuk oleh doktor di rawatan primer. Sebahagian pesakit di kampung-kampung tidak berminat untuk bertemu dengan pakar perubatan di hospital yang lebih besar disebabkan faktor jarak atau kekangan ekonomi. Ditambah lagi dengan bentuk rawatan barah yang intensif dan lama menyebabkan masa mereka untuk mencari nafkah akan terjejas.
Satu lagi keadaan yang menyebabkan pesakit barah lambat berjumpa doktor adalah kepercayaan mereka terhadap pengamal rawatan alternatif. Janji-janji manis peluang untuk sembuh yang diberikan oleh golongan ini menyebabkan pesakit akan terus mendapatkan rawatan dari mereka, sedangkan barah semakin merebak dan membesar. Setelah pesakit gagal sembuh selepas bertemu 4-5 bomoh, barulah mereka datang berjumpa doktor. Ketika itu barah telah sampai ke tahap yang ‘advanced’. Bahkan ada dikalangan pesakit yang disahkan oleh doktor mengalami barah diperingkat awal, tidak mengikuti nasihat doktor tetapi sebaliknya menghilangkan diri dan mendapat rawatan alternatif dari bomoh. Mereka datang semula berjumpa doktor pakar ketika barah telah sampai ke tahap yang tidak boleh disembuhkan.
Kesimpulannya, barah kepala dan leher adalah sejenis barah yang ganas dan merebak dengan cepat. Pengesanan dan rawatan awal adalah sangat penting bagi membolehkan kemungkinan untuk sembuh semakin tinggi. Dengan itu apa-apa faktor yang boleh menyebabkan kelewatan mendapatkan rawatan pakar- sama ada disebabkan oleh pesakit atau doktor- perlu diatasi.
Dibahagian kedua nanti, saya akan kongsikan apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi kelewatan ini.
Dr Zulkifli Yusof,
Ketua Jabatan,
Konsultan Hidung, Telinga dan Tekak,
Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Jawatankuasa I-Medik Pusat.