Dunia sedia maklum akan keburukan rokok kerana kandungan nikotin di dalamnya yang menyebabkan ketagihan kepada manusia. Umum juga mengetahui bahawa telah banyak usaha dijalankan untuk mengurangkan jumlah perokok di dunia namun kebanyakan inisiatif ini berjalan amat perlahan akibat desakan dan pengaruh dari industri tembakau . Kini muncul pula satu peranti elektronik terbaru yang mengantikan iaitu rokok konvensional iaitu rokok elektronik (e-ciggaretes) yang juga mengandungi nikotin.
Istilah rokok elektronik adalah seharusnya berbeza dengan vape yang seharusnya tidak mengandungi nikotin. Namun kajian terbaru dari CDC Amerika menunjukkan hampir 99% rokok elektronik dan vape yang dijual di Amerika Syarikat mengandungi nikotin. Menurut kajian ini juga, walaupun sesetengah rokok elektronik diisytiharkan tiada nikotin, namun kandungan berbahaya itu masih boleh dikesan didalamnya.
Dengan ini boleh dikatanya kedua-dua rokok dan vape adalah berbahaya kepada manusia kerana kandungan bahan berbahaya yang tidak diisytihar dan dikawal jumlahnya. Oleh itu, kemunculan rokok elektronik ini menjadi menjadi satu kegilaan baru jua ancaman besar bagi kesihatan kita semua kerana kesan buruk yang dihasilkan kedua-dua peranti ini adalah sama malah mungkin lebih dari rokok konvensional.
Industri vape atau rokok elektronik boleh dikatakan masih baharu di Malaysia namun ianya semakin cuba diiktiraf kerana telah menjadi satu sumber pendapatan bagi segelintir rakyat kita. Ini adalah akibat dari polisi “terkebelakang” negara kita yang mengiktiraf dan membawa industri ini ke dalam masyarakat di kala negara maju lain terus menutup pintu negara mereka terhadap industri vape dan rokok elektronik ini.
Terkini, kita dikejutkan lagi dengan penguguman “Belanjawan Negara 2022” yang ingin mengenakan cukai eksais kepada cecair vape atau rokok elektronik yang mengandungi nikotin ini. Dalam erti kata lain,kerajaan semakin cuba mengiktiraf industri vape dan rokok elektronik ini kerana keuntungan yang dibawa mereka. Sebahagian daripada faktor utama mengapa kerajaan bersungguh mengiktiraf industri vape ini adalah kerana kini terdapat hampir 2000 kedai vape telah wujud diseluruh Malaysia yang secara kumulatifnya merupakan industri yang menguntungkan dan bernilai hampir 123 juta ringgit.
Mengejutkan juga, industri vape di Malaysia merupakan industri vape terbesar di Asia dan kedua terbesar selepas USA . Perkembangan industri ini sebenarnya disokong dengan kewujudan hampir 1.12 juta rakyat Malaysia yang menjadi penguna tegar vape dan rokok elektronik ini. Lebih membimbangkan, menurut satu kajian ITC Project juga mendapati Malaysia merupakan negara dengan kadar pengguna rokok elektronik tertinggi iaitu pada kadar 14% berbanding Republik Korea dan Australia yang hanya pada kadar 7% bagi setiap negara.
Langkah ke hadapan dengan tidak mengiktiraf vape dan rokok elektronik ini patut dilaksanakan kerana kita perlu menyelamatkan generasi masa hadapan kita kerana mengikut kajian NEC 2016 mengenai ciri-ciri pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia mendapati kebanyakannya berusia 22 ke 44 tahun, 95% adalah lelaki, 74.5% adalah melayu dan 86.5% dari mereka menggunakannya bermula seawal 19 tahun malah satu per empat menggunakanya setiap hari. Mengikut kajian ini juga, kebanyakkan mereka menggunakan vape atas alasan ekperimentasi kemudian ketagih dan majoriti iaitu 83.9% dari mereka lebih gemar rokok elektronik yang mempunyai nikotin!
Pengharaman “vapping” and rokok elektronik sangat berasas dari sudut kesihatan kerana ianya membawa banyak keburukan lebih dari kebaikan. Kebanyakan cecair vape mengandungi nikotin pada kadar yang berbeza bergantung pada jenama kerana tiada kawalan atas isi kandungannya. Ini adalah berbeza dengan kadar nikotin di dalam rokok yang sememangnya diketahui dan dikawal oleh penguatkuasaan.
Selain nikotin, propylene glycol (PG) di dalam vape dan rokok elektronik juga mengeluarkan bahan kanser carbonyl seperti formaldehyde, acetaldehyde, and acrolein dan juga akan menyebabkan kerosakan laluan pernafasan manusia. Komponen Metal atau besi di pemanas (heating coils and cartridge casing) juga menghasilkan aerosol yang juga berbahaya pada kesihatan dan menurut kajian juga, kandungan metal di dalam rokok elektronik adalah lebih tinggi dari rokok konvensional
Bagaimana pula dengan pewangi yang digunakan, ianya boleh mengakibatkan toksik pada paru-paru. Walaupun secara mata kasarnya, asap vape dan rokok elektronik hanya kelihatan seperti kepulan gas yang berbau wangi, namun ia mengandungi “ultra-fine particle” (partikel ultra kecil) yang berbahaya dan bersaiz sama seperti rokok konvensional lain. Penyebaran ultra-fine particle ini di dalam badan pula berkadar dengan jumlah nitokin yang ada dalam cecair ini. Kadar nikotin yang tidak terkawal menyebabkan penyebaran ultra fine particle ini dalam badan penggunanya lebih berbahaya dari perokok biasa.
Ultra-fine particle ini berbahaya kepada paru-paru malah boleh masuk ke saluran darah dimana jika dalam kuantiti yang banyak boleh menyumbat saluran darah dan mengakibatkan strok juga serangan jantung. Kepulan asap vape yang wangi dan menjadi kesukaan remaja ini adalah sebenarnya sangat berbahaya!
Masih ramai juga menjadikan vape sebagai alasan untuk berhenti merokok, namun ini merupakan satu salah faham terbesar pernah dilakukan. Kajian menunjukkan vape tidak berkesan sebagai cara untuk berhenti merokok kerana pengguna akan lebih terdedah kepada bahaya kesan sampingan akibat kandungan cecairnya yang tidak terkawal. Tambahan pula, kajian secara sistematik menunjukan tiada keberkenanan mengenai penggunaan vape untuk berhenti merokok dikalangan masyarakat dewasa.
Jika benar dakwaan dan lobi syarikat rokok bahawa vape adalah kaedah terbaik mengurang dan merawat isu ketagihan nikotin, ia perlu dikawal di bawah undang-undang sedia ada (Akta Farmasi) seperti mana produk-produk nikotin lain yang digunakan dalam “nicotine replacement therapy”. Namun, mengapakah vape ini tidak diiktiraf dan digunakan dalam dunia farmaseutikal? Ini adalah kerana kajian membuktikan ianya tidak berkesan!
Dengan mewujudkan cukai eksais pula pada rokok elektronik dan vape yang mengandungi nikotin pula, ianya secara tidak langsung akan membawa kepada peningkatan harga cecair rokok elektronik dan vape yang dijual. Harga yang mahal pula tidak semestinya menjadi halangan kepada golongan muda untuk menghisap bahan ketagih ini kerana pasti akan terjadinya penjualan secara haram seperti yang terjadi kepada rokok seludup.
Kajian oleh Rejab & Zain 2016 juga menyatakan setiap mereka yang ketagih nikotin dalam merokok adalah “market entry” kepada industri tembakau tanpa mengira apakah jenama rokok yang dihisap samada rokok seludup atau bercukai. Hal yang sama mungkin terjadi kepada mereka pengguna rokok elektronik dan vape. Malah lebih membimbangkan akhirnya mereka akan mengambil kedua-dua vape dan rokok akibat ketagihan yang dicipta!
Jika kita masih merasakan tiada bahayanya kandungan tidak dikawal dalam rokok elektronik atau vape ini, dunia sebenarnya pernah dikejutkan dengan bahaya penggunaan dadah di dalam rokok elektronik ini. Kajian yang dilaksanakan dikalangan pelajar sekolah di Connecticut mendapati 18% pengguna vape disekolah tersebut menggunakan vape untuk menghidu dadah Marijuana. Tanpa ragu malah sangat jelas industri vape yang tidak dikawal membawa kerosakan kepada anak muda kita.
Pengiktirafan industri vape akan terus dijustifikasi dengan cadangan kawalan industri ini bersama garis panduan. Namun suka untuk kami membawa perhatian masyarakat bahawa terlalu banyak isu kesihatan yang perlu dipantau terutamanya oleh sektor kesihatan pasca pandemik ini. Kerjaan telah menghabiskan banyak wang membetulkan kembali sistem kesihatan pasca pandemic COVID 19 dan secara jujur kami telah pun kepenatan. Adakah kita masih punya cukup tenaga dan wang untuk mengawal kerosakan jangka masa panjang terutamanya kepada generasi muda akibat daripada isu vape pula. Sedarlah sebelum terlambat. Langkah pengharaman terus vape perlu dilakukan demi masa depan anak bangsa kita.
Oleh:
Dr. Siti Aishah binti Abas
Bahagian Kajian Tembakau, Rokok Elektronik dan Vape
I-Medik