#KitaJagaKita

Berita Harian – Akademik penting buat generasi muda bangun negara

Apabila Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mendedahkan seramai 180,680 atau 48.74 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesi persekolahan 2021 memilih tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, ia secara tidak langsung membawa bersama khabar tidak enak kepada nasib dan masa depan golongan terbabit.

Pada 2020, sejumlah 115,939 lepasan SPM atau 35.16 peratus tidak berminat menyambung pelajaran. Berdasarkan maklumat ini, ternyata pertambahan pelajar tidak menyambung pelajaran mereka dikaitkan dengan penularan COVID-19.

Kaji selidik Jabatan Perangkaan pada Julai 2022 pula mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran. Beberapa faktor menjadi penyumbang kepada trend kurang sihat ini seperti dilaporkan pelbagai pihak dan laporan dari pakar ekonomi serta maklum balas pihak berwajib.

Apa yang pasti, rekod di atas menunjukkan generasi muda berasa selesa bekerja dan memperoleh pendapatan sendiri dengan melakukan kerja sampingan sebaik sahaja tamat peperiksaan SPM. Kecenderungan mereka untuk berdikari mencari wang sendiri, selain faktor ekonomi serta kedudukan kewangan keluarga tidak mengizinkan turut mempengaruhi mereka tidak sambung belajar.

Faktor peningkatan jumlah peluang pekerjaan dalam ekonomi gig yang menjadi trend ketika ini juga meningkatkan lagi kecenderungan lepasan SPM terus kekal berada di alam pekerjaan. Ini dipengaruhi ciri pekerjaan ekonomi gig sangat diminati generasi muda seperti waktu kerja fleksibel, tidak terikat dan boleh bekerja dalam jangka masa pendek.

Majikan hari ini pula cenderung untuk tidak terikat kepada mana-mana pekerja, membuat tawaran bekerja ‘bebas’ dan memilih hanya terbaik untuk terus bekerja turut menyumbang kepada keputusan remaja tidak berminat menyambung pelajaran.

Pelbagai bentuk insentif dan kemudahan turut disediakan majikan bergantung kepada keupayaan dan kerajinan remaja semakin menarik minat mereka bekerja walaupun impak kerjaya jangka masa pendek ini boleh menutup ruang untuk mereka lebih berkembang sekiranya tiada kemahiran khusus dan kelayakan akademik tertinggi.

Pada masa sama, peluang terbabit dalam perniagaan dalam talian ditawarkan peniaga turut menggamit minat generasi muda aktif bekerja. Dengan menggunakan telefon pintar dan akses internet, pelbagai bentuk urusan jual beli dijalankan dengan menggunakan aplikasi dan platform perniagaan.

Pekerjaan jangka pendek dan separa masa ini menawarkan jumlah gaji harian agak lumayan serta tidak mengongkong mereka dengan tanggungjawab menguruskan diri sepanjang tiga atau empat tahun pengajian dan perlu bergelumang dengan buku, tugasan akademik dan peperiksaan di universiti.

Tidak dinafikan kesan pengaruh rakan sebaya bekerja lebih awal serta beberapa bentuk kemewahan sementara ditonjolkan menyebabkan lepasan SPM lebih tertarik untuk bekerja berbanding menyambung pelajaran.

Tingkat kesedaran pelajar, calon SPM

Berdasarkan dapatan dan trend ini, KPM melaksanakan rancangan pembangunan peribadi dan pendidikan kerjaya di sekolah untuk meningkatkan kesedaran pelajar, terutama calon SPM terhadap kepentingan pendidikan tinggi di samping melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan minat kerjaya masa depan.

Pada waktu sama, guru kaunseling giat memberi taklimat kepada pelajar mengenai trend kerjaya terkini memandangkan peranan mereka menasihati pelajar sekolah menengah serta pentingnya mereka memiliki kelayakan akademik tinggi serta kemahiran industri untuk perkembangan kerjaya masa depan.

Dalam hal ini, pelajar perlu disedarkan dan diberi maklumat terdapat entiti menyediakan peruntukan kewangan dalam bentuk biasiswa, pinjaman dan prasarana pembelajaran untuk mereka belajar peringkat tertinggi.

Banyak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), organisasi korporat, yayasan, institusi kewangan atau majlis agama negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan kemudahan berbentuk biasiswa kepada pelajar layak.

Generasi muda perlu dipersiapkan dengan kelayakan akademik sama ada dari peringkat persijilan profesional, diploma, dan ijazah.

Kelulusan SPM semata-mata belum cukup untuk bersaing dalam dunia pekerjaan, sebaliknya mereka perlu terus dibimbing dan menggalas tanggungjawab membangunkan negara dengan kemahiran yang setimpal diperlukan nanti.