1. Rancangan KKM dalam pemberian PReP (Pre-Exposure Prophylaxis) untuk mencegah jangkitan HIV telah menimbulkan kegelisahan bukan sahaja pada pengamal perubatan, malah seluruh masyarakat awam.
2. Ini kerana bekalan ubatan pencegahan HIV ini akan merangkumi pemberiannya kepada pasangan homoseksual bagi mencegah jangkitan HIV sesama mereka. Dalam erti kata yang lain, bagi memastikan hubungan songsang mereka dijalankan dengan selamat, mereka boleh diberikan PReP.
3. Tindakan ini adalah seumpama kempen “safe sex” dengan pemberian kondom yang pernah dianjurkan sekitar tahun 2018. Kempen penggunaan kondom ini adalah bagi tujuan mengelakkan penularan penyakit kelamin dan kelahiran bayi luar nikah. Namun ia secara tidak langsung tidak menyelesaikan isu zina.
4. Pemberian PReP ini telah dibantah oleh persatuan doktor-doktor pengamal perubatan sendiri. Pihak Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Malaysia (I-Medik) melihat tindakan KKM yang mahu meluaskan penggunaan ubat PrEP kepada pasangan homoseksual berstatus HIV-negatif yang seakan memberi galakan budaya songsang itu di kalangan masyarakat.
5. Dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita agar menjauhi segala unsur yang mendekatkan kita dari perbuatan terkutuk ini. Malah Allah menyifatkan perbuatan songsang kaum Nabi Lut ini sebagai perbuatan jahat, keji dan fasad. Firman Allah:
وَلُوطًا ءَاتَيْنَٰهُ حُكْمًا وَعِلْمًا وَنَجَّيْنَٰهُ مِنَ ٱلْقَرْيَةِ ٱلَّتِى كَانَت تَّعْمَلُ ٱلْخَبَٰٓئِثَ ۗ إِنَّهُمْ كَانُواْ قَوْمَ سَوْءٍۢ فَٰسِقِينَ
“Dan kepada Nabi Lut, Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu; dan Kami selamatkan dia dari bandar yang penduduknya selalu melakukan perkara-perkara yang keji; sesungguhnya mereka itu adalah kaum jahat, yang fasik, derhaka.” (Surah al-Anbiyaa: 74)
6. Manakala dalam menangani isu ini, Rasulullah ﷺ juga memberi amaran yang keras berhubung perbuatan ini. Rasulullah ﷺ menegaskan bahawa amalan ini adalah perkara yang dilaknat oleh Allah. Sabda Baginda:
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ
“Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.” (HR Ahmad)
7. Menurut al-Imam Ibn al-Jauzi, Rasulullah tidak pernah melaknat pelaku dosa besar sebanyak tiga kali berturut-turut seperti yang dilakukan kepada pelaku homoseksual ini. Di sini jelas menampakkan ketegasan Baginda ﷺ dalam menangani permasalahan ini.
8. Barangkali ada yang menggunakan hujah bahawa pemberian PReP ini adalah bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar. Namun, pada hakikatnya, ia tidak menyelesaikan mudarat yang lebih utama iaitu menjunjung perintah Allah dalam menjauhi perbuatan terkutuk ini.
9. Jika kita terus melayani keinginan nafsu serakah mereka untuk melakukan perbuatan terkutuk ini, kita sebenarnya membiarkan mereka terjerumus dalam kerosakan. Ini pada hakikatnya tidak membantu mereka.
10. Malah barangkali perbendaharaan negara juga dihabiskan bagi menyantuni kehendak mereka. Wang cukai yang dibayar oleh rakyat negara ini digunakan untuk pembelian ubatan yang membantu pelaku homoseksual melakukan hubungan songsang dengan jalan yang lebih selamat.
11. Apa yang lebih membimbingkan, berdasarkan laporan Global AIDS Monitoring pada tahun 2021, trend penularan jangkitan HIV telah berubah di mana golongan MSM (hubungan seksual lelaki dengan lelaki) telah mendominasi carta jangkitan HIV ini. Dalam kebimbangan peningkatan isu hubungan songsang ini semakin menular dalam masyarakat, kita pula membuka ruang baharu dengan pemberian PReP ini.
12. Oleh yang demikian, Profesor Dr Rafidah Hanim (Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM) menegaskan bahawa kempen abstinen (iaitu penghindaran dari perbuatan seks) itu haruslah menjadi tunjang, mencegah HIV bukan hanya untuk membekalkan ubat kepada mereka yang berisiko tinggi seperti homoseksual semata-mata.
12. Pendekatan bersepadu antara pengamal perubatan, proses pendidikan, penyampaian pendakwah serta ketegasan kepimpinan haruslah bergabung dalam mendidik masyarakat menjauhi perbuatan ini.
Semoga Allah membimbing kita.
Bacaan lanjut:
(1) https://themerdekatimes.com/…/doktor-pakar-muslim…/
(2) https://wafiq.my/…/abstinence-not-prep-as-the-key…/
(3) https://www.agendadaily.com/…/pengamal-kesihatan…/