#KitaJagaKita

“Doktor Muslim, Bertahanlah Tatkala Dilanda Ombak Besar”

WhatsApp Image 2022-12-15 at 8.54.32 AM

Apabila pengamal-pengamal perubatan bercakap soal menguruskan penyakit disebabkan gaya hidup seksual, penyelesaian seperti “tidak berzina” (abstinence) hanyalah diletakkan sebagai salah satu penyelesaian kepada masalah.

Persoalannya, masalah apakah yang diselesaikan? Bagi pengamal perubatan yang tidak mengambil kira pegangan agama, berzina bukanlah sebuah masalah. Masalah bagi mereka adalah kehamilan muda, kehamilan tidak dirancang dan penyakit berjangkit.

Kajian-kajian yang dijalankan datang daripada masyarakat yang mana perzinaan sudah menjadi kelaziman. Solusi yang dibawakan mereka bukan untuk mengekang perzinaan tapi hanya sekadar menguruskan masalah-masalah yang terbit daripada perzinaan. Ada yang kata “data tiada unsur moral” tetapi mereka tutup mata tahap moral masyarakat yang menghasilkan data-data tersebut.

Walaupun pengamal-pengamal perubatan muslim berjuang di pentas antarabangsa menyesuaikan mesej mereka menggunakan lenggok bahasa sekular, umat Islam sesama kita perlu bertindak atas kerangka tersendiri dan mempunyai tapisan di dalam minda sebelum menerima solusi-solusi yang berakar daripada tamadun yang menolak wahyu.

Ada pun wahyu tidak boleh diterima pakai di pentas antarabangsa yang sudah tiada pegangan moral, selaku umat Islam kita harus bertahan daripada terpesong pedoman dalam mencari solusi tatkala ombak besar kerosakan sedang melanda bumi. Solusi-solusi tempelan yang tidak bersumberkan wahyu, bahkan bertentengan dengan wahyu tidak akan berjaya memberi kesejahteraan yang dicari-cari.

“Nak halang pun tak boleh, anak muda tetap akan berzina.”

“Nak halang tak boleh, mereka tetap akan lakukan hubungan seks sonsang.”

Ada pihak yang dalam minda mereka sudah menerima kenyataan-kenyataan di atas sebagai hakikat yang tidak dapat dielakkan, maka “solusi-solusi” yang mereka cadangkan adalah dalam kerangka kenyataan tersebut. Mereka menerima data-data dan kajian-kajian yang diperoleh daripada masyarakat yang telah lama mengamalkan seks bebas.

Contohnya aktiviti zina, memandangkan mereka menerima sebagai kenyataan bahawa anak muda akan berzina, maka solusi yang mereka tawarkan adalah “seks selamat” seperti ajar berzina menggunakan kondom.

Terkini adalah aktiviti seks sonsang. Memandangkan mereka telah menerima seks sonsang sebagai sesuatu yang pasti akan berlaku, maka mereka cadangkan PrEP sebagai solusi.
“Solusi-solusi” yang ditawarkan adalah melakukan jenayah dengan selamat.

Mereka tidak akan selesaikan akar kepada masalah itu sendiri yang iaitu zina dan hubungan sonsang.

Solusi-solusi ini hanya sesuai ditawarkan kepada pasangan yang telah berkahwin kerana ia bukan lagi dalam situasi yang membuang bahaya daripada melaksanakan jenayah.

Kesan buruk seperti penyakit kelamin dan jangkitan virus adalah sebahagian daripada akibat yang patut ditanggung oleh pelaku jenayah. Apabila kerajaan membawa “solusi” untuk menanggung kesan-kesan buruk tersebut, maka pertimbangan untuk melakukan jenayah tersebut akan semakin mudah.

Ini bukan mengekang bahkan menggalakkan peningkatan aktiviti yang merosakkan masyarakat.

Penjenayah zina dan seks sonsang tidak patut ditanggung kerajaan. Mereka patut menanggung kesan buruk tersebut secara sendiri.

Mereka hanya patut menerima nasihat, hukuman dan pengurusan jenazah daripada masyarakat.

Minda “mereka tetap akan buat, maka kurangkan mudarat” adalah minda Muslim yang kalah kepada tekanan keruntuhan moral yang dipaksakan oleh masyarakat yang telah lama kehilangannya, masyarakat yang menolak wahyu. Pengamal-pengamal perubatan serta masyarakat yang berpegang kepada wahyu sebagai panduan kehidupan, seharusnya berfikir dalam kerangka wahyu.

Eqwan Roslan