#KitaJagaKita

Penggunaan PrEP Berskala Besar, Adakah berbaloi di Malaysia?

WhatsApp Image 2022-12-06 at 4.52.58 PM

1. Kemunculan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP), ubat pencegahan jangkitan HIV secara umumnya amat dinantikan buat segolongan men have sex with men (MSM). Ia dilihat sebagai satu penyelesaian buat mereka yang dihantui dengan jangkitan HIV/AIDS sejak Truvada (tenofovir/emtricitabine) diluluskan sebagai ubat PrEP oleh United States Food and Drug Administration (US FDA) pada 2012 dan European Medicines Agency (EMA) pada 2016. Penggunaan PrEP dikalangan mereka juga meningkat berdasarkan kajian lokal yang dibuat di Amerika Syarikat. Malah kebanyakan negara barat memfokuskan penggunaan PrEP kepada golongan berisiko terutamanya MSM.

2. Sejak itu, promosi terhadap PrEP semakin rancak oleh agensi-agensi kesihatan dan NGO berkaitan HIV-AIDS. Promosi-promosi agresif seperti “TheSexYouWant”, “peace of mind”, “as safe as Aspirin” dan “your best defence” cuba menggambarkan PrEP sebagai satu kelegaan buat golongan MSM yang ingin terus mengamalkan gaya hidup berisiko itu.

3. Kerisauan masyarakat dengan penggunaan PrEP secara meluas kepada individu yang mengamalkan amalan seks songsang dan berstatus HIV negatif bukan baru. Ia telah timbul lebih awal di barat apabila beberapa negara Eropah dan Asia Tengah mula membuka luas penggunaan PrEP kepada golongan berisiko dengan kemudahan bayaran balik sejak tahun 2016 bermula dengan Perancis. Di Amerika Syarikat, bagi meningkatkan lagi penggunaan PrEP, pelbagai usaha giat dijalankan, antaranya pelancaran program Ready, Set, PrEP yang memberikan PrEP secara percuma bagi mereka yang layak pada tahun 2019.

4. Kerisauan-kerisauan ini dikongsikan oleh Josh Dehaas dalam artikelnya bertajuk “Does PrEP, an HIV-preventing drug, make sense for gay men?” dimana PrEP diberikan dengan mudah dikalangan golongan MSM. Antaranya adalah kesan sampingan PrEP yang mungkin dihadapi sepanjang pengambilannya. Ini termasuk kesan yang hanya muncul selepas beberapa ketika mengambil PrEP walaupun ia jarang berlaku. Adakah berbaloi risiko mendapat kesan sampingan seperti gangguan fungsi buah pinggang dan pengurangan kepadatan mineral tulang, bagi mereka yang sihat dan berstatus HIV negatif sekadar untuk melegakan kerisauan risiko jangkitan HIV melalui hubungan kelamin?

5. Penggunaan PrEP secara meluas juga didapati berisiko tinggi mengurangkan penggunaan kondom akibat mesej yang dipromosi oleh media-media barat sebagai “the sex they want” dalam erti kata lain, tidak perlu memakai kondom. Ini secara tidak langsung meningkatkan kes-kes jangkitan kuman melalui hubungan kelamin (sexually transmitted infection, STI) kerana PrEP tidak menghalang STI daripada disebarkan. Dalam satu kajian yang diterbitkan oleh New England Journal of Medicine pada tahun 2015, didapati pesakit yang mengambil PrEP mendapat penyakit STI yang lain selepas PrEP sebanyak 8% lebih tinggi daripada mereka yang tidak mengambil PrEP. Malah, dilaporkan 30% kes baru penyakit gonorrhea di Amerika Syarikat didapati rintang/kebal kepada sekurang-kurangnya 1 jenis antibiotik oral. Ini berkemungkinan berpunca daripada peningkatan kes STI yang mendadak.

6. Persoalan berkaitan kerintangan kuman terhadap antibiotik tidak terhenti pada STI. Beberapa jenis/strain virus HIV juga telah didapati mempunyai kerintangan kepada ubat PrEP. Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan PrEP yang salah dapat mempercepatkan kewujudan virus HIV rintang/kebal kepada rawatan utama HIV (first-line treatment). Beberapa kes telah dilaporkan berkenaan kewujudan pesakit yang dihidapi virus HIV yang rintang/kebal kepada beberapa antiviral HIV (Multidrug-resistant HIV-1).

7. Kos juga menjadi pertimbangan keputusan untuk mengambil PrEP bagi golongan MSM di barat. Namun setelah makin banyak negara barat telah membuat program dan inisiatif bagi membolehkan PrEP diperolehi secara percuma, ia tidak lagi menjadi isu, malah menggalakkan penggunaan PrEP dengan lebih tinggi.

8. Faktor-faktor kerisauan yang dikongsikan oleh Josh Dehaas ini sangat sah/valid untuk dipertimbangkan terutamanya oleh pihak berkuasa apabila kita berbincang baik buruk meluaskan pemberian PrEP kepada masyarakat luar khususnya golongan berisiko. Namun sebagai seorang Islam dan rakyat Malaysia yang menyanjungi nilai-nilai ketimuran dan Rukun Negara, faktor yang lebih utama yang menjadi pertimbangan kita dalam isu ini adalah faktor risiko peningkatan amalan seks songsang dan seks bebas yang sangat asing dalam budaya masyarakat di Malaysia malah ditegah oleh Islam dan agama-agama lain.

9. Seperti yang disebutkan, PrEP menjadi satu kelegaan atau “peace of mind” terhadap kerisauan jangkitan HIV melalui amalan seks berisiko (ie seks bebas, banyak pasangan, seks dubur dan tidak memakai kondom). Dari satu sudut, risiko jangkitan HIV ini sebenarnya dapat berfungsi menghindarkan individu daripada terus terlibat dengan amalan seks berisiko itu kalaupun ia tidak dapat dihalang dengan kefahaman agama. Jadi dengan melebar luaskan penggunaan PrEP, kita secara tidak langsung telah menghilangkan kerisauan itu seperti yang berlaku di negara barat.

10. Tanpa menafikan keberkesanan dan kebaikan ubat PrEP diperingkat individu dalam menghalang jangkitan HIV daripada individu berstatus HIV positif kepada individu berstatus HIV negatif, penggunaan PrEP perlulah bersasar kepada golongan yang memerlukan seperti pasangan sah kepada individu berstatus HIV positif dan juga kepada golongan berisiko yang dalam proses untuk keluar daripada gaya hidup tersebut. Pendekatan abstinen adalah lebih selamat dan “peace of mind” kerana tidak perlu memikirkan keperluan mengambil ubat secara berkala, kesan sampingan ubat tersebut, dan terutama sekali risiko jangkitan HIV. Ia juga sangat kos efektif kerana segala kos yang melibatkan pembelian ubat serta kos-kos sampingan seperti pengambilan ujian secara berkala juga sudah tiada.

11. Diperingkat populasi, rawatan terhadap punca kepada epidemik HIV perlu diberi keutamaan iaitu usaha menggurangkan pengamalan seks bebas dan seks songsang yang bukan sahaja dapat mengurangkan bilangan kes HIV dengan pasti, tetapi juga dapat menyelesaikan pelbagai masalah sosial dan kekeluargaan yang lain. Apa yang kita perlu perkasakan dan usahakan adalah bagaimana kita boleh:
1) Mendidik masyarakat dengan lebih efisien berkenaan amalan seks sihat dan penyakit berjangkit hubungan kelamin (STI) termasuk HIV.
2) Merawat golongan yang terjebak dengan amalan seks songsang agar kembali kepada fitrah melalui pendekatan berhemah termasuk kaunseling dan didikan agama.
3) Menguatkan institusi keluarga seperti kemudahan kaunseling keluarga, inisiatif yang membantu keluarga muda dan memudahkan urusan perkahwinan.
4) Mengawal saluran media daripada serangan gaya hidup LGBT termasuk filem dalam dan luar negara, rancangan tv dan radio serta portal media di talian.
5) Menutup pintu-pintu penyebaran dan pembiakan amalan seks songsang dan seks bebas seperti pusat perlacuran, laman web pornografi dan aplikasi pertemuan golongan LGBT.

12. Dengan ini pendekatan kita akan lebih holistik dan menyeluruh. Kalau ditanya semula, adakah berbaloi? Sudah pasti TIDAK!, melihat kepada kesan-kesan yang boleh berlaku. Tidak semua polisi dan inisiatif kesihatan diluar negara sesuai dilaksanakan di Malaysia. Ia perlu mengambilkira sosiobudaya, kepercayaan dan nilai-nilai tinggi yang dijunjung oleh masyarakat setempat. Keutamaan diberikan kepada pencegahan terhadap amalan hidup berisiko serta pembudayaan hidup sihat seperti yang diterapkan dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat.

Dr Ahmad Muslim Bin Ahmad Roslan
Perubatan Keluarga
Aktivis I-Medik