#KitaJagaKita

“Visual-Audio-Kinestetik” – Mitos atau Kajian Berfakta?

Sebagai seorang neurosaintis, saya selalu mendapat soalan seperti, benarkah seorang anak itu boleh dikategorikan mengikut kriteria tertentu seperti dia seorang yang visual (maksudnya boleh belajar dengan lebih baik menerusi imej/gambar2), atau auditori (boleh belajar lebih baik menerusi bunyi/audio) dan kinestetik (boleh belajar lebih baik melalui pergerakan/praktikal).

Saya juga percaya pada visual, audio dan kinestetik kategori selama ini malah saya yakin ianya diajar dengan meluas dalam fakulti pendidikan dan juga psikologi di universiti. Mengikut kajian merentas 14 buah negara, 90% golongan pendidik memang percaya pada kaedah klasifikasi ini, dan cuba melakukan intervensi untuk membantu pelajar agar dapat belajar dengan lebih baik menerusi pemarkahan kriteria ini.

Mujurlah saya tidak pernah masukkan dalam syarahan di universiti tapi rasanya saya pernah sahaja sebut dalam siri ceramah di luar sebelum ini.

Satu lagi soalan yang saya selalu dapat ialah otak kiri dan otak kanan. Betul tak orang yang seni itu ialah kategori otak ‘kanan’ sedangkan orang yang lebih berfikiran kritis/bijak matematik itu ialah kategori otak ‘kiri’.

Saya juga pernah percaya pada notasi ini sebab ianya terlalu biasa disebut malah pakar-pakar motivasi dan akademik bertaraf profesor juga pernah menyebutnya. Malah satu masa dulu saya percaya bahawa saya lebih dominan sebagai otak kanan kerana saya lebih artistik berbanding otak kiri kerana tidak memiliki prestasi cemerlang dalam matematik mahupun penaakulan mantik.

Sebenarnya tiada bukti yang kukuh bahawa kategori ini benar-benar terbukti, kerana meskipun otak manusia mempunyai keunikan dari sudut kompleksiti jaringan saraf, ianya bukanlah satu organ dengan kompartmen yang benar-benar terpisah bahkan apabila otak menerima satu input, ribuan malah mungkin jutaan sinaps (synapse) saraf diaktifkan meliputi deria dan sensori yang pelbagai.

Tiada bukti kukuh menunjukkan dominasi sesuatu deria dan perkaitan dengan kemampuan untuk belajar atau menyimpan memori baharu. Memang satu hakikat yang sukar diterima, nak-nak lagi kita sendiri selalu melabel diri sendiri atau anak-anak sebagai ‘visual’ atau ‘auditori’ atau ‘kinestetik’ atau lebih dominan otak kanan atau otak kiri.

Satu kesan buruk ‘percaya’ kepada klasifikasi ini ialah kita membesar dengan satu kepercayaan palsu (false believe) bahawa kita hanya hebat apabila input yang diberi adalah jenis pembelajaran (learning style) yang dominan untuk kita, dan sebaliknya merasa sukar untuk adaptasi pada input berbeza.

Sedangkan otak dan kapasitinya adalah begitu hebat dan perlu diledakkan tanpa limitasi klasifikasi ini. Satu lagi faktor ialah apabila kita percaya satu jenis stimulasi adalah terbaik, maka ada kebarangkalian kita akan berusaha untuk memperbanyakkan jenis stimulasi tersebut dan menghiraukan yang lain.

Ini boleh mengakibatkan fenomena dipanggil bebanan lebihan pada sistem pemprosesan otak atau ‘processing overload’ dan ianya sama sekali tidak membantu proses pembelajaran dan penyimpanan memori (acquisition) mahupun proses mengingat kembali (retrieval). Lebih buruk, stimulasi yang kurang pada aspek lain boleh memberi kesan kepada perkembangan menyeluruh otak.

Kenapa tiba-tiba saya kongsikan perkara ini?
Kerana saya baru sahaja memulakan langkah awal dalam kajian berfokus tema pendidikan neuro (neuroeducation).

Ada sangat banyak aspek yang menarik minat saya, tetapi saya dan beberapa rakan kajian memutuskan untuk memulakan pencarian kami dengan melihat sejauhmana persepsi dan kepercayaan masyarakat kita terhadap jenis pembelajaran (learning styles) dan bagaimana kami dapat memberikan sentuhan daripada kajian neurosains bagi memandu masyarakat kepada praktis berdasarkan bukti (evidence-based practise).

Profesor Madya Dr Madihah Rushaidi
Ahli I-Medik & Dekan Fakulti Biomedikal
Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed)