Kenapa mulut berbau ketika berpuasa?
Ramai yang mengalami mulut berbau ketika bulan puasa. Mulut berbau atau halitosis lazimnya terjadi akibat tindak balas bakteria dengan makanan yang tertinggal di dalam mulut lalu merembeskan asid dan sulfur.
Ada yang bertanya, bagaimana hendak mengatasi mulut berbau ini? Berikut merupakan cara untuk mengatasi masalah tersebut:
1. Membersihkan gigi, mulut, dan lidah setiap hari. Lidah adalah kawasan yang ramai lupa untuk bersihkan. Jangan lupa bersihkan celah-celah gigi menggunakan tali gigi atau flos.
2. Banyakkan minum air mineral atau air kosong. Ini untuk meneutralkan rongga mulut kita selain mengekalkan penghidratan air di dalam badan. Semasa berpuasa dicadangkan untuk hanya berkumur ketika mengambil wudhu’ sekadar yang perlu sahaja.
3. Mengunyah gula-gula getah (xylitol) tanpa gula. Mengunyah gula-gula getah dapat meningkat kadar air liur di dalam mulut, air liur kita penting dalam mengawal kadar asid di dalam mulut kita.
4. Berhenti merokok. Merokok menyebabkan nafas perokok berbau. Oleh itu, bulan puasa adalah bulan yang terbaik buat perokok untuk perlahan-lahan meninggalkan tabiat merokok sekali gus dapat mengurangkan masalah mulut berbau.
5. Ramai yang menyangka bahawa dengan menggunakan pencuci mulut, bau nafas akan menjadi segar dan tidak berbau tetapi mereka tidak merawat punca sebenar mulut mereka berbau jadi cara ini hanya bersifat sementara. Jika menggunakan ubat kumur yang mempunyai alkohol, ia boleh menyebabkan kekeringan di dalam mulut seterusnya menggalakkan pembiakan bakteria yang menyebabkan mulut berbau. Jika hendak menggunakan ubat kumur, pastikan ianya tidak mengandungi alkohol.
6. Melakukan pemeriksaan di klinik gigi secara berkala. Selalunya anda tidak menyedari yang anda mempunyai masalah gigi dan gusi sekiranya tidak berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan. Jika gigi berasa sakit, maka selalunya tahap kerosakan atau penyakit gusi telah serius. Doktor gigi boleh mengesan lebih awal sekiranya anda mempunyai masalah dan segera mengatasinya sebelum ia menjadi teruk.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua pembaca.
Dr Naufal Bin Muzafar Shah
Pegawai Pergigian
Ahli I-Medik Negeri Sembilan