#KitaJagaKita

Vaksinasi Kanak-Kanak 5-11 Tahun, Apa Yang Ibu bapa Perlu Tahu?

photo6118631855109550206

Dalam menilai sesuatu maklumat tentang vaksinasi, ibu bapa perlu merujuk kepada sumber yang sahih, melakukan pembacaan dan berbincang dengan pegawai kesihatan atau pakar jika terdapat sebarang kemusykilan. Elakkan terpengaruh dengan sumber yang tidak sah malah mengelirukan dan tidak mempunyai asas yang kukuh. Seterusnya, ibubapa perlu mempunyai minda positif kerana minda yang positif berperanan di dalam kesihatan tubuh badan yang baik dan kesan yang positif selepas dari pemberian vaksin.

Vaksin yang telah diiktiraf sebagai selamat untuk diberikan kepada kanak-kanak 5 tahun ke atas di seluruh dunia pada waktu ini ialah formulasi vaksin Comirnaty (Pfizer-BioNTech). Kanak-kanak diberi 2 dos dengan jarak 8 minggu di antara keduanya. Setiap dos bersamaan dengan 10mcg vaksin mRNA (0.2mls). Suntikan ini diberikan kepada otot bahu atau pun peha kanak-kanak.

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah sejenis vaksin mRNA yang mengandungi bahan aktif lipid, garam, gula dan air. Ia tidak mengandungi telur, gelatin, gluten, lateks, antibiotic, aluminium dan bahan pengawet. Malah polyethylene glycol (PEG) yang merupakan sejenis lipid di dalam vaksin ini juga digunakan di dalam produk ubatan, kosmetik, krim kulit, ubat gigi, makanan, minuman dan lain-lain.

Kajian klinikal ke atas 2268 kanak-kanak penerima vaksin Prozer-BioNTech mendapati bahawa vaksin ini selamat dan menghasilkan pertahanan badan yang efektif terhadap virus Covid-19 (90.7%). Tambahan pula, terdapat lebih dari 8 juta kanak-kanak di serata dunia yang telah divaksinasi setakat ini lebih meyakinkan kita bahawa vaksin ini selamat untuk kanak-kanak.

Prapenilaian
Sebelum diberikan suntikan vaksin, kanak-kanak akan dinilai oleh pegawai kesihatan sama ada sesuai untuk menerima vaksin di pusat pemberian vaksin atau perlu mengambilnya di hospital. Ibu bapa perlu membawa semua ubat-ubatan yang diambil oleh anak-anak mereka (jika ada) bagi tujuan penilaian ini. Di antara sejarah penyakit yang diberikan tumpuan ialah masalah alahan yang teruk, lemah pertahanan badan (immunocompromised) ataupun penyakit yang mempunyai risiko pendarahan sama ada disebabkan penyakit mereka atau pun ubat yang diambil (ubat cair darah).

Vaksin Pfizer-BioNTech tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai sejarah alahan yang teruk (immediate) kepada vaksin tersebut atau kandungannya. Kanak-kanak yang mengalami alahan tidak serius dalam tempoh 72 jam selepas menerima vaksin dos pertama juga tidak boleh diberikan dos kedua.

Kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang serius, kemasukan ke ICU ataupun kematian adalah mereka yang mempunyai sejarah masalah kesihatan seperti masalah jantung, masalah sistem pernafasan kronik, hipertensi, diabetis, masalah buah pinggang, system pertahanan badan yang lemah, masalah saraf, autisma dan obesiti. Oleh yang demikian, kanak-kanak yang mempunyai penyakit ini perlu diberikan vaksinasi secepat mungkin.

Kesan Sampingan Selepas Vaksinasi

Di antara kesan sampingan vaksin yang biasa dialami oleh kanak-kanak ialah kesakitan pada tempat cucuk, kemerahan dan bengkak. Mereka juga mungkin mengalami gejala-gejala seperti rasa letih, sakit kepala, sakit otot dan demam. Jika mereka mempunyai gejala seperti ini, mereka perlu diberi ubat demam/penahan sakit seperti paracetamol dan digalakkan untuk berehat sehingga kembali pulih.

Kesan sampingan yang serius yang sering dikaitkan dengan vaksin Pfizer-BioNTech ialah jangkitan pada otot jantung (myocarditis) dan selaput jantung (pericarditis). Keadaan ini lazimnya berlaku dalam masa beberapa hari sehingga seminggu dari tarikh suntikan. Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, ia lebih kerap berlaku pada penerima lelaki dan selepas dos kedua. Tanda-tanda myocarditis atau pericarditis ini ialah sesak nafas, sakit dada, pitam/pengsan atau pun rasa denyut nadi yang laju atau tidak sekata. Di setiap pusat pemberian vaksin (PPV), biasanya para petugas kesihatan akan menasihatkan ibu bapa untuk membawa anak ke klinik atau hospital berdekatan jika mereka mempunyai gejala seperti ini bagi tujuan pemeriksaan lanjut. Walaubagaimanapun, kebanyakan daripada kanak-kanak yang menghidapi penyakit ini bergelaja ringan, memberikan tindas balas yang baik kepada ubat-ubatan dan sembuh dengan segera.

Jika dilihat kepada kajian yang terkini (Disember 2021), daripada 8,674,378 dos vaksin yang diberikan, cuma 12 kes myocarditis yang dilaporkan. Kesemua kes ini mengalami gejala ringan dan sembuh sepenuhnya. Kajian ini juga mendapati kes-kes myocarditis sebenarnya lebih tinggi di kalangan remaja 12 tahun ke atas yang diberikan vaksin Pfizer-BioNTech. Secara keseluruhannya, risiko myocarditis jauh lebih rendah di kalangan kanak-kanak 5 tahun ke atas jika dibandingkan dengan golongan remaja.

Selepas atau sebelum menerima vaksin Covid-19, kanak-kanak boleh menerima apa-apa vaksin lain dengan syarat mereka telah sembuh sepenuhnya. Jarak 2 minggu adalah digalakkan di antara vaksin Covid-19 dengan vaksin-vaksin yang lain. Kanak-kanak juga tidak digalakkan untuk mengambil ubat sebelum atau semasa vaksinasi seperi paracetamol dan ibuprofen tetapi mereka boleh melakukan demikian sebaik sahaja mengalami gejala seperti demam, sakit kepala, sakit otot atau sakit lengan. Kanak-kanak boleh menjalani aktiviti seperti biasa selepas suntikan vaksin, tetapi tidak digalakkan untuk melakukan aktiviti fizikal yang intensif selama seminggu selepas menerima vaksin tersebut.

Multisystem Inflammatory Syndrome in Children

Program imunisasi Covid-19 untuk kanak-kanak 5 tahun ke atas sebenarnya berperanan lebih besar di dalam mencegah komplikasi yang disebut sebagai Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C). Ia merupakan keadaan keradangan organ yang serius yang berlaku kepada 1 dari 3000 kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19. MIS-C ini boleh berlaku 2-6 minggu selepas dijangkiti virus Covid-19 dan 60-70% kanak-kanak yang mengalami keadaan ini perlu dimasukkan ke ICU. Lebih menyedihkan, MIS-C ini mempunyai 1-2% risiko kematian.

Oleh yang demikian, sewajarnya para ibu bapa membuat keputusan yang bijak bagi melindungi anak-anak dari jangkitan Covid19 yang serius serta komplikasinya. Diharapkan dari program imunisasi kanak-kanak (PICKids) ini, kita akan dapat menghasikan pertahanan badan yang lebih kuat di kalangan kanak-kanak sehingga wabak Covid19 ini selesai. Kita masih belum menang!

Oleh: Dr Nur Farrah Nadia bt Najib
Aktivis I-Medik Johor Bahru