Untuk gelombang ketiga varian Omicron kali ini, KKM ada pernah meramalkan sekitar 10% populasi Malaysia dijangkakan akan terkena jangkitan COVID-19.
Hal ini bukan suatu yang pelik kerana dengan kadar jangkitan harian pada tahap 20k-30k setiap hari, ianya sesuatu yang berasas.
Bahkan, saya sendiri meletakkan nilai jangkaan yang lebih tinggi, mungkin mampu mencecah 30-40% populasi. Hal ini berasaskan kepada tahap surveillance yang semakin tidak seketat seperti zaman PKP dahulu kala, faktor kebebasan pergerakan serta faktor kuarantin kendiri (di rumah) yang menggalakan jangkitan lebih mudah tersebar.
Maka, kebarangkalian untuk kita underestimate nilai sebenar itu amat tinggi.
Nilai jangkaan 10% KKM itu hanya nilai yang wujud berdasarkan data yang ada, sedangkan kita tidak pasti apakah nilai jangkitan harian yang sebenar ditambah dengan kes-kes yang tidak dilaporkan?
Maka, atas asas-asas ini saya meletakkan jangkaan angka yang sedikit tinggi sekitar 30-40% mungkin hampir menyamai jangkaan WHO terhadap Eropah (50% populask dijangka dijangkiti). Boleh jadi jangkaan saya ini suatu yang overestimate, tetapi dalam aspek pengurusan risiko – ianya amat perlu dan boleh dimaafkan.
Gelombang ketiga di UK pada ketika ini sudah mula semakin reda dan setakat ini hampir 31.2% jangkitan telah dicatatkan dan gelombang Omicron (ketiga) menyumbang jangkitan terbanyak.
Jika jangkaan ini tepat atau memiliki asasnya yang kukuh, ini bererti 1 daripada 3 orang daripada kita akan dijangkiti oleh COVID-19. Satu nisbah yang cukup membimbangkan. Dalam bahasa mudahnya lambat laun, kita, masing-masing akan dijangkiti oleh COVID-19, hanya yang membezakannya ialah bila dan bagaimana?
Atas kesedaran ini, saya sentiasa berpesa kepada rakan-rakan, saudara-mara agar menyegerakan pengambilan dos penggalak. Saranan untuk dos penggalak bukan hanya suka-suka, tetapi berlandaskan kepada data statistik dan asas sains biologi yang ada.
Ingat, tugas kita hanyalah berusaha (dengan kadar kefahaman ilmu yang ada), selebihnya kita menyerahkan (tawakal) segala-galanya kepada Tuhan yang Esa.
Dr. Amin Rukaini Mustafa
Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)
PhD dalam Biotechnology (Molecular Microbiology)
Universiti Cambridge