Keadaan semasa berkaitan penularan COVID-19 di negara kita dan seluruh dunia kini sedang berhadapan pelbagai varian baharu sama ada diklasifikasikan sebagai varian membimbangkan (VOC) atau varian mempunyai kepentingan (VOI).
Terkini varian baharu Omicron yang bermula di Afrika Selatan pada akhir tahun lalu, membimbangkan banyak negara kerana kadar penularan jangkitan lebih cepat, walaupun tahap keseriusan belum dapat dikenal pasti.
Sehingga 14 Januari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tambahan lapan kes positif varian Omicron, menjadikan jumlah kumulatif ialah 253. Bagaimanapun, varian Delta masih menjadi varian dominan dengan merekodkan 5,726 kes kumulatif setakat ini .
Melihat situasi semasa ini, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menguatkuasakan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah untuk tempoh sebulan bermula 8 Januari lalu.
Banyak pihak, terutama pengendali pakej umrah dan ziarah merasakannya sebagai tindakan drastik boleh membebankan sektor perniagaan mereka ditambah pula baru bermula mengaktifkan umrah ke Tanah Suci.
Sebaliknya, dalam konsep pencegahan penularan infeksi pada skala besar seperti COVID-19 dengan varian Delta sebelum ini, negara kita sudah melalui fasa keadaan dan jumlah kes harian positif COVID-19 melebihi 15,000 kes pada suku kedua dan ketiga 2021 hingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.
PKP lalu memberi impak mendalam terhadap sektor ekonomi, pekerjaan, kehidupan seharian dan juga kebebasan sosial yang sebelum ini dikecapi.
Justeru, penilaian risiko perjalanan dalam dan luar negara khususnya membabitkan negara seperti Arab Saudi ini ada asasnya.
Pihak berkuasa mengambil langkah ini supaya dapat membendung penularan varian Omicron yang dikatakan lebih mudah dan cepat berjangkit. Jadi tujuan memperketatkan serta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) perjalanan, termasuk umrah bertujuan mengawal dan memperlahankan penularan Omicron.
Lebih membimbangkan, KKM juga menyatakan tidak menolak kemungkinan gelombang varian Omicron ini juga akan berlaku di negara ini berdasarkan trend semasa di kebanyakan negara di Afrika dan Eropah.
Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Hans Kluge, turut menyatakan berdasarkan maklumat semasa jangkitan varian Omicron, kemungkinan lebih separuh penduduk di Eropah boleh dijangkiti varian itu dalam tempoh 2 hingga 3 bulan akan datang. Beliau menegaskan gelombang Omicron juga dikenali sebagai gelombang baharu ‘Barat ke Timur’ merentasi benua Eropah.
Kebimbangan beliau ini berdasarkan maklumat dan data statistik dirujuk daripada The Seattle-based Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME). Penularan varian Omicron kali ini akan memberi satu tekanan agak signifikan kepada kebanyakan negara di Eropah dan Asia Tengah.
Beberapa maklumat berita seperti laporan BBC bertarikh 9 Januari lalu dan sumber statistik semasa COVID-19, iaitu JHU and National Agencies juga menunjukkan maklumat sama berkenaan lonjakan kes COVID-19.
Kini lebih 50 negara di Eropah dan beberapa negara di Asia Tengah merekodkan kes varian Omicron serta lebih 7 juta kes positif COVID-19 dikenal pasti pada minggu pertama tahun ini.
Justeru, kerajaan melalui kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memutuskan untuk menangguhkan sementara langkah mengisytiharkan peralihan ke fasa endemik berikutan peningkatan kes penularan varian Omicron ini.
Penangguhan pengumuman ini ada asasnya kerana negara masih merekodkan kes positif harian 3,346 dengan 172 kluster aktif serta nilai kebolehjangkitan semasa (RT) untuk negara secara keseluruhan ialah 1.00.
Ketidaktentuan trend penularan dan impak banjir besar sedikit sebanyak merencatkan perancangan awal peralihan fasa berkenaan. Walaupun negara mencapai banyak kemajuan dalam pengawalan COVID-19 berbanding tahun lalu, kesiapsiagaan dan mengambil semua langkah pengawalan dan pencegahan adalah titik tolak kejayaan negara keluar dari ‘zon perang’ ini.
Dalam situasi sebegini, masih ada sesetengah pihak menyangkal seolah-olah tindakan kerajaan mengetatkan langkah pencegahan penularan ini dilihat sebagai sia-sia dan pemberian vaksin pada skala besar negara tidak menampakkan hasil. Sebaliknya, tindakan itu kononnya menyusahkan banyak pihak dan juga dipandang sia-sia.
Perlu ditekankan semua rakyat di negara ini perlu berganding bahu dan terus mematuhi SOP ditetapkan. Pengawalan penularan virus seperti COVID-19 dan varian berkaitan boleh dikawal secara amalan norma baharu penjarakan fizikal, pengawalan perkumpulan sosial dan pemakaian pelitup muka.
Pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19 seperti disarankan KKM boleh menjadi satu pencegahan awal kepada setiap individu yang kini secara lebih bebas keluar dan masuk dari kediaman ke tempat kerja, bersukan dan bersosial.
Walaupun varian Omicron mungkin memberi kesan jangkitan kurang berbanding varian lain berdasarkan trend kemasukan ke wad dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU), kita tidak boleh cuai dan memberi apa-apa ruang rantaian COVID19 ‘bersambung’ semula dalam komuniti di negara ini.
Penulis adalah Presiden Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan Timbalan Pengarah Institut Kajian, Pembangunan & Inovasi (IRDI), International Medical University (IMU)