#KitaJagaKita

Tiada Gigi Seawal 4 Tahun? Ke mana Gigi Anak Ini?

Telah tular baru-baru ini melalui laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 16 Mac 2024 di mana seorang kanak-kanak berusia 4 tahun telah dirujuk kepada pakar pergigian untuk cabutan 20 batang gigi susunya. 20 batang gigi adalah jumlah keseluruhan gigi susu yang tumbuh di dalam mulut seorang kanak-kanak.

Kanak-kanak itu dikatakan telah mengalami kesakitan dan ‘kerapuhan’ gigi untuk suatu jangkamasa sehingga suatu hari muka anak itu didapati bengkak dan doktor mengesahkan jangkitan kuman telah berlaku menyebabkan pembedahan terpaksa dilakukan.

            Apakah yang telah berlaku dan bagaimana gigi telah menghadirkan suatu episod mengerikan di dalam hidup seorang anak berusia 4 tahun? Mari kita kupas isu ini.

Secara umumnya gigi terbentuk dalam 2 lapisan utama, enamel (lapisan paling luar) dan dentin (lapisan dalam) yang melitupi struktur pulpa atau saraf di tengah-tengah gigi yang terdiri daripada saluran darah dan saraf deria yang memberi nutrisi dan ‘rasa’ kepada setiap batang gigi (rujuk gambarajah 2).

Kerosakan gigi atau karies adalah serangan kuman (Streptococcus mutans) yang terjadi kepada lapisan paling luar (enamel) yang merupakan struktur keras paling kuat di dalam tubuh badan manusia. Sekuat-kuat struktur ini, ia dikalahkan oleh asid yang terhasil daripada kuman di dalam mulut yang mendapat sumber makanan daripada makanan yang manusia makan, terutamanya karbohidrat atau gula. Kerosakan ini yang pada mula hanya melembutkan struktur enamel, lama kelamaan menyebabkan bahagian yang terhakis menjadi berlubang dan lapisan di bawahnya (dentin) juga menjadi mangsa. Kebiasaannya kita akan merasa sakit apabila lapisan dentin ini sudah terjejas dengan karies. Lebih lama dibiarkan, kerosakan ini mula menular ke lapisan paling dalam iaitu saraf gigi. Bayangkanlah apabila saraf gigi yang membawa saraf deria rasa dan kesakitan kini terdedah kepada bakteria, juga terdedah kepada segala apa yang masuk ke dalam mulut seperti makanan, minuman manis, pedas dan sebagainya. Kesakitannya pastinya hanya yang pernah mengalami dapat memahaminya.

Jangkitan kuman yang menembusi sehingga ke saraf gigi adalah penyebab serangan kuman ini dapat masuk (access route) ke bahagian lain di dalam rahang. Apa yang terjadi kepada anak berusia 4 tahun ini, adalah jangkitan yang telah masuk ke dalam rahang dan tisu lembut muka, menyebabkan muka menjadi bengkak dan biasanya pesakit akan demam. Paling menyedihkan jika karies terjadi kepada anak kecil kerana gigi susu adalah lebih kecil dan nipis, bermakna serangan kuman lebih senang dan pantas terjadi kepada golongan ini.

Adakah kerosakan gigi susu ini fenomena biasa yang kononnya memang berlaku kepada semua gigi susu? Adakah gigi anak kecil memang lumrahnya kehitam-hitaman? Sudah tentu jawapannya adalah tidak. Ia adalah MITOS sepertimana MITOS bahawa seorang tua akan kehilangan giginya satu demi satu. Semua gigi manusia sepatutnya kekal di dalam mulut sehingga akhir hayat (kecuali gigi susu yang digantikan dengan gigi kekal apabila tiba masanya). Kerosakan gigi susu terjadi kerana beberapa salah faham di kalangan ibubapa dan penjaga, menyebabkan musibah yang patut dapat dielak ini menjadi kebiasaan pula dalam masyarakat.

Salah faham yang pertama adalah berkenaan jenis makanan atau susu yang boleh menyebabkan kerosakan gigi. “Anak saya menyusu dari ibu sahaja, tiada gula, okay kan?”. Susu ibu adalah makanan terbaik untuk semua bayi. Selain mikronutrien, vitamin, mineral, molekul bioaktif dan prebiotik, komponen karbohidrat yang terdapat dalam susu ibu adalah dari laktosa. Seperti yang kita tahu, glukosa, sukrosa dan laktosa adalah 3 jenis karbohidrat ringkas (simple carbohydrate) atau biasa kita gelarkan gula. Karbohidrat ringkas ini adalah makanan UTAMA bakteria Streptococcus mutans penyebab karies. Ya bukan sahaja susu formula, susu ibu juga mengandungi gula. Jika ibubapa merasakan mereka boleh kurang memberi perhatian kepada pembersihan gigi kerana anak belum banyak makan dan hanya menyusu ibu, tanggapan ini silap. Terutamanya jika anak mempunyai tabiat menyusu secara berpanjangan di waktu malam dan puting botol atau puting ibu dibiarkan di dalam mulutnya sepanjang malam. Ia merupakan tempoh paling ideal untuk bakteria ini berkembang biak memandangkan “makanannya’ banyak dan air liur anak pada waktu malam juga berkurangan menyebabkan efek pembersihan daripada air liur ini kurang berfungsi. Jika ini berterusan hari ke hari, bulan ke bulan, sudah tentulah gigi akan rosak.

Salah faham yang kedua adalah bahawasanya gigi susu tidak perlu diberi perhatian dan dibersihkan. Cuba semak semula, berapa kerap anda memastikan gigi anak digosok, dan berapa kerap pula anda menyelak bibir anak untuk memeriksa jika ada plak yang berkumpul di permukaan gigi? Jika proses menggosok gigi dilakukan secara kerap tetapi teknik yang salah, plak tetap akan terbentuk dan tidak dibersihkan. Oh, apakah pula plak ini ya? Plak adalah bahan keputih-putihan di atas permukaan gigi dan konsistensinya lembut seperti keju. Tentu pembaca pernah lihat kan, bukan sahaja gigi anak, gigi ibubapanya pun ada plak. Plak yang tidak diberus dan berada lama di atas gigi akan mengeras membentuk kalkulus atau karang gigi. Plak ini adalah perkumpulan banyak jenis bakteria membentuk jaringan kompleks dan kondusif untuk pembiakan lebih banyak bakteria dan sumber penghasilan bahan kumuh (asid) yang merosakkan struktur enamel.

Mesej ringkas, mudah dan jelas yang saya ingin bawakan di sini adalah; SAYANGI anak anda yang belum mampu menjaga kebersihan diri, jika mereka belum mampu beristinjak dengan sempurna, mereka belum mampu membersihkan gigi dengan sempurna. Adalah menjadi TANGGUNGJAWAB ibubapa memastikan kebersihan gigi terjaga dan tidak menyebabkan penyakit dan kesakitan kepada anak yang tidak berdosa. Kedua, penjagaan gigi bermula sebaik sahaja gigi pertama tumbuh sekitar usia bayi 6 bulan. Bak kata pensyarah Paediatric Dentistry saya Professor Louise Brearly Messer setiap kali sesi kelas syarahannya, TWO IS TOO LATE. Jika anak anda sudah berusia 2 tahun dan mereka belum pernah berjumpa doktor gigi, she is overdue for a friendly dental visit walaupun tiada masalah pergigian. Semoga bermanfaat!

 

Dr Aini Hayati Abdul Rahim,

BDSc (Melbourne), MClinDent (Restorative Dentistry in Prosthetic Dentistry) (Malaya).

Ahli dan aktivis i-Medik

Pensyarah dan Pakar Pergigian Prostodontik, Fakulti Pergigian UiTM Sg. Buloh