#KitaJagaKita

I-Medik Bantah Tajaan Syarikat Arak Di Sekolah

452649540_790421106580711_114717154140831890_n
Saya sebagai doktor perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia menyeru agar semua pihak menyokong penuh usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Y.B. Fadhlina Sidek dalam melarang tajaan oleh syarikat arak di sekolah-sekolah. Langkah ini penting bagi memperkukuh sistem pendidikan negara demi masa depan anak-anak kita.
Ini berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 yang melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani (rujuk kenyataan dari Menteri Pendidikan).
Saya dengan tegas menyelar tindakan Dong Zong yang sering kali mempersoalkan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan memperkasa pendidikan kebangsaan. Dong Zong harus berhenti menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan negara.
Kami mengutuk sekerasnya pendirian Menteri Pengangkutan serta mana-mana pihak yang menekan KPM serta kerajaan bagi menerima sumbangan dan secara tidak langsung mempromosi arak pada banner-banner dalam acara-acara yang melibatkan sekolah-sekolah KPM, samada SK, SJKC, SJKT dll. Tindakan ini tidak boleh diterima dan harus dihentikan serta-merta demi menjaga keselamatan dan moral pelajar kita.
Alkohol adalah bahaya kepada kesihatan dan kesejahteraan individu, terutama sekali bagi kanak-kanak dan remaja. Kita harus bersama-sama mengingatkan masyarakat tentang keburukan alkohol dan mencegah penularannya. Mempromosikan arak di sekolah-sekolah melalui poster dan banner sumbangan boleh merosakkan pemikiran mereka dan mempengaruhi mereka ke arah perilaku yang tidak diingini.
Rakyat Malaysia harus menolak usaha ini dan menjaga integriti sekolah sebagai tempat yang selamat dan bersih dari sebarang pengaruh negatif.
Dr Sakinah Abdullah
Doktor Perubatan
Pengerusi I-Medik Johor