Mungkin tak ramai yang tahu bahawa dalam plan rawatan pesakit mental, plan rawatan yang selalu digunakan adalah menyeluruh iaitu BIOPSIKOSOSIAL dan SPIRITUAL.
Atas sebab itu bila JAKIM keluarkan kenyataan untuk menempatkan 160 pegawai terlatih di hospital bagi membantu pesakit yang alami tekanan, ianya sangatlah menggembirakan.
Sudah tiba masanya stigma terhadap sakit mental ini kita kurangkan dan buang jauh jauh!
Mungkin ramai masyarakat yang mengatakan bahawa sakit mental ini sakit orang lemah iman, sakit orang tak solat, sakit orang tak baca quran, sakit orang jauh dengan Tuhan.
Tapi masyarakat perlu juga tahu sakit mental ini terlalu kompleks untuk meletakkan lemah iman sebagai PUNCA UTAMA kepada penyakit dah dihadapi, kerana secara faktanya terlalu banyak faktor (multifactorial) yang menyumbang kepada seseorang untuk jatuh sakit.
Namun tidak dapat dinafikan bahawa kekuatan spiritual boleh membantu kepada proses rawatan dan pemnyembuhan. Disamping komponen lain yang disebut di awal tadi.
Kita (doktor,golongan agamawan dan masyarakat) perlu sentiasa nasihat dan beri galakan tanpa ada sifat menghukum kepada pesakit. Untuk sihat, disiplin dengan ubat, amalkan gaya hidup sihat dan aktif, kongsi perasaan pada rakan dan orang tersayang dan berdoalah pada Tuhan moga diberi jalan dan dipermudahkan urusan. Ini konsep rawatan menyeluruh yang perlu kita tekankan.
Dan ternyata konsep ini tidak hanya terpakai pada sesetengah agama semata, orang barat juga mengakui ‘the positive contribution spirituality can make to mental health.’ Rasa keterikatan dengan Tuhan mampu menghidupkan kembali semangat dan menjadi motivasi untuk bangkit.
Zaman pandemik ini, emosi yang tertekan menjadikan manusia lebih rentan membuat sesuatu diluar kawalan. Itu fitrah. Namun untuk pukul rata dengan mengatakan mereka yang beremosi dan tertekan ini tiada iman adalah pernyataan yang tidak tepat.
Dalam agama Islam sebagai contoh, antara pelopor utama kepada masalah psikiatri/mental ini adalah dari kalangan doktor Muslim sendiri iaitu Muhammad ibn Zakariya al-Razi seawal kurun ke 9.
Beliau berpendapat bahawa penyaki mental adalah sebahagian dari penyakit perubatan yang memerlukan rawatan seperti penyakit fizikal yang lain. Sakit mental diletakkan sebagai penyakit yang perlukan rawatan. Ini fakta yang perlu kita terima.
Jom ubah stigma dengan mengatakan:
“Pesakit jatuh sakit bukan kerana mereka lemah iman. Tapi kerana iman mereka kuatlah mereka diuji dengan sakit begini.”
Rujukan :
1) Muhammad ibn Zakariya al-Razi and the First Psychiatric Ward
– Musa Yilanli, M.D., American Journal Psychiatry,2018.
2) The Impact of Spirituality on Mental Health, Mental Health Foundation, 2006