Tahun 2018, setelah dua tahun pengambilan doktor secara kontrak berlaku dan hanya sebahagian kecil yang diserap masuk, kita sudah boleh menjangkakan ruang untuk perjawatan baharu akan menjadi sangat terhad.
Melihat kepada perkara tersebut dan dalam masa yang sama Hospital IIUM tempat saya bekerja sedang ada kekosongan jawatan tetap, maka saya memulakan misi mengejar junior-junior saya untuk ikut serta ke IIUM, berkali-kali di’call’ dan diperingatkan kerana risaukan mereka akan sampai ke satu peringkat yang sukar.
Hari ini, sudah ada lebih 23,000 pegawai perubatan kontrak, yang masih lagi menunggu apakah mereka akan diserap masuk atau tidak. Ada yang mencadangkan supaya di adakan tunjuk perasaan, mogok atau apa nama sekali pun. Bagi saya ia tidak mungkin dapat menyelesaikan keadaan kerana situasi yang ada terlalu rumit.
Kita merasakan perkara yang paling logik ketika ini bagi manfaat doktor kontrak tanpa menambah bebanan yang besar kepada pihak kerajaan adalah dengan membuka ruang menyambung pelajaran (dengan atau tanpa HLP) supaya doktor-doktor ini dapat mengembangkan kerjaya mereka.
Apa yang boleh dilakukan bagi mendapat mencari ruang kerja tetap berbanding hanya terus menunggu dan masa kita yang bernilai dihabiskan pada sesuatu yang tidak memberi impak besar pada perkembangan diri kita.
Peluang dalam bidang kesihatan seperti di bawah universiti masih terbuka kerana universiti-universiti sedang dan akan membina hospital mereka sendiri. IIUM, UNISZA, UITM, USIM, UPM dan lain-lain.
Berada dalam servis hospital universiti tidak sama seperti ahli akademik yang perlu menjalankan kajian dan mengajar, anda boleh untuk fokus pada servis dan juga peluang menyambung pelajaran adalah cerah.
Selain itu terdapat juga banyak badan-badan kerajaan yang membuka ruang untuk pegawai perubatan menjaga klinik/pusat kesihatan mereka dan merawat pekerja-pekerja mereka. Klinik-klinik swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan juga adalah ruang untuk mereka yang inginkan jawatan yang tetap berbanding kontrak.
Bahagian industri, keselamatan pekerja juga satu ruang baharu yang boleh diterokai.
Apa yang ingin diutarakan di sini adalah, yang penting bukan berpendapatan tetap, tetapi tetap berpendapatan, hidup kita perlu diteruskan, cabaran dan ujian akan datang dan pergi.
Moga Allah memberi kekuatan kepada doktor-doktor muda kita yang sedang bergelut menyesuaikan diri dan menstabilkan kehidupan.