Melihat kepada realiti semasa, ramai dalam kalangan pesakit atau klien yang hadir untuk mendapatkan rawatan Psikiatri setelah mana gejala dan simptom yang ditunjukkan agak teruk. Rata-rata di antara mereka akan mendapatkan terlebih dahulu rawatan perubatan tradisional atau berjumpa Pengamal Perubatan Islam. Malah ada yang menolak langsung rawatan Psikiatri disebabkan stigma atau beranggapan rawatan Psikiatri bukanlah sebahagian daripada perubatan Islam. Dalam isu berkaitan rawatan Psikiatri dan Pengamal Perubatan Islam, perkara ini bukanlah menjadi satu perkara yang bertentangan(contradict) tetapi ia adalah satu bentuk perawatan yang menjadi pelengkap (complement) antara satu sama lain. Selain daripada itu, isu ini disalah ertikan seolah-olah wujud dikotomi ilmu antara rawatan Psikitiari moden dan Islam itu sendiri.
Jika ditelusuri daripada sudut sejarah, Sarjana Muslim silam memberikan sumbangan yang besar terhadap ilmu Psikologi dan rawatan Psikiatri itu sendiri. Ini antara sebahagian kecil catatan sumbangan Sarjana Muslim terhadap intervensi Psikologi :
- Muhammad Ibn Zakariyya Al-Razi atau dikenali dengan al-Razi merupakan pakar Psikiatri yang pertama membuka wad Psikiatri pada abad kelapan di Baghdad.
- Al-Kindi atau Abu Yusuf Ya’qub ibn Ishak as-Sabbah al-Kindi (185H-252H/801M-866M) hidup pada zaman dinasti ‘Abbasiyah. Salah satu daripada puluhan buku beliau adalah Al-Hilah li daf’al al-ahzan (Strategi Menangkis Kemurungan). Buku ini sarat dengan teknik-teknik dalam ilmu Psikologi sebagai succesive approximation, shaping atau positive reinforcement dalam dunia perawatan tingkah laku (Behavioural Therapy Approach).
- Abu Zayd al-Balkhi (235H-322H/849M-934M) merupakan salah seorang anak murid kepada Al-Kindi. Kalau bukan kerana bukunya Masalih al-Abdan wa al-Anfus(Pemulihan jasmani dan jiwa) tidak mungkin beliau dikenali sebagai ahli perubtan dan Psikologi. Al-Balkhi pernah mengkritik doktor-doktor pada zamannya yang hanya fokus kepada rawatan fizikal. Beliau mengutamakan interaksi psikosomatik. Maksudnya kesan psikologi boleh menimbulkan simptom fizikal atau sebaliknya. Malah, Malik Badri, Professor Psikologi bebangsa Sudan, menobatkan Al-Balkhi sebagai pengasas kognitif terapi, bukannya Aaron Beck.
- Ibn Sina (980M-1037M) juga pernah merawat pesakit yang mengalami kemurungan yang berkomplikasi psikosis iaitu Major Depressive Disorder with Psychosis yang mengakibatkan pesakit tersebut mempercayai bahawa dia seekor lembu yang perlu didembelihkan. Ini merupakan satu delusi dan rasa ketidakbergunaan. Ibn Sina dengan mahirnya memeberi rawatan psikoterapi dengan tidak menafikan kepercayaannya sebagai lembu tetapi menjamin kepadanya bahawa lembu yang bagus adalah lembu yang sihat dan gemuk. Akhirnya, pesakit tersebut keluar daripada kemurungannya.
- Abu Muhammad ibn Muhammad al-Ghazzali (1058M-1111M) pula banyak menggunakan teologikal-sufistik dan psiko-spiritual. Jika dikaji dengan teliti, pendekatannya sarat dengan teori dan manipulasi kognitif.
Sumber : Islam, Kesihatan Mental dan Neuropsikiatri (Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 2020)