#KitaJagaKita

Pemindahan rahim: Satu perspektif

sakit puan

Minggu lepas ketika saya sedang melihat pesakit-pesakit di klinik reproduktif, tiba-tiba seorang ibu membawa keratan akhbar tentang pemindahan rahim di Turki sambil menunjukkannya kepada saya. Di wajah sayu ibu itu kelihatan seribu harapan dan pertanyaan sementara si anak yang berusia 16 tahun tidak menunjukkan apa-apa reaksi; mungkin masih belum memahami sepenuhnya apa yang beliau alami.

Nabilah si anak mula dirujuk kepada saya 6 bulan lalu kerana tidak pernah datang haid sedangkan sudah mempunyai tanda-tanda kedewasaan yang lain seperti buah dada yang berkembang baik. Apabila diperiksa ternyata Nabilah tidak mempunyai saluran faraj/vagina dan rahim dan ujian ultrasound mengesahkannnya. Saya mengambil beberapa ujian darah dan ujian genetik dan ternyata dari segi genetiknya normal (46xx). Nabilah mengalami Mayer Rokitansky Kuster-Hauser Syndrome (MRKS); susah nak disebut tetapi itulah penyakit yang jarang terjadi ( 1 dari 50, 000 wanita mengalaminya). Sewaktu di alam janin perkembangan sistem peranakan tidak terjadi dengan sempurna menyebabkan bayi yang lahir tidak mempunyai organ rahim dan faraj. Oleh kerana ovari atau kilang telur berkembang dengan baik maka hormon perempuan dihasilkan dengan baik dan sifat kewanitaan akan terserlah. Masalah hanya dikenalpasti apabila memasuki usia remaja dan haid tidak datang pada usia yang sepatutnya. Nabilah bukan seorang tetapi sejak saya memulakan klinik khusus iaitu klinik reproduktif pada tahun 2009 saya telah menerima rujukan dan mendiagnos hampir 20 pesakit sebagai MRKS. Ada beberapa pesakit yang telah berkahwin dan berjumpa disebabkan tiada haid dan tidak boleh melakukan hubungan seks dengan sempurna kerana tiadanya faraj.

Saya amat simpati dengan mereka lalu dalam semua sesi temjanji isu yang sentiasa dibincangkan adalah masa depan reproduksinya. Saya sentiasa menanamkan benih-benih keimanan supaya mereka redha dengan ujian dari Allah kerana terbukti pesakit MRKS kerap mengalami tekanan perasaan disebabkan penyakit yang mereka hadapi. Pada masa yang sama mereka ditiupkan dengan buah pengharapan agar terus berdoa semoga satu hari nanti akan ada teknik pemindahan rahim yang boleh dilakukan. Jika diizinkan ada jodoh maka bakal suami harus diberitahu tentang masalah yang dihadapi. Saya masih ingat lagi seorang pesakit MRKS yang dirujuk dari Perlis dimana sesi kaunseling terpaksa dilakukan dengan bakal suami dan bakal mertua; kesukaran dari hubungan seks, tiadanya haid dan yang paling sedih sekali tidak berupaya untuk mengandung disebabkan tiadanya rahim. Kerana cinta yang mendalam bakal suami bersedia menerima pesakit tersebut walaupun dengan segala kekurangan. Di pihak saya, kami menguruskan ‘vaginal dilator’ dalam beberapa saiz supaya pesakit boleh mendalamkan tisu lembut pada bahagian farajnya. Undangan perkahwinan dihantar pada saya tidak lama selepas itu dan saya berdoa mereka akan terus bahagia walaupun tanpa zuriat penyejuk mata..

Kalau pendermaan organ seperti ginjal, jantung, hati dan kanta telah biasa kita dengar, pendermaan organ rahim masih sangat baru. Banyak kajian masih di peringkat “animal studies” dan kalau ada pun 1 atau 2 kes yang dilakukan di seluruh dunia ianya tidak berjaya mendatangkan hasil menyebabkan berlakunya proses penolakan organ justeru itu saya tidak teruja apabila si ibu menunjukkkan keratan akhbar kes dari Turki. Masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang pengharapan sedangkan doktor-doktor yang mengendalikan kes tersebut masih memantau tanda-tanda penolakan organ, namun jika kes ini berjaya maka ianya akan menjadi satu batu loncatan dan pengharapan bagi pesakit2 MRKS. Benarlah janji Allah bahawa Dia tidak mendatangkan penyakit melainkan di sana ada penawarnya.

Dari sudut agama, pendermaan rahim bukanlah seperti pendermaan benih yang diharamkan kerana benih membawa maklumat genetik yang menentukan nasab keturunan sedangkan rahim adalah organ reproduksi yang menampung kehamilan justeru itu dalam fatwa yang telah dikeluarkan maka hukumnya adalah harus dengan syarat rahim tersebut dari wanita yang telah meninggal dunia, mendapat kebenaran keluarga penderma, tidak melibatkan urusan jual beli. dan penerima organ pula merupakan wanita mandul.

Saya berdoa supaya dengan ilmu yang Allah berikan dan kepakaran yang diperolehi mudah-mudahan pemindahan rahim akan dapat dilakukan tanpa mendatangkan komplikasi pada pesakit. Walaupun pesakit terpaksa menjalani pembedahan major dan diberi ubat-ubat anti penolakan organ namun ianya akan menjadi satu harapan kepada mereka untuk berupaya mempunyai masa depan dari sudut reproduksi.

Wallahu a’lam.


Dr Murizah Mohd Zain

Pakar Perubatan Reproduktif
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi
Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar

Sumber: I-Medik Kedah