Mungkin ramai tak tahu saya juga melalui ‘atypical pathway’ untuk sampai ke posisi saya sekarang.
Tahun 2016, isteri saya mendapat tawaran sambung PhD di UK. Maka saya terpaksa ambil cuti tanpa gaji (CTG) mengikuti pasangan. Disebabkan CTG, saya hilang kelayakan untuk Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Nak apply MARA pun tak dapat sebab waktu itu hanya ada ‘loan MARA’. Gaji takda macam mana nak buat pinjaman (turun ke pejabat MARA).
Untuk sampai ke sini, saya terpaksa turun-naik Putrajaya lima kali untuk berurusan dengan Bahagian Pengurusan Latihan, KKM. Tak masuk lagi kisah berbalas email dan telefon. Samada JB-Putrajaya atau Penang-Putrajaya. Termasuk jugalah UK-Putrajaya, saat itu terpaksa meninggalkan isteri yang sarat mengandung bersama anak sulung. Saya pulang ke Malaysia bersama anak nombor dua.
Setelah berjumpa dengan pegawai di sana, mereka memberi tawaran pelbagai alternatif antaranya:
- program pasangan
- cari biasiswa luar seperti biasiswa anak negeri, biasiswa commonwealth dan banyak lagi biasiswa lain yang saya dah tak ingat nama.
Dia cerita dari pengalaman pegawai perubatan lain yang telahpun mencuba. Asalnya mengharapkan ‘spouse program’ sebab itu jalan paling mudah, namun program itu dibekukan pada pertengahan 2016 kerana keadaan kewangan negara. Saya cuba apply commonwealth tetapi gagal.
Kerana kecewa ketika itu, saya pun beralih arah dan mula bekerja sebagai pencuci di Supermarket ‘Waitrose’. Rasa macam dah tiada harapan sambung belajar. Tahun 2017, kami pulang ke Malaysia seketika dan mendapat sokongan dari ibu bapa dan keluarga dari sudut bantuan kewangan.
Saya turun ke Putrajaya untuk mohon ‘Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa HLP’ (CBBP tanpa HLP). Juga terpaksa turun Penang-JB untuk berurusan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor sebab jawatan saya masih di negeri itu.
Berbulan saya menunggu respon dari Putrajaya. Hanya dapat surat sehari sebelum tarikh penerbangan kami semula ke UK. Maka saya terpaksa ‘burn’ tiket. Isteri ke UK bersama dua orang anak kecil. Saya terbang dua minggu kemudian untuk urusan dengan Putrajaya. Lepastu baru berangkat ke UK bersama anak nombor tiga.
Disebabkan saya dapat CBBP tanpa HLP, keadaan kewangan kami kritikal, tinggal pula di kota London. Gaji saya pun tak cukup nak bayar sewa rumah, £1200 sebulan untuk sebuah flat dua bilik di Zon 4, jauh dari tempat belajar. Kehidupan kami terpaksa ubah untuk beradaptasi dengan situasi baru. Tak perlu saya cerita lanjut kisah kami di London. Cukuplah sekadar berkongsi rakan-rakan yang kata “you’re crazy”.
Tapi Alhamdulillah akhirnya semua selesai sehingga ke peringkat sekarang, saya lulus kepakaran, isteri lulus PhD Sheffield. Terima kasih semua yang membantu. Mungkin kisah diatas tak semua sama seperti satu per satu kisah MO kontrak sekarang. Saya ada rezeki di bahagian tertentu yang tak semua orang nasib yang sama.
Cuma saya nak sampaikan masih ada alternatif atau ‘atypical pathway’ untuk melanjutkan pelajaran, sungguhpun tidak untuk semua bidang. Kaitkanlah sekadarnya apa yang mampu dikaitkan. Dalam keadaan sekarang, kita pun tak tahu apa halatuju negara, tapi kita boleh berusaha membuka perspektif untuk menentukan halatuju sendiri.
Program anjuran I-Medik ini tidak dapat memberi jaminan kepada anda untuk ‘permanent post’, setidaknya diharapkan membantu membuka minda mencari dan meneroka ruang baru. Semoga bermanfaat.
Dr Yazid Yahya
MBBS (Monash), DMJ (Path)
Forensic Pathologist