#KitaJagaKita

Middle East Respiratory Syndrome (MERS)

Middle East Respiratory Syndrome (MERS)

Middle East Respiratory Syndrome (MERS) adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang dinamakan Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS- CoV). Ia pertama kali dikesan di Saudi Arabia di sekitar tahun 2012. Ia merupakan sejenis virus  RNA bebenang tunggal, spesies aneh yang baru ditemui dan diklasfikasikan dalam kumpulan Betacoronavirus. Virus ini pertama kali dilaporkan pada 24 September 2012 oleh pakar virus Mesir, Doktor Ali Mohamed Zaki di Jeddah, Arab Saudi.

Dilaporkan bahawa kes pertama MERS dikesan di Saudi Arabia pada bulan September 2012. Terdapat juga laporan bahawa terdapat kes-kes yang dikesan lebih awal iaitu pada bulan April tahun yang sama di Jordan.  Pada mulanya kebanyakan daripada kes-kes yang melibatkan jangkitan MERS berlaku di sekitar Saudi Arabia dan Jordan, namun baru-baru ini pada bulan May 2015, dunia digegarkan dengan ‘MERS outbreak’ di Republik Korea di mana antara 17-19 Jun 2015, WHO telah pun mencatatkan sebanyak 166 kes MERS-CoV termasuk 24 kematian. Satu daripada 166 kes tersebut telah dikesan di China. Outbreak yang berlaku di Korea ini merupakan terbesar berlaku di luar Semenanjung Arab setakat ini.

Pada keseluruhannya pula, terdapat 471 kematian yang dicatatkan daripada September 2012 hingga ke 19 Jun 2015 di mana World Health Organization (WHO) merekodkan 1333 kes MERS-CoV yang dibuktikan melalui keputusan makmal.

MERS-CoV

Tanda-tanda MERS-CoV

MERS menyebabkan penghidapnya mengalami masalah kepada saluran pernafasan termasuklah paru-paru di mana kebanyakan daripada penghidapnya akan mendapat gangguan akut pada sistem pernafasan dengan simptom-simptom seperti demam, batuk, dan sesak nafas. Ada pula di kalangan pesakit akan mengalami cirit-birit dan sakit perut. Dilaporkan bahawa 3-4 daripada 10 penghidap MERS akan berakhir dengan kematian.

 

simptom MERS-CoV

 

Cara penyebaran wabak MERS

MERS-CoV tersebar seperti mana coronavirus yang lain iaitu melalui bendalir/ kahak yang telah dijangkiti kuman MERS-CoV. Kahak/ bendalir yang dijangkiti ini tersebar apabila batuk atau bersin. MERS-CoV juga kerap dijangkiti oleh mereka yang pernah mempunyai kontek bersama mereka yang dijangkiti kuman ini.  Ini terbukti apabila terdapat ramai pertugas kesihatan seperti di hospital dijangkiti kuman ini kerana mereka dikehendaki untuk menjaga dan mengendali pesakit MERS-CoV. Justeru itu, mereka lebih mudah dijangkiti. Ketika tersebarnya wabak MERS di Republik Korea baru-baru ini sekitar bulan Jun 2015, didapati bahawa, 7.9% daripadanya dijangkiti oleh petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit MERS- CoV. Setakat ini, kesemua kes MERS-CoV di Republik Korea pula adalah tersebar melalui ‘Single chain of transmission’ dan berkaitan dengan fasiliti kesihatan.

MERS-CoV juga lebih mudah tersebar kepada mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah (immunocompromised), penghidap kencing manis, kegagalan buah pinggang dan mempunyai penyakit paru-paru yang kronik

Apakah perkaitan MERS Co-V dengan unta?

MERS dipercayai mempunyai kaitan dengan dua jenis binatang, unta dan kelawar jenis baka Afrika Utara. Pada 11 November 2013, Kementerian Kesihatan Arab Saudi telah mengumumkan terdapat kes yang mempunyai perkaitan jangkitan antara manusia dan unta. Namun sehingga kini, World Health Organization (WHO) memaklumkan perkara ini masih dalam kajian dan belum terdapat bukti secara saintifik yang mampu menjelaskan perkaitan antara kedua haiwan ini dengan jangkitan kepada manusia. Walau bagaimanapun, langkah berwaspada tetap diambil oleh kerajaan Arab bagi mengelakkan jangkitan. Sebagai contoh, pemerintah Arab Saudi dikatakan bakal mengharamkan penyembelihan unta untuk korban bagi musim haji tahun ini.

http://www.ismaweb.net/2015/08/mers-cov-arab-saudi-bakal-haram-sembelih-unta-untuk-ibadah-korban/

Kerajaan Malaysia pula mengambil langkah berjaga-jaga dengan melarang jemaah haji dari negara ini daripada melawat ladang ternakan unta selagi virus MERS-CoV tidak dikawal sepenuhnya.

Pencegahan

Orang awam yang ingin mengerjakan Haji dalam masa terdekat ini, membuat lawatan ke negara-negara di rantau Timur Tengah dan Republik Korea yang kini dilaporkan terdapatnya kejadian jangkitan MERS-CoV, dinasihati supaya:

 

  1. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.
  2. Semasa dalam tempoh lawatan:
    1. Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta hand sanitizeruntuk digunakan apabila perlu.
    2. Elakkan daripada mendekati dan menyentuh orang yang sakit.
    3. Elakkan daripada melawat ladang haiwan, khususnya ladang unta dan menyentuh sebarang jenis haiwan.
    4. Elakkan daripada menjamah makanan mentah, yang tidak dimasak, menjamah buah-buahan atau sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu atau meminum minuman yang menggunakan bekalan air tidak terawat.
  3. Mereka yang pulang dari lawatan ke negara-negara yang terlibat dengan gejala jangkitan respiratori (seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak) adalah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung , menjaga adab batuk serta mengamalkan kebersihan diri.
  4. Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya tidak sihat serta maklumkan sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.

 

Dr Ruzaini bt Sulaiman

Unit Penyelidikan dan Pembangunan

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)