Oleh Daniel Azar Ishak
BANGI, Selasa – Ramai pihak keliru dengan istilah rawatan Islam dengan beranggapan ia terhad kepada rawatan alternatif yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan hadis sebagai doa.
Hakikatnya, rawatan oleh pakar perubatan di klinik dan hospital juga termasuk di dalam rawatan Islam bahkan ia lebih patut diutamakan.
Mufti Terengganu, Sahibus Samahah Dr Zulkifly Muda berkata, rawatan Islam adalah berasaskan kaedah saintifik atau sebab musabbab.
“Sebenarnya dalam Islam, perubatan Islam itu berasaskan kepada saintifik, berasas kepada sebab dan musabbab.
“Kalau penyakit ini, ini penawarnya, kalau penyakit itu, itu penawarnya, berasaskan saintifik.
“Jadi hospital itu rawatan Islam,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen Perubatan Kebangsaan Wanita 2015 anjuran Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) pada Sabtu lalu.
Berkenaan rawatan yang berasaskan Ar-Ruqo atau jampi mantera untuk menghalau makhluk halus dan mengubati sihir, ulama Islam mempunyai dua pandangan berbeza.
“Ibnu Taimiyah mengatakan ia bukan rawatan Islam, ia adalah doa. Ini kerana rawatan Islam mesti berdasarkan saintifik.
“Imam Fakhrurazi pula mengatakan ia adalah termasuk dalam rawatan Islam.
“Bagi saya, rawatan cara Ar-Ruqo itu adalah doa tetapi tidak salah ia digunakan selagi tidak berlaku perkara yang bercanggah dengan akidah seperti syirik.
“Pandangan saya, kalau sakit, pergilah berjumpa doktor terlebih dahulu. Kalau doktor kata tiada penyakit tetapi masih sakit, mungkin ada gangguan makhluk halus dan sebagainya, barulah pergi berjumpa ustaz yang pandai mengubat cara Ar-Ruqo,” katanya lagi.
Dr Zulkifly juga memberi peringatan kepada lebih 500 hadirin agar tidak melabelkan rawatan hospital sebagai rawatan tidak Islamik.
“Jangan tertukar antara rawatan dan doa. Semuanya Islamik. Jangan kita kata rawatan hospital tidak Islam, kerana jika berkata demikian, kita telah mensekularkan Islam,” katanya lagi.
Selepas menyampaikan ucapan, Dr Zulkifly telah melancarkan buku profil I-Medik.
Tonton ucapan penuh Dr Zulkifly di Konvensyen Reprofiqh di TV Islam dan Melayu: