FAKTA: Merokok merupakan salah satu faktor risiko utama kepada banyak penyakit yang boleh dicegah seperti serangan jantung, angin ahmar, penyakit peparu yang seterusnya boleh menyebabkan kematian. Bahan kimia nikotin yang menyebabkan ketagihan kepada perokok untuk terus merokok ini telah membawa kepada kematian sebanyak 5.4 juta orang seluruh dunia akibat daripada merokok1.
KOMEN DOKTOR KESIHATAN PEKERJAAN: Tak perlu perlu jauh, anda cuba tanya dalam kalangan ahli keluarga anda sendiri, yang mana ada sakit jantung, masalah penat (peparu), cuba tanya hisap rokok tak?
KOS SECARA LANGSUNG: Kita tahu bahawa kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia telah membelanjakan berbilion ringgit untuk rawatan penyakit yang berkaitan dengan merokok. Statistik menunjukkan bahawa pada 2006, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM 3.5 bilion untuk rawatan 3 penyakit utama berkaitan rokok. Ini dipanggil kesan langsung akibat merokok2. Ya tuan-tuan dan puan-puan, itu angka pada tahun 2006, dan jika mengikut jangkaan, pastinya angka semakin meningkat dari tahun ke tahun ditambah pula dengan kesesakan ekonomi pada masa sekarang.
KOMEN DOKTOR KESIHATAN PEKERJAAN: Kesan langsung pada ekonomi poket anda macam mana? Rokok punya asap, poket jadi nipis.
KOS TIDAK LANGSUNG: Apa yang masyarakat kurang peka adalah kesan tidak langsung akibat merokok seperti penurunan produktiviti dan kehilangan sumber pendapatan akibat jatuh sakit dan tidak boleh bekerja disebabkan kesan rokok. Pengiraan kos ini adalah lebih rumit berbanding pengiraan kos secara langsung seperti di atas. Kita ambil contoh di mana seorang pekerja yang dibayar gaji/upah sebanyak RM200 sehari untuk 12 jam waktu kerja. Katakan pekerja ini jatuh sakit dan tidak dapat bekerja sebanyak sepuluh hari, kos yang terbuang untuk senario ini adalah sebanyak RM 2000. Ini baru seorang pekerja. Bayangkan sesebuah syarikat mempunyai 5 orang pekerja yang mengalami situasi seperti di atas, berapa kerugian yang dialami??
KOMEN DOKTOR KESIHATAN PEKERJAAN: Ramai dari kalangan pekerja yang telah jatuh sakit disebabkan oleh tabiat merokok ini menyesal kerana tidak berhenti merokok awal sejak dahulu. Namun, tidak kurang pula mereka yang masih meneruskan merokok walaupun telah disahkan menghidap sakit jantung, kepada mereka ini saya ucapkan takziah kepada bakal balu dan anak-anak yatim anda.
ANTARA ROKOK, PEKERJA & MAJIKAN: Banyak kajian di negara-negara luar menunjukkan bahawa peningkatan kos yang signifikan kepada sesebuah syarikat. Antara masalah yang sering dihadapi adalah ‘absenteeism’ dan ‘presenteeism’. Kedua-dua keadaan ini merugikan seseorag majikan. Yang pertama, absenteeism merupakan masalah pekerja yang sering mengambil cuti sakit (MC) atau cuti kecemasan. Yang kedua, presenteeism adalah masalah di mana pekerja hadir bekerja, namun disebabkan kurang sihat atau sakit, mereka ini tidak dapat melakukan tugas dengan sempurna dan seterusnya mengurangkan produktiviti syarikat. Kajian juga menunjukkan mereka yang merokok mengambil masa rehat lebih lama berbanding mereka yang tidak merokok malah terdapat kajian yang menunjukkan, pekerja yang telah berhenti merokok, peningkatan produktiviti di tempat kerja adalah sangat signifikan berbanding mereka yang masih meneruskan tabiat merokok. Tahukah anda bahawa, kos penyelengaraan dan pembersihan bangunan juga meningkat dengan adanya pekerja yang merokok? Majikan perlu menyediakan tempat khas merokok, menyediakan papan tanda khas merokok, membersihkan punting-puntung serta abu rokok.
KOMEN DOKTOR KESIHATAN PEKERJAAN: Pengalaman saya dalam menghadiri mesyuarat jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan (Safety & Health Committee) di sebuah syarikat, majikan pening memikirkan masalah pekerja yang merokok di kawasan larangan merokok walaupun telah disediakan kawasan khas untuk merokok dan penguatkuasaan polisi. Mudah sahaja jawapan yang saya berikan pada majikan ini, rujuk pekerja ke Klinik Berhenti Merokok yang terdapat di fasiliti kesihatan KKM. Tahukah anda bahawa kajian di luar negara menunjukkan dalam kalangan perokok, sebanyak 75% mengharapkan kawasan persekitaran mereka bebas dari asap rokok. Ini kerana kawasan yang bebas asap rokok sebenarnya dapat membantu mereka untuk berhenti merokok. Ramai juga pekerja yang saya temui mengakui yang mereka hanya merokok jika berada di tempat kerja, jika pulang ke rumah, atau waktu hujung minggu, mereka tidak merokok.
RUMUSAN: Tiada manfaat dan faedah yang datang dari tabiat merokok selain bukan sahaja memberi kesan kepada anda, malah kepada orang di sekeliling anda terutama keluarga tersayang. Jika anda seorang pekerja dan anda merupakan ketua keluarga yang mencari rezeki untuk anak isteri, fikirkan anak isteri anda yang kehilangan mata pencarian jika anda jatuh sakit. Jika anda seorang majikan, anda mungkin boleh memikirkan cara yang dapat membantu anda mengatasi masalah pekerja yang merokok sama ada menetapkan polisi pengambilan pekerja yang tidak merokok, mengurangkan bonus/insentif tahunan kepada mereka yang merokok, menyediakan tempat kerja bebas asap rokok (larangan merokok di tempat kerja).
Dr. Muhammad Ihsan Bin Suhaidi
Doktor Kesihatan Pekerjaan
I-Medik Pulau Pinang
Rujukan:
- Factsheet on Tobacco, World Health Organization (WHO).
- Dr. Norashidah Binti Mohamed Nor, Cost of Cigarette Smoking, , Kementerian Kesihatan Malaysia.2017.
- The Business Case for Investing in a Smoke-Free Workplace is Clear, Centre for Tobacco Research and Intervention, University of Wisconsin.
- Victor U and Abraham K, The Economic Impact of Smoking and of Reducing Smoking Prevalence: Review of Evidence, Tobacco Use Insight. 2015.
- Christine L et al. Benefits of quitting smoking on work productivity and activity impairment in the United States, the European Union and China, International Jurnal of Clinical Practice. 2017.