Bolehkah doktor terangkan serba sedikit berkenaan penyakit barah kepala dan leher di negara kita?
Penyakit barah kepala dan leher, seperti penyakit barah yang lain menunjukkan peningkatan di dunia termasuklah di negara kita. Kes-kes yang dilaporkan menghampiri bilangan di negara maju. Lebih menyedihkan lagi, kebanyakan pesakit yang datang kepada kami berada ditahap yang teruk (advanced).
Bolehkah doktor terangkan jenis-jenis barah kepala dan leher?
Barah kepala dan leher ada beberapa jenis. Di Malaysia, jenis yang paling kerap adalah barah pangkal hidung (Nasopharyngeal carcinoma), diikuti oleh barah mulut (Oral cancer) dan barah peti suara (Laryngeal cancer). Di negara barat, jenis yang paling kerap adalah barah peti suara manakala di India dan Pakistan ialah barah mulut. Barah pangkal hidung kerap berlaku dalam kalangan pesakit Cina dan Melayu. Bahkan negara kita termasuk kawasan endemic (berisiko tinggi) barah jenis ini. Lain-lain barah ialah barah rongga hidung dan sinus, barah kelenjar air liur (kelenjar parotid dan submandibular) dan barah salur pemakanan (Pharygeal cancer).
Apakah penyebab barah?
Penyebab barah tidak diketahui. Tetapi terdapat beberapa faktor risiko (risk factors) yang menyebabkan seseorang mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk menghidapi barah kepala dan leher. Faktor risiko ini boleh dibahagikan kepada dua iatu faktor luaran (extrinsic) dan faktor dalaman (intrinsic).
Antara faktor luaran yang penting adalah:
- Merokok – Biasanya berlaku dikalangan orang lelaki. Risikonya meningkat jika lebih banyak puntung rokok dihisap dalam sehari dan tempoh yang lebih lama.
- Makan sireh – Terutama dikalangan perempuan berbangsa India dan Melayu. Kesemua bahan didalam ‘pakej sireh’ boleh menyebabkan barah sama ada sireh, pinang, tembakau atau kapurnya.
- Minum alkohol – Masalah banyak berlaku dikalangan masyarakat barat serta sebahagian dari masyarakat kita.
Manakala faktor dalaman pula adalah faktor keturunan. Seseorang itu mempunyai risiko yang lebih tinggi menghadapi barah kepala dan leher jika keluarga terdekat telah menghidapi penyakit tersebut.
Terdapat juga sebahagian kecil pesakit barah yang masih muda (berumur sekitar 30-40 tahun) dan tiada faktor risiko. Barah dari kumpulan ini kami dapati lebih ganas dan lebih sukar untuk disembuhkan.
Menyentuh berkenaan pengesanan awal barah kepala dan leher. Apakah kepentingannya?
Mencegah adalah lebih baik dari merawat (wiqayah khairun minal ilaj). Dengan itu pengesanan awal dan mencegah barah dari terus membesar adalah penting. Kami sentiasa memikirkan cara agar pesakit datang kepada kami pada peringkat awal barah. Kami kerap mengadakan program pengesanan awal barah kepada masyarakat dan juga doktor-doktor di klinik kesihatan/hospital daerah yang merupakan ‘frontliner’ kesihatan.
Pengesanan awal penting supaya rawatan barah menjadi lebih mudah. Maknanya, jika memerlukan pembedahan ianya adalah lebih kecil dan tidak begitu rumit. Kemungkinan untuk sembuh juga akan menjadi lebih baik (good prognosis) dan seterusnya akan memberikan lebih kegembiraan kepada pesakit dan keluarga. Sudah tentunya kami sebagai perawat perubatan akan turut merasa gembira.
Apakah gejala-gejala awal barah kepala dan leher?
Saya terangkan disini gejala-gejala awal beberapa jenis barah kepala dan leher yang telah saya nyatakan sebelum ini.
Bagi barah pangkal hidung (Nasopharyngeal carcinoma) ialah darah pada air liur, hidung tersumbat, hidung berdarah dan kurang pendengaran (kerana telinga mempunyai hubungan dengan pangkal hidung).
Bagi barah mulut pula tanda-tanda awalnya adalah luka (ulcer) dalam mulut yang tidak sembuh melebihi 2-3 minggu, tumbuh isi di dalam mulut dan berdarah apabila memberus gigi. Kebiasaannya luka ini adalah tidak sakit.
Bagi barah peti suara tanda-tanda awalnya adalah suara berubah/parau (hoarseness) yang melebihi 2-3 minggu terutama bagi orang yang menghisap rokok dan darah pada air liur. Manakala bagi barah kelenjar air liur adalah benjolan di leher yang membesar denga agak cepat.
Kesemua tanda-tanda yang saya terangkan tadi adalah gejala awal yang perlu pembaca semua perhatikan. Malangnya kami di hospital menerima kebanyakan pesakit pada tahap yang lewat. Mungkin terdapat beberapa faktor penyebab seperti takut berjumpa doktor pakar, kegagalan doktor biasa mengesan penyakit pada peringkat awal dan kepercayaan yang mendalam terhadap bomoh dan perubatan alternatif yang menyumbang kepada kegagalan pengesanan awal.
Akibatnya kos rawatan akan bertambah, rawatan yang semakin rumit dan kemungkinan untuk sembuh menjadi lebih tipis.
Bolehkah doktor terangkan bentuk-bentuk rawatan barah kepala dan leher?
Rawatan barah kepala dan leher, seperti rawatan barah yang lain adalah kompleks dan bersifat ‘multidisiplin’ iaitu melibatkan beberapa disiplin perubatan. Secara umumnya terdapat tiga bentuk rawatan utama bagi tujuan penyembuhan iaitu pembedahan (surgery), sinaran (radiotherapy) dan ubatan (chemotheraphy). Yang terpenting bagi barah kepala dan leher adalah pembedahan dan sinaran. Kebiasaannya pesakit barah memerlukan lebih dari satu bentuk rawatan. Selepas rawatan pesakit barah perlu diberikan rawatan susulan sepanjang hayat kerana barah berkemungkinan untuk berulang semula.
Apakah harapan doktor berkenaan barah kepala dan leher di negara kita?
Harapan kami adalah supaya masyarakat mempunyai kefahaman asas terhadap tanda-tanda awal barah kepala dan leher, berjumpa doktor jika merasakan mempunyai tanda-tanda awal barah secepat mungkin dan yang paling penting adalah cuba menghindari dari terlibat dengan faktor-faktor risiko barah seperti merokok, makan sireh dan meminum alkohol. Amalkan cara hidup yang sihat.
Dr. Zulkifli b. Yusof
Ahli Jawatnkuasa Pusat I-Medik
Ketua Jabatan
Subkepakaran Pembedahan Kepala dan Leher
Jabatan Otorinolaringologi ( ORL )
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah