#KitaJagaKita

Ke Arah Masyarakat Bebas Rokok

 

Sebagai ahli perubatan yang bergelumang dengan kes-kes barah kepala dan leher, pesakit-pesakit kanser saya ramai diantaranya merupakan perokok tegar. Secara umumnya ada 2 faktor risiko yang besar yang dikaitkan dengan dengan barah kepala dan leher seperti barah/kanser mulut ( oral cavity ) , kerongkong ( pharynx ) dan peti suara ( larynx ) iaitu meminum alkohol dan merokok.

Rokok mempunyai 4,000 bahan kimia, 500 racun dan 40 bahan yang boleh menyebabkan barah. Di samping menjadi penyebab kepada barah, rokok juga menyebabkan penyakit paru-paru, jantung, salur darah dan banyak lagi. Umum mengetahui tentang bahaya rokok, tetapi peratusan penghisap rokok di negara kita masih sangat tinggi. Bahkan ada juga di kalangan kakitangan perubatan yang menghisap rokok. Kerajaan terpaksa menghabiskan banyak peruntukan untuk mengubati penyakit-penyakit disebabkan rokok, sedangkan peruntukan tersebut boleh disalurkan ke tempat lain yang lebih memerlukan. Isu rokok bukan terletak kepada pengetahuan bahaya rokok tetapi sikap dan pengaruh persekitaran.

Sangat sukar untuk menjadikan masyarakat kita bebas rokok atau sekurang-kurangnya mengurangkan peratusan perokok dan menjadikan perokok menghormati ahli masyarakat lain yang tidak merokok.

Dengan itulah saya sangat menyokong keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan seperti yang diumumkan oleh YAB Menteri Kesihatan ( KKM ), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melarang merokok di tempat awam seperti restoran dan premis makanan. Satu tindakan ‘tidak popular’ dari segi politik  yang tidak pernah dibuat oleh KKM sebelum ini. Syabas saya ucapkan. Saya menyeru agar semua ahli masyarakat yang prihatin turut sama menyokong dan menjayakan tindakan ini.

Pada masa yang sama, segenap lapisan masyarakat Malaysia yang prihatin perlu turut sama memainkan peranan aktif.

Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak daripada terlibat dengan ketagihan rokok. Tentunya mereka terlebih dahulu perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dengan tidak merokok.

Surau dan masjid perlu turut sama menerangkan bahaya rokok serta memberikan hujah agama tentang pembaziran merokok dan betapa agama tidak menyukai penganutnya menghisap rokok.

NGO – NGO perlu mendidik ahli mereka agar menjauhi rokok, menggerakkan kempen ‘katakan tidak kepada rokok/vape’ dan mempromosi gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.

Ahli-ahli politik harus turut sama menyokong saranan KKM dan menyokong sebarang akta bagi mengurangkan ketagihan rokok .

Lebih-lebih lagi kakitangan perubatan, perlu membuang tabiat merokok dan turut sama berkempen agar hasrat murni KKM dapat dicapai.

Saya biasa berjumpa dengan pesakit-pesakit barah di kalangan perokok tegar. Kita boleh katakan itu adalah masalah yang mereka cari sendiri. Tetapi saya juga berjumpa pesakit barah yang tiada risiko barah, tetapi pasangannya ( biasanya suami ) merupakan perokok tegar. Mereka adalah ‘passive smoker’ yang mendapat musibah disebabkan sikap tidak bertanggungjawab orang lain. Jelas sekali merokok bukan sahaja memudaratkan diri sendiri, tetapi juga orang lain. Bahkan jika berleluasa boleh merosakkan masyarakat dan negara.

 

Dr Zulkifli bin Yusof

Konsultan Pembedahan Barah Kepala dan Leher

Jabatan Otorinolaringologi

Hospital Sultanah Bahiyah

Alor Setar

( Dr Zulkifli juga merangkap YDP ISMA Alor Star)