PENGUMUMAN Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai varian membimbangkan (VOC) Omicron dikenal pasti di beberapa negara menimbulkan semula kebimbangan masyarakat antarabangsa, terutama mereka terbabit dan merancang untuk memulakan perjalanan keluar negara sempena hujung tahun.
Di negara kita, kes pertama positif Omicron dikesan membabitkan pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura, 19 November lalu. Individu yang juga penuntut di universiti swasta di Ipoh itu, menjalani kuarantin wajib di penginapan disediakan pihak universiti sehingga 29 November lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga melakukan pengesanan kontak rapat ke atas semua penumpang bas dan pemandu. Jumaat lalu, Ketua Pengarah KKM memaklumkan semua lapan sampel ujian RT-PCR adalah negatif, iaitu kes indeks Omicron pertama dalam negara (penuntut Afrika Selatan) dan tujuh kes kontak rapat membabitkan pemandu, pekerja universiti, tiga rakan penuntut dari luar negara serta dua rakan sebilik. Ini bermaksud tiada penularan daripada kes dikenal pasti sejak 20 November lalu.
Pada 26 November lalu, WHO’s Technical Advisory Group on Virus Evolution (TAG-VE) mengklasifikasikan varian Omicron dengan kod B.1.1.529 berdasarkan beberapa fakta sains, iaitu berlaku mutasi menyebabkan sifat virus berubah berbanding asal.
Kesan mutasi virus Omicron ini termasuk kemungkinan kadar penularan lebih cepat dan boleh menyebabkan tahap keseriusan penyakit lebih ketara. Menurut penyelidik di Afrika Selatan, mereka dikenal pasti positif akibat varian Omicron semakin meningkat dan kajian epidemiologi sedang dilakukan untuk mengesan jumlah sebenar serta faktor penyumbang kenaikan kes mendadak.
Data awal juga mendapati jumlah kemasukan pesakit ke hospital meningkat di Afrika Selatan akibat varian Omicron. Namun, pihak berkuasa kesihatan negara itu belum pasti sejauh mana impak akibat varian ini dan sama ada kumpulan berisiko serta mereka berpenyakit mungkin lebih mudah mendapat jangkitan baharu ini.
Berita virus bermutasi dengan cepat boleh menimbulkan kebimbangan kepada semua pihak, termasuk pihak berkuasa kesihatan. Langkah drastik diambil perlu berdasarkan fakta sains berkenaan virus varian baharu itu dan juga maklumat klinikal pesakit terbabit.
Kerajaan menetapkan pengembara tiba dari negara berisiko tinggi di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipakaikan peranti pengesan digital sepanjang tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian, iaitu ketika kuarantin wajib.
Ini tindakan wajar supaya kemungkinan kontak rapat boleh berlaku dan jika penularan berlaku, ia boleh dikesan dengan cepat. Kerajaan juga membuat sekatan perjalanan sementara terhadap lapan negara dikenal pasti berisiko tinggi jangkitan varian Omicron.
Saranan ini bertepatan konsep pencegahan penularan penyakit dan berdasarkan pengalaman negara kita mengawal jumlah pertambahan pesakit COVID-19 sebelum ini.
Mungkin juga sesetengah pihak mula mempertikaikan kemampuan sains dan teknologi perubatan sedia ada kerana seolah-olah gagal mengenal pasti sifat virus COVID-19 sentiasa berubah. Antara persoalan lain timbul termasuk keberkesanan vaksin COVID-19 dalam menangani penularan varian baharu sedangkan majoriti penduduk dewasa di negara ini lengkap dua dos suntikan.
Menurut istilah biologi, mutasi merujuk pertukaran dan perbezaan kepada jujukan pasangan asas bahan genetik sama ada asid deoksiribonukleik (DNA) atau asid ribonukleik (RNA).
Mutasi berlaku secara normal dan boleh juga berkala bergantung faktor pendedahan ketika pembahagian sel serta pendedahan kepada radiasi, bahan kimia atau faktor biologi lain.
Ini juga berlaku ke atas virus COVID-19 yang mengandungi RNA sebagai bahan genetik utama untuk virus kumpulan koronavirus dan influenza.
Kebimbangan mutasi virus ini ada asasnya kerana sedikit sebanyak boleh mempengaruhi tahap keberkesanan sesuatu vaksin dibangunkan lebih awal lagi. Namun hingga hari ini, pihak pengeluar vaksin antarabangsa dan jawatankuasa teknikal WHO masih dalam proses pemantauan serta sedia maklum kemungkinan hal itu boleh berlaku.
Melihat perkembangan semasa dalam negara dengan penerima vaksin COVID-19 orang dewasa melebihi 95 peratus dan daripada statistik kes harian COVID-19, kita mendapati kes positif menurun secara signifikan termasuk jumlah kematian sejak sebulan lepas.
Jadi, kaedah pencegahan melalui pengambilan vaksin adalah strategi ampuh sehingga hari ini, manakala galakan pengambilan dos penggalak kepada mereka berumur lebih 50 tahun, selepas enam bulan menerima dos kedua, kumpulan berisiko tinggi dan petugas barisan hadapan adalah antara pendekatan terus mempertingkatkan tahap imuniti badan melawan COVID-19.
Bagaimanapun, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk pencegahan penularan sangat wajar dilihat semula setiap masa. Ini termasuk semua aktiviti harian dan pembabitan individu atau kumpulan berkaitan sosial, sukan dan ekonomi.
Kita tiada jalan mudah keluar daripada pandemik ini selagi negara lain belum mampu mengendalikan kes COVID-19 di negara mereka dan jumlah penerima vaksin juga berbeza.
Perjalanan keluar negara perlu diberi panduan segera dan mungkin juga sekatan sementara supaya sistem kesihatan di negara kita tidak terbeban hanya untuk menyelesaikan masalah COVID-19. Ini termasuk mereka yang tiba dari negara luar perlu mematuhi semua perintah kawalan dan pencegahan jangkitan COVID-19.
Presiden Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan Timbalan Pengarah Institut Kajian, Pembangunan & Inovasi (IRDI), International Medical University (IMU)