Pada 1 Disember yang lalu, NGO I-Medik Negeri Sembilan berbesar hati menerima jemputan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan untuk menjayakan pameran di Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022. Menyedari jurang yang masih ada dalam program HIV terutamanya penekanan peri pentingnya melahirkan generasi bebas HIV tanpa diskriminasi pada pesakit yang ada, kami ahli I-Medik bersama-sama hadir dengan aktiviti seperti pameran mengenai “HIV- Isu Kita Bersama”, “Pameran Mengenali Faktor Risiko HIV Kini” ,”Kuiz Faktor Risiko HIV’’ dan juga “Pameran modul ReproAlert” sebagai solusi kepada membina generasi bebas HIV.
Dalam pameran HIV – Isu Kita, kami menekankan pentingnya program pencegahan dalam menangani isu HIV. Seperti sedia maklum, kini terdapat banyak program pencegahan melalui rawatan HAART dan PrEP sebagai pencegahan transmisi bagi golongan berisiko tinggi yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan, namun pada masa yang sama peranan pencegahan primer perlu dititikberatkan oleh masyarakat yang lain. Antara peranan masyarakat ialah mencegah tingkah laku berisiko tinggi seperti homoseksual dan biseksual sejak dari awal lagi terutamanya generasi muda.
Dengan memahami faktor risiko ini, pelbagai peranan boleh dilaksanakan. Kami menyeru kepada semua pihak agar lebih memperkukuhkan institusi kekeluargaan dengan memberi perhatian untuk memperkasa anak-anak tentang sentuhan selamat dan peka mengenai ancaman antunan seksual “sexual grooming” agar anak-anak bertindak jika didera secara seksual yang menjadi punca kecelaruan mereka bila dewasa. Kami turut menekankan peri pentingnya masyarakat membendung lambakan aplikasi “dating” di media sosial yang menjadi punca dan ancaman masalah amalan seks tidak selamat dalam kalangan generasi baru.
Disamping itu, berdasarkan kajian luar negara yang mengatakan terdapat keperluan dan permintaan golongan kunci kepada program pemulihan, kami turut ingin menggesa agar program pemulihan ketagihan amalan seks tidak sihat disediakan supaya mereka yang ingin berubah diberi peluang menjalani gaya hidup yang lebih sihat sebagaimana alternatif pemulihan kepada amalan merokok melalui program berhenti merokok dan pemulihan dadah melalui klinik methadone.
Sebagai solusi, kami menawarkan Modul Pendidikan Seksualiti : ReproAlert sebagai satu alternatif. Berbeza dengan modul yang lain, yang menitik beratkan program pencegahan kehamilan dan jangkitan kelamin yang bersifat “superficial”. Malaysia mempunyai kekuatan agama sebagai perlembagaan seharusnya mengambil kira kekuatan ini sebagai pelindung dan penyelesaian dimana konsep “abstinence” seharusnya bermula dengan penerapan konsep kawalan nafsu sekaligus menjauhi amalan permulaan zina.Hanya dengan memahami dan memperkasa kekuatan ini tanpa diskriminasi , matlamat generasi bebas HIV dapat dicapai.
Aktiviti pameran kami disambut baik oleh semua golongan masyarakat juga institusi terutamanya dari bidang pendidikan yang sememangnya menanti-nanti solusi kepada isu ini dan berharap kami dapat menyampaikan input ini di institusi mereka juga . Dengan adanya pengamal perubatan sendiri yang dilatih untuk menyampaikan isu ini, ia menjadikan isu ini dapat disampaikan dengan lebih mendalam dan berkesan dan inilah yang mereka perlukan. Kami turut berpeluang melawat ke pameran-pameran lain yang sememangnya banyak memberi pendedahan kepada kami mengenai peranan NGO lain yang sama-sama berganding bahu dalam menangani isu ini dari pelbagai peringkat pencegahan berbeza namun pada matlamat yang sama.
Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan atas jemputan yang diberikan. Perancangan majlis yang sangat teliti dan keseimbangan pameran juga atucara yang diadakan adalah sangat bersesuaian. Diharap kesemua yang hadir ke pameran dapat memahami bahawa dalam menangani isu HIV ini, kedua-dua keseimbangan dan kesaksamaan adalah dengan mengurangkan stigma dan diskriminasi kepada golongan kunci dan pada masa yang sama memberi pendedahan mengenai faktor risiko dan kesan penyakit ini kepada golongan muda amat perlu bagi kelestarian program kesihatan awam secara menyeluruh dan holistik.
Semoga generasi dengan gaya hidup sihat dan bebas tingkah laku berisiko tinggi HIV akan terus dapat dilahirkan sekaligus mengurangkan beban penyakit ini dan memungkinkan matlamat dunia untuk mengakhiri HIV pada tahun 2030.
I-Medik Negeri Sembilan