#KitaJagaKita

Stigma HIV & Normalisasi Amalan Berisiko

WhatsApp Image 2022-12-06 at 4.52.58 PM
Kita tahu stigma & diskriminasi terhadap orang dengan HIV dan AIDS (ODHA) antara faktor yang menghalang ODHA dan golongan yang berisiko untuk melakukan ujian saringan dan hadir ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan.
Kita juga tahu stigma & diskriminasi ini kebanyakan berlaku dikalangan populasi utama (key population) atau golongan terpencil (marginalised group) antaranya Homoseksual/Biseksual, Transgender, Pekerja seks wanita dan penagih dadah menggunakan jarum suntikan.
Data daripada KKM menunjukkan transmisi HIV pada tahun 2021 majoritinya (96%) adalah melalui hubungan seks, dengan kadar heteroseksual kepada homo/biseksual sebanyak 1:1.8. Trend kenaikan transmisi melalui hubungan seks melebihi melalui perkongsian jarum bermula tahun 2011 sehingga sekarang.
Penurunan jangkitan HIV dikalangan penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan menunjukkan kejayaan Program Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction Programme). Kenaikan kes HIV dikalangan Homoseksual/Biseksual,Transgender, Pekerja seks wanita pula adalah situasi yang sangat merisaukan dan perlu diambil perhatian.
Stigma & diskriminasi pada asasnya tidak patut berlaku kepada siapa sahaja termasuk ODHA. Malah Islam melarang kita mengamalkan stigma (berprasangka buruk)(Hujurat: 12) dan merendahkan martabat orang lain (Hujurat: 11).
Sebagai umat Islam, kita diminta untuk sentiasa memberikan harapan, memberi peluang dan menunjukkan jalan yang benar kepada mereka yang tersasar/tersilap
(al-Imran: 135-136).
Apakah seruan/nasihat untuk bertaubat, galakkan hubungan heteroseksual melalui perkahwinan yang sah, dan larangan zina, banyak pasangan dan amalan seks luar tabii dikategorikan sebagai stigma kepada ODHA? Saya rasa tidak. Apa yang kita boleh perbaiki adalah penggunaan kata-kata yang sesuai dan tidak menghukum.
Adapun seruan/nasihat/larangan yang menjuruskan kepada mengurangkan aktiviti dan cara hidup berisiko tinggi seperti homo/biseksual/transgender, seks bebas, mempunyai ramai pasangan
dan menagih dadah adalah sangat penting dan sepatutnya menjadi salah satu usaha untuk mengakhirkan AIDS berdasarkan data-data yang jelas. Ia juga sepatutnya sekuat dan selantang seruan kita untuk menghentikan stigma & diskriminasi terhadap ODHA.
Jangan kita pula menyeru untuk menghentikan stigma & diskriminasi dengan menghalalkan dan menormalisasikan aktiviti & cara hidup yang berisiko yang tidak selari dengan agama dan budaya kita di sini.
Sikap kita jelas, kepada ODHA, kita prihatin dan empati agar HIV/AIDS dapat dirawat, dan pesakit dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan sihat. Kepada cara hidup berisiko dan terlarang, ia adalah cara hidup yang salah disisi fitrah, agama, budaya dan kesihatan yang perlu dihentikan pengamalannya dan tidak patut dipromosi dan dinormalisasikan.
Kalau ada yang tidak setuju, kita boleh bincangkan.
Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan
Pakar Klinikal Perubatan Keluarga