#KitaJagaKita

GESAAN SUPAYA KABINET TEGAS ISU SUMBANGAN SYARIKAT ARAK KEPADA SEKOLA

GESAAN SUPAYA KABINET TEGAS ISU SUMBANGAN SYARIKAT ARAK KEPADA SEKOLAH
Kami dari I-Medik Terengganu telah mengikuti perkembangan terkini isu sumbangan syarikat Arak di sekolah dan berasa sangat kecewa dengan keputusan kabinet Kerajaan Madani yang ingin mengecualikan SJKC daripada mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan berkenaan larangan sumbangan syarikat Arak di sekolah.
Larangan berkenaan telah lama dilaksanakan sepertimana yang telah dinyatakan dengan tegas oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 yang melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani.
Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya tidak tunduk kepada desakan menteri DAP Antony Loke yang ingin mengecualikan SJKC dari peraturan ini dengan alasan ia telah lama dilaksanakan.
Dibimbangi juga pengecualian ini akan membuka ‘floodgates’ untuk syarikat vape, rokok dan judi untuk turut sama menjadi penyumbang dana sekolah, kerana dengan pengabsahan syarikat arak, tiada alasan untuk menolak hasrat syarikat-syarikat ini untuk turut membuat sumbangan mereka.
Sebaliknya kerajaan boleh memperbetulkan keadaan dengan mempertegaskan kembali pekeliling ini bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa akan datang.
Mengikut kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan (NHMS) tahun 2022 yang memfokuskan kepada kesihatan dan aktiviti berisiko remaja, seramai 7% remaja pernah meminum arak dan 55% daripada mereka mendapatnya daripada keluarga.
Daripada jumlah peminum ini, 73% mempunyai ibubapa yang meminum arak. Ini menunjukkan pendedahan awal ke atas remaja telah pun berlaku dan dibimbangi akan menjurus kepada ketagihan dan seterusnya penyakit kronik berkaitan mental dan fizikal individu berkenaan.
Rakyat Malaysia sudah pun mengetahui kesan Arak kepada masyarakat yang menyebabkan peminumnya mabuk, hilang pertimbangan, merosakkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan sehingga melakukan kerosakan yang boleh mengakibatkan jenayah.
Kempen berkenaan bahaya kesan Arak sepatutnya digencarkan lagi bermula dari sekolah-sekolah rendah bukan sebaliknya iaitu dibenarkan masuk melalui apa cara sekalipun. Ini amat bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Kami ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia yang berkesedaran dan mempunyai nilai moral yang tinggi untuk mengecam mana-mana sumbangan dan promosi syarikat yang menjual barangan yang merosakkan kesihatan seperti Arak, rokok, vape dan seumpama dengannya bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat dapat sentiasa terjaga.
Dr Mohd Ihsanuddin bin Abas
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Pengerusi I-Medik Terengganu