Baru baru ini tular di media sosial gambar program amal di sebuah sekolah yang mempromosikan syarikat arak sebagai salah satu penaja utama mereka dalam pendanaan aktiviti dan infrastruktur sekolah.
Hal ini dipandang serius oleh pengamal-pengamal perubatan terutamanya kami doktor-doktor dalam bidang kesihatan kanak-kanak.
Mana-mana aktiviti yang dilihat boleh mempromosikan anasir-anasir buruk kepada pelajar yang juga merupakan golongan bawah umur terutamanya dalam program anjuran sekolah merupakan satu tindakan yang tidak beretika dan sangat bertentangan dengan imej pendidik generasi hadapan.
Di samping itu, hal ini juga dilihat tidak selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang diterajui professional-professional dalam bidang kesihatan. Siasatan lanjut dan tindakan perlulah dibuat sesuai dengan peruntukan undang-undang agar generasi muda akan datang terlindung dari anasir negatif.
Kerjasama dari pelbagai sektor terutamanya badan kerajaan dan badan bukan kerajaan penting untuk merealisasikan misi nasional ini.
I-Medik Kuala Lumpur menyeru kerajaan mencegah dan menghentikan penajaan dan publisiti dari industri rokok, vape, judi dan arak!
Dr Mohd Faizul Bin Amer
Pengerusi I-Medik Kuala Lumpur