Mereka digelar manusia songsang yang hidup dengan melawan fitrah namun ia langsung tidak memberikan kesan kepada golongan ini yang sebenarnya keliru dengan identiti diri sendiri.
Golongan transgender popular dengan panggilan pondan, mak nyah atau bapuk ini langsung tidak malu tampil di khalayak ramai dengan berperwatakan seperti wanita atas alasan mencari kepuasan serta mengikut naluri.
Apa yang tidak sedap didengar ialah pembabitan golongan ini dalam aktiviti tidak sihat hingga ada yang menjaja tubuh.
Harian Metro baru-baru ini melakukan tinjauan di beberapa lokasi sekitar ibu negara dan mendapati kawasan sekian lama menjadi port tradisi golongan itu masih aktif.
Antara lokasi ‘warisan’ yang berdekad lamanya menjadi tumpuan golongan itu menjaja tubuh ialah Lorong Haji Taib, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan lot kedai berhampiran Pasar Pudu.
Tinjauan sekitar Lorong Haji Taib 1 mendapati sudah ada pondan menunggu pelanggan di kaki lima lot rumah kedai meskipun jam baru menunjukkan 9 malam
Seterusnya tinjauan dilakukan di bangunan Wisma Indah dan di lokasi ini pengguna laluan Jalan Tun Razak dapat melihat dengan jelas gelagat pondan menunggu pelanggan bertenggek sambil menghisap rokok di tangga bangunan rumah kedai berkenaan.
Ketika melakukan tinjauan wartawan terserempak dengan seorang pondan tua berusia 60-an yang masih aktif menjalankan aktiviti songsang itu berhampiran persimpangan lampu isyarat dari Jalan Tun Razak menuju Jalan Cochrane.
Kelihatan juga pelanggan yang sedang tawar-menawar dengan pondan tua berkenaan sedangkan lokasi mereka ketika itu tidak sampai 100 meter dari Masjid Jamek Alam Shah.
Bagi mengupas isu ini wartawan mendapatkan komen Ketua Akademi Kajian Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.
Beliau berkata, senario itu membimbangkan berikutan majoriti pondan ditemu bual mengaku pernah melakukan seks sejenis.
“Majoriti pondan itu pula mengakui menerima wang untuk seks. Berbalik kepada hukum penawaran dan permintaan, sewajarnya perlu diuar-uarkan lagi keburukan hubungan sejenis kepada masyarakat supaya dapat mencegah permintaan seks songsang seumpamanya.
“Kita tidak mahu kes jenayah syariah lain seperti liwat dan isu perdagangan seks transgender ini berleluasa.
“Lebih-lebih lagi dengan kecanggihan komunikasi sosial, urus niaga seks songsang dibimbangi menjadi semakin tidak terkawal sekiranya tindakan serius tidak diambil,” katanya.
Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) itu menjelaskan berdasarkan kajian golongan pondan yang berdagang seks di lorong adalah individu yang mengalami kecelaruan gender sejak kecil.
Jelasnya naluri mereka lebih terarah kepada wanita berikutan kegagalan ibu bapa atau keluarga menangani perkara itu.
Menurutnya, golongan berkenaan yang berhadapan konflik dengan keluarga termasuk kekurangan kasih sayang akhirnya memilih untuk menjalani kehidupan sebagai pondan di bandar.
“Masalah lain timbul apabila ada pula yang membela pekerjaan mereka. Sebagai contoh, ada pihak tertentu menggunakan kaedah tangani penyebaran AIDS dengan memberikan kondom percuma tanpa mengatakan ‘tidak’ kepada pekerjaan sebagai pedagang seks itu.
“Isu ini semakin bercelaru apabila ada golongan pro LGBT seakan memaksa masyarakat menerima golongan ini.
“Memburukkan lagi senario apabila ada pula golongan tertentu yang memuat naik video mereka dengan aksi keterlaluan dan tidak sewajarnya menjadi bahan tontonan umum,” katanya.
Dr Rafidah berkata, penguatkuasaan secara berterusan selain didikan awal dari rumah adalah jawapan bagi membendung masalah golongan transgender menjual tubuh daripada terus berlarutan.
Beliau sendiri turut terbabit dalam beberapa aktiviti membantu golongan pondan keluar daripada kancah hitam itu termasuk dengan melaksanakan program rumah ngaji untuk mereka yang kecelaruan gender.
Sumber: Harian Metro