#KitaJagaKita

BAHANA PEROKOK PASIF – GOLONGAN YANG DILUPAKAN

photo6201852043379976290

Baru-baru ini kita dikecohkan dengan isu pengharaman merokok di restoran terbuka dan gerai makanan yang akan diwartakan oleh kerajaan bermula 1 Januari 2019. Ia pada dasarnya merupakan salah satu usaha berterusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengurangkan kesan berisiko asap rokok kepada orang ramai yang majoritinya bukanlah daripada golongan perokok. Namun usaha yang baik ini telah dibantah oleh sesetengah golongan kecil dari pemilik-pemilik restoran malah sebilangan ahli parlimen sendiri. Terdapat juga kenyataan daripada seorang peguam yang menyatakan bahawa akta yang akan diwartakan ini akan menafikan hak asasi perokok sebagai satu golongan rakyat Malaysia. Mari kita melihat isu ini dari sudut sains kesihatan dan kebaikan secara keseluruhan.

Rokok dan kesan kesihatan

Masalah rokok dan kesan kesihatan yang dikaitkan dengan rokok telah lama dikaji dan diketahui umum. Dalam sebatang rokok sahaja mengandungi lebih kurang 4000 bahan kimia beracun dan lebih kurang 63 daripadanya boleh menyebabkan kanser. Banyak kajian-kajian saintifik juga telah menunjukkan kaitan antara merokok dengan penyakit-penyakit kanser daripada rongga hidung, saluran pernafasan, paru-paru, esofagus, perut, hati, pankreas, pangkal rahim sehinggalah kepada kanser darah. Ini belum lagi ditambah dengan penyakit-penyakit lain bukan kanser seperti sakit jantung, angina ahmar (strok) atau ulser perut. Meskipun dengan pengetahuan terhadap kesan yang buruk ini melalui kempen-kempen kesedaran dan nasihat-nasihat daripada pihak kesihatan, juga melalui khidmat bantuan berhenti merokok, bilangan perokok di Malaysia masih lagi tinggi. Menurut satu kajian analisis epidemiologi, prevalen perokok terkini di Malaysia adalah 46.4% daripada 15,639 responden. Salah satu sebab mengapa bilangan perokok masih tinggi adalah kerana kesan ketagihan kepada rokok yang dihadapi oleh perokok. Kita fahami dan insafi kesukaran untuk keluar dari ruang ketagihan, tetapi itulah keseronokan yang dibeli bersama-sama pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan sendiri.

Bahaya perokok pasif

Apa yang menyedihkan apabila kesan merokok kepada orang di sekeliling seolah-olah diabaikan. Tahukah kita bahawa orang yang terdedah kepada asap rokok samada sekejap atau lama juga berisiko tinggi untuk menghidap pelbagai penyakit? Malah mereka dipanggil prokok pasif atau perokok sekunder kerana risiko kesihatan yang ada. Dianggarkan dua pertiga (66.7%) remaja dan dewasa di Malaysia dalam satu kajian survey terdedah kepada asap rokok paling kurang di satu tempat umum. Bilangan yang cukup tinggi ini menunjukkan kesan aktiviti merokok di tempat umum kepada masyarakat sekeliling yang tidak bersalah terutama kepada golongan kanak-kanak. Belum pernah lagi kita mendengar perokok pasif ini ketagih terhadap asap rokok.

Apakah kandungan dalam asap rokok sekunder?

Asap rokok sekunder berbeza daripada asap yang dihisap oleh perokok. Asap rokok sekunder terbahagi kepada dua iaitu asap teras (mainstream) daripada hembusan perokok, dan asap sampingan (sidestream) daripada puntung rokok yang dibakar. Terdapat lebih kurang 200 bahan kimia berbahaya dalam asap rokok sekunder yang juga mengandungi karsinogen. Malah terdapat karsinogen yang mempunyai kandungan yang lebih tinggi pada asap sampingan berbanding asap teras. Antara karsinogen yang mempunyai kandungan 2-5 kali ganda lebih tinggi adalah nikotin, tar dan karbon monoksida.

Apakah risiko kesihatan terhadap perokok pasif?

Sudah pasti dengan kandungan bahan kimia berbahaya dalam asap rokok sekunder ini akan menghasilkan kesan kesihatan yang teruk. Asap rokok sekunder sememangnya telah dikenal pasti sebagai penyebab kematian pramatang kepada dewasa dan kanak-kanak bukan perokok. Bayi dalam kandungan ibu yang merokok dan bayi yang terdedah kepada asap rokok sekunder selepas lahir mempunyai risiko yang tinggi untuk menghadapi Sindrom Kematian Bayi Mengejut (Sudden infant death syndrome). Mereka juga dijangkakan akan mempunyai paru-paru yang lemah dan mudah terdedah kepada jangkitan kuman. Bagi kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok sekunder, mereka akan mudah untuk menghidapi penyakit pernafasan seperti bronchitis, pneumonia, dan juga jangkitan kuman pada telinga. Kanak-kanak yang mempunyai asma pula akan lebih kerap mendapat serangan asma dan menyebabkan penyakit asma tidak terkawal sekiranya mereka terdedah kepada asap rokok sekunder dan dalam jangka masa yang lama.

Kajian menunjukkan kesan terdedah kepada asap rokok sekunder kepada orang dewasa adalah sangat cepat di mana ia boleh mengganggu sistem aliran darah, pembuluh darah dan jantung itu sendiri. Mereka mempunyai risiko menghidapi sakit jantung sebanyak 25 ke 30 peratus. Mereka juga mempunyai risiko menghidapi kanser paru-paru sebanyak 20 ke 30 peratus. Penyakit kronik respiratori (eg. Chronic obstructive airway disease) antara penyakit kerap dihidapi oleh perokok pasif.

Dan semua risiko-risiko kesihatan ini boleh berlaku walaupun seseorang itu terdedah kepada asap rokok sekunder dalam jangka masa yang singkat. Tidak ada satu jangka masa tertentu yang boleh dikatakan bebas risiko untuk dihadkan sekiranya terdedah kepada asap rokok sekunder. Malah kesan asap rokok sekunder ini boleh menyebabkan perubahan terhadap darah, pembuluh darah atau salur penafasan ini berlaku dengan serta merta.

Undang-undang berkaitan larangan merokok

Dengan segala risiko yang ada pada asap rokok sekunder ini kepada orang ramai terutamanya kepada kanak-kanak, dan dewasa yang bukan perokok, maka amat wajarlah ia menjadi satu isu yang perlu dilihat secara serius dan dikawal dengan undang-undang. Larangan merokok di restoran terbuka dan gerai makan merupakan satu lagi usaha Kementerian Kesihatan untuk membanyakkan lagi tempat awam agar bebas asap rokok bagi melindungi dan memelihara kesihatan majoriti rakyat Malaysia yang bukan perokok. Sebelum ini Kementerian Kesihatan telah mewartakan banyak kawasan-kawasan awam sebagai kawasan larangan merokok melalui Peraturan 11 dan 22, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 seperti di hospital, klinik, sekolah, kapal terbang, lif dan bangunan-bangunan kerajaan. Peraturan serta pemwartaan kawasan-kawasan larangan merokok ini pula selaras dengan prinsip utama Artikel Lapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau iaitu semua tempat awam adalah kawasan tidak merokok.

Hak bukan perokok perlu diutamakan

Malaysia masih belum lagi mencapai tahap agar larangan merokok boleh dikuatkuasakan secara menyeluruh. Ia memerlukan kematangan masyarakat secara umum dan kesediaan kerajaan untuk menguatkuasa serta berhadapan dengan kesan-kesan sampingan yang berkait rapat dengan ekonomi negara. Jadi para perokok masih lagi bebas untuk merokok di kawasan-kawasan peribadi dan kawasan yang tidak diwartakan sebagai kawasan larangan merokok. Mereka bebas untuk melakukan aktiviti yang sememangnya memberi risiko yang tinggi kepada kesihatan mereka sendiri. Tetapi itu tidak bermakna mereka berhak untuk merokok dalam keadaan yang boleh memberi bahaya kepada orang di sekeliling yang majoritinya bukan perokok. Malah boleh dikatakan bagi ibu bapa yang merokok berdekatan dengan anak-anak mereka samada di rumah sendiri mahupun tempat umum, mereka telah menafikan hak anak-anak untuk menghirup udara yang segar dan bebas daripada segala bahan kimia yang berbahaya. Kepada mereka yang waras di luar sana, hak siapa sebenarnya yang lebih utama untuk kita perjuangkan?

Konklusi

Pendek kata, berdasarkan hujah-hujah kesihatan dan kepentingan umum, tidak ada alasan untuk kita membiarkan budaya merokok terus membarah dalam masyarakat kita dan membiarkan kesan-kesan buruk itu menjadi beban kepada masyarakat yang berhak untuk hidup sehat dengan udara yang segar di mana-mana tempat umum dan terbuka. Kepada para perokok, kita menghormati pilihan yang telah dipilih, dan kita sentiasa menasihati agar tabiat rokok itu dapat dihentikan dalam ap acara sekali pun. Kita juga menasihati agar sentiasa menghormati juga orang-orang lain yang tidak merokok dan berhak untuk tidak menghidu asap rokok kalian. Kepada orang ramai, kita mengharapkan agar sentiasa mengambil tahu berkenaan kesihatan terutama kesihatan diri dan ahli keluarga dan nyatakan bantahan anda terhadap perokok-perokok yang jelas-jelas tidak menghormati orang lain.

 

Dr Ahmad Muslim Bin Ahmad Roslan

I-Medik Kuala Lumpur

 

Rujukan:

  1. MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia. Fakta mengenai tembakau & merokok [Internet]. Putrajaya: Bahagian Pendidikan Kesihatan; 2012 [cited 2018 Nov 18]. Available from: http://www.myhealth.gov.my/fakta-mengenai-tembakau-a-merokok/
  2. Sasco AJ, Secretan MB, Straif K. Tobacco smoking and cancer: a brief review of recent epidemiological evidence. J Lung Can. 2004; 45(2):S3-S9.
  3. Lim HK, Ghazali SM, Kee CC, Lim KK, Chan YY, Teh HC, et al. Epidemiology of smoking among Malaysian adult males: prevalence and associated factors. BMC Public Health. 2013; 13(8): 1-10.
  4. Lim KH, Teh CH, N Mohamed MH, Pan S, Ling MY, M Yusoff MF, et al. Exposure to tobacco secondhand smoke and its associated factors among non-smoking adults in smoking-restricted and non-restricted areas: findings from a nationwide study in Malaysia. BMJ Open. 2018; 8:e017203.
  5. S. Department of Health and Human Services. The Health Consequences of Involuntary Exposure to Tobacco Smoke: A Report of the Surgeon General. U.S. Department of Health and Human Services, Centers for Disease Control and Prevention, National Center for Chronic Disease Prevention and Health Promotion, Office on Smoking and Health, 2006.
  6. Lebih banyak kawasan larangan merokok diwartakan. Sinar online [newspaper on the internet]. 2018 April 3. [cited 2018 Nov 18]. Available from: http://www.sinarharian.com.my/nasional/lebih-banyak-kawasan-larangan-merokok-diwartakan-1.817576.