Lama sudah tidak menulis. Kudrat digunakan merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19. Syukur situasi di hospital boleh bernafas sedikit. Cuma ada nak pesan sikit ni pada ibu ayah semua.
Anak-anak yang pernah dijangkiti atau pernah ‘expose’ pada pesakit Covid-19, boleh dapat komplikasi yang dipanggil MISC.
Saya ceritakan satu kisah ini.
Kes ni dirujuk kepada kami (pasukan pediatrik). Maka Bergegaslah kami turun ke kecemasan. Dari jauh saya nampak wajah pesakit tu merah ada ruam. Nampak lesu dan letih.
Saya hampiri, “Ahmad (bukan nama sebenar) boleh buka mata?”
Saya cuba mengejutkannya. Perlahan dia buka mata, mata putihnya merah di kedua belah mata. Bibirnya juga merah. Badannya ada ruam.
“Berapa lama dah demam, ibu?”, saya bertanya lagi.
“Dah 5 hari doktor, hari ni dia nampak lemah sangat dan tak jawab bila saya tanya. Dia tak nak makan dan minum. Kencing pun dah berkurang banyak“, ibunya membalas.
“Dia muntah beberapa hari ni, dan mengadu sakit perut“, tambahnya lagi.
“Kami sekeluarga baru sembuh dari Covid-19 kira-kira 3 minggu lepas doktor. Dia dah sihat dan aktif seminggu dua ni, tiba-tiba demam balik.”
Dan bila periksa memang tekanan darah terlalu rendah, keputusan darah memang keradangan sedang berlaku. Ini antara tanda-tanda yang merisaukan, bila dapat kes begini memang kami risau dan akan beri pantauan lebih rapi kerana dengan pantas keadaan kanak-kanak boleh merosot dan meragut nyawa.
Selain ‘long-covid’ kanak-kanak boleh dapat komplikasi yang dipanggil MISC (Multisystem Inflammatory Syndrome in Children), iaitu keradangan yang berlaku serentak pada 2 atau lebih organ tubuh berbeza seperti jantung, paru-paru buah pinggang, otak, kulit, mata atau usus. Hampir sama dengan penyakit Kawasaki.
Selalunya MISC ni berlaku 14-16 hari selepas dijangkiti Covid-19. Purata pesakit kami bergejala selepas 20 hari. Kita masih tak tahu punca sebenar ini berlaku, tapi apa yang kita tahu pesakit kanak-kanak yang datang dengan MISC pernah dijangkiti atau berdekatan dengan orang yang ada Covid-19.
Kita kena pantau anak-anak. Ingat ya! Jika anak-anak tak sihat, walau dah sembuh dari Covid-19, ia mungkin sesuatu yang perlu perhatian segera. Jangan berlengah untuk dapatkan pemeriksaan! Walau macam manapun, akhirnya anak kita perlu juga keluar. Mesti ingatkan mereka jaga SOP ya.
Dr. Anayasmin Azmi
Ketua Unit Pendidikan Seksualiti dan Reproduktif/Pakar Kanak-kanak
I-Medik